Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2017: S'pura akan kenakan cukai karbon terhadap pengeluar besar gas

Pemerintah akan memperkenalkan cukai karbon terhadap pengeluar-pengeluar besar gas rumah hijau (GHG) seperti loji-loji tenaga mulai 2019.

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2017: S'pura akan kenakan cukai karbon terhadap pengeluar besar gas

Pulau Jurong di Singapura. (Gambar: AFP/Alex TAN/AT)

Diterbitkan : 20 Feb 2017 06:32PM Dikemas Kini : 20 Feb 2017 11:22PM

SINGAPURA: Pemerintah akan memperkenalkan cukai karbon terhadap pengeluar-pengeluar besar gas rumah hijau (GHG) seperti loji-loji tenaga mulai 2019.

Cukai itu dijangka menjejas 30 hingga 40 peratus pengeluar gas yang sekarang ini beroperasi di Singapura.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan demikian ketika membentangkan Belanjawan 2017 di Parlimen hari ini (20 Feb). Beliau berkata sistem sedemikian adalah "cara paling cekap secara ekonomi dan adil" untuk mengurangkan pengeluaran GHG, bagi mencapai komitmen Singapura terhadap perjanjian iklim Paris, yang disahkannya pada 2016.

Di bawah perjanjian itu, Singapura komited untuk mengurangkan pengeluaran gas sebanyak 36 peratus menjelang 2030 berbanding tahap pengeluaran pada 2005. Ia juga bertujuan menstabilkan tahap pengeluaran gas, dengan matlamat mencapai kemuncaknya sekitar 2030.

Encik Heng berkata Pemerintah akan berunding dengan pihak-pihak yang berkepentingan secara menyeluruh, dan sudahpun memulakan rundingan industri. Ia akan memulakan proses rundingan awam pada Mac. Setakat ini, beliau berkata Pemerintah menimbangkan kadar cukai antara S$10 hingga S$20 bagi setiap tan pengeluaran GHG.

"(Cukai karbon) mungkin menggalak penciptaan peluang-peluang baru dalam industri-industri pertumbuhan hijau seperti tenaga bersih," kata Encik Heng.

"Hasil daripada cukai karbon boleh membantu membiayai langkah-langkah oleh industri-industri mengurangkan pengeluaran gas."

Encik Heng berkata sistem cukai seperti itu akan memberikan kesan "sederhana" terhadap kebanyakan perniagaan dan keluarga. Sekretriat Perubahan Iklim Nasional (NCCS) menyatakan kadar cukai yang diusulkan itu sama dengan peningkatan pada harga elektrik antara 0.43 hingga 0.86 sen bagi setiap kilowatt jam (kWh). Ini boleh bermakna akan ada peningkatan 2.1 hingga 4.3 peratus pada harga elektrik berbanding harga sekarang ini.

Ia menyatakan bahawa keluarga yang tinggal di flat empat bilik biasanya membayar bil elelktrik S$72 setiap bulan. Cukai karbon yang dikenakan terhadap loji-loji tenaga boleh menyebabkan kenaikan harga elektrik bagi keluarga itu sebanyak S$1.70 hingga S$3.30 setiap bulan.

Sebagai perbandingan NCCS menyatakan harga elektrik naik turun sehingga 10 peratus antara 2010 hingga 2016.

Mengenai pengeluar-pengeluar besar GHG, NCCS menyatakan isyarat harga boleh menggalak mereka mengambil kira kos pengeluaran gas dalam keputusan perniagaan mereka. Cukai itu akan dikenakan terhadap pengeluar besar enam GHG, termasuk karbon dioksida, metana dan hydroflurocarbon.

NCCS menyatakan berdasarkan data sekarang ini, terdapat 30 hingga 40 pengeluar besar seperti itu yang beroperasi di Singapura, yang mengeluarkan gas sama dengan 25,000 tan karbon dioksida. Ia serupa dengan pengeluaran gas hasil penggunaan elektrik 12,500 keluarga yang tinggal dalam flat 4 bilik setiap tahun.

Menurut Bank Dunia, sekitar 40 negara dan 20 bandar, negeri dan wilayah sudah melaksanakan skim mengenakan bayaran pada pengeluaran karbon, dan ramai lagi merancang untuk memperkenalkan sistem seperti itu pada masa hadapan. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan