Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Indranee: Kenaikan harga air selanjutnya perlu disemak semula secara kerap

Kenaikan harga air selanjutnya perlu disemak semula secara kerap, menurut Menteri Negara Kanan bagi Kewangan merangkap Undang-Undang, Indranee Rajah, hari ini (25 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Feb 2017 06:39PM Dikemas Kini : 25 Feb 2017 08:34PM

SINGAPURA: Kenaikan harga air selanjutnya perlu disemak semula secara kerap, menurut Menteri Negara Kanan bagi Kewangan merangkap Undang-Undang, Indranee Rajah, hari ini (25 Feb).

Beliau bagaimanapun menekankan bahawa ia sebahagian daripada langkah Pemerintah menilai cara-cara meningkatkan pendapatan bagi menyokong perbelanjaan yang mampan.

Cik Indranee berkata demikian di dialog Belanjawan 2017 di Kelab Masyarakat Tanjong Pagar.

Seramai 200 sukarelawan akar umbi menghadiri sesi sembang yang menyentuh tentang isu-isu yang berkaitan dengan Belanjawan 2017.

Sepanjang dialog selama sejam itu, hampir separuh daripada masanya digunakan untuk membincangkan isu-isu berkaitan air, khususnya mengenai kenaikan harga air sebanyak 30 peratus sepanjang dua tahun akan datang.

Cik Indranee memberi jaminan bahawa Pemerintah akan memberikan rebat bil api air bagi mengurangkan kesan daripada kenaikan itu.

Namun para hadirin ternyata masih agak khuatir. Seorang peserta, Seline Cai berkata: "Mereka takut tentang kenaikan kos, mereka perlu membayar lebih dan kemudian akan ada lebih banyak lagi perkara lain yang akan meningkat harga sehingga menjejas pendapatan mereka."

Cik Indranee menjelaskan sedang Pemerintah melabur dalam perbelanjaan awam, cara bagaimana ia boleh menambah pendapatan juga perlu sentiasa disemak semula. Dan ini meliputi isu-isu kenaikan pada masa akan datang, sama ada dari segi harga air mahupun cukai.

"Terdapat prasarana lain yang perlu kita laburkan wang. Ini akan menelan belanja. Kita juga perlu memastikan Belanjawan kita seimbang, memastikan kita tidak berbelanja di luar kemampuan kita," kata beliau.

Cik Indranee menambah bahawa kenaikan kos bagi penghasilan air serta keperluan untuk menggalak orang ramai menggunakan air secara berhemat merupakan antara pertimbangan di sebalik keputusan menaikkan harga itu.

Beliau juga menggesa para peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan lebih daripada kenaikan harga tersebut.

Bagi syarikat-syarikat pula, beliau berkata rebat cukai korporat serta beberapa langkah lain akan dapat meringankan beban kos mereka. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan