Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 perkara penting ini perlu anda tahu tentang Belanjawan 2017

Di tengah-tengah keadaan ekonomi kian tidak menentu, Menteri Kewangan Heng Swee Keat hari ini (20 Feb) membentangkan Belanjawan yang bertujuan menganjak semula kedudukan Singapura untuk masa hadapan. 

Anggaran Waktu Membaca:
6 perkara penting ini perlu anda tahu tentang Belanjawan 2017

Menteri Kewangan Heng Swee Keat di Bangunan Parlimen. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 20 Feb 2017 09:34PM Dikemas Kini : 20 Feb 2017 11:52PM

SINGAPURA: Di tengah-tengah keadaan ekonomi kian tidak menentu, Menteri Kewangan Heng Swee Keat hari ini (20 Feb) membentangkan Belanjawan yang bertujuan menganjak semula kedudukan Singapura untuk masa hadapan. Berikut ini perkara-perkara utama yang harus anda tahu:

1. ENCIK HENG SWEE KEAT KEMBALI!

Ucapan Belanjawan selama 80 minit yang dibentangkan Menteri Kewangan Heng Swee Keat hari ini bukan sahaja menandakan beliau secara rasmi kembali ke Parlimen, tetapi juga menunjukkan beliau sudah pulih daripada serangan angin ahmar yang dialaminya pada tahun lalu.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat tiba di Bangunan Parlimen untuk Belanjawan 2017. (Gambar: Xabryna Kek)

Menteri Kewangan Heng Swee Keat tiba di Bangunan Parlimen untuk Belanjawan 2017. (Gambar: Xabryna Kek)

Encik Heng mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura dan para Anggota Parlimen atas sokongan mereka ketika beliau sakit.

"Sikap baik hati anda dan galakan anda membuat saya rasa rendah diri dan pada masa yang sama menggalakkan bagi saya dan keluarga saya. Saya gembira dapat kembali ke Dewan dan menghargai peluang ini untuk terus, bersama para Anggota Parlimen, berkhidmat kepada Singapura dan rakyat Singapura sedaya upaya," tambahnya, kepada tepukan gemuruh dari para AP.

2. GAMBARAN BESAR

Encik Heng memulakan ucapan Belanjawannya dengan mengiktiraf terdapat "anjakan-anjakan besar" di serata dunia dan di negara ini - daripada gelombang dasar fahaman perlindungan yang kian meningkat serta isu-isu yang dihadapi di sini sedang ekonomi Singapura semakin matang.

Namun beliau menekankan bahawa cabaran-cabaran baru juga akan membuka peluang-peluang baru bagi Singapura dalam tahun-tahun mendatang. Beliau menegaskan bahawa Singapura perlu menyesuaikan diri, membangunkan keupayaan lebih kukuh dan perkongsian lebih erat di negara ini dan di luar negara.

Tambah Encik Heng: "Kami akan mengambil pendekatan pembelajaran dan penyesuaian, cuba kaedah-kaedah baru, teruskan dengannya apabila ia berfungsi dengan baik, kurangkan kerugian apabila ia tidak berfungsi dengan baik, dan manfaatkan maklum balas dan pengalaman untuk mengubahsuai dan memperhalusi rancangan-rancangan kami. Itulah cara Singapura."

3. PEKERJAAN, PEKERJAAN, PEKERJAAN

Ramai rakyat Singapura yang prihatin dengan prospek pengambilan pekerja yang tidak menentu, dan bertanya apakah langkah-langkah baru yang akan diperkenalkan Pemerintah.

Dalam ucapan Belanjawannya, Encik Heng berkata Singapura perlu menjangkaui "rangsangan kepada umum" memandangkan prestasi tidak menentu di pelbagai sektor pekerjaan yang berbeza, dan sebaliknya mengendalikan isu-isu tertentu yang dihadapi industri-industri berbeza.

Para pekerja di Raffles Place, Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Sektor-sektor yang menunjukkan prestasi yang baik, seperti elektronik, dan kesihatan dan khidmat, perlu berfikir tentang jangka masa panjang dan merebut peluang-peluang baru. Oleh itu, Encik Heng memperkenalkan beberapa langkah untuk membantu firma-firma dengan prospek yang baik mengantarabangsakan perniagaan mereka.

Bagi industri-industri yang mengalami kelemahan kitaran, menteri itu memperkenalkan langkah-langkah sokongan tertentu. Kenaikan levi pekerja asing yang sebelum ini diumumkan, misalnya, ditangguhkan selama setahun bagi Sektor Marin dan Proses yang terjejas teruk.

Untuk membantu sektor binaan, Pemerintah akan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur awam bernilai S$700 juta sepanjang dua tahun akan datang.

Namun bagi sektor-sektor yang menghadapi gangguan besar, seperti runcit, Encik Heng berkata mereka "perlu berusaha lebih gigih untuk mengubah model perniagaan mereka agar terus kekal berdaya maju."

4. CUKAI KARBON YANG BARU

Menjelang 2019, Singapura akan menjadi negara Asia Tenggara yang pertama untuk memperkenalkan cukai karbon untuk menggalak pengeluar-pengeluar besar gas supaya mengurangkan pengeluaran gas karbon.

"Cukai ini secara umum akan dikenakan ke atas sumbernya, contohnya, loji-loji tenaga dan pengeluar besar gas yang lain, dan bukan pengguna elektrik," kata Encik Heng dalam ucapan Belanjawannya.

Pulau Jurong di Singapura. (Gambar: AFP/Alex TAN/AT)

Pemerintah sedang menimbangkan kadar cukai karbon S$10 hingga S$20 bagi setiap tan pengeluaran gas rumah hijau, iaitu dalam lingkungan kos yang sudah ditetapkan negara-negara lain, katanya.

Bagi perniagaan-perniagaan, kadar cukai karbon yang diusulkan ini melambangkan peningkatan 6.4 hingga 12.7 peratus daripada harga minyak sekarang ini, berbanding turun naik harga minyak antara -29 hingga 35 peratus dari 2011 hingga 2016.

Bagi para keluarga, kadar cukai itu sama dengan kenaikan harga elektrik 0.43 hingga 0.86 sen bagi setiap kilowatt-jam. Ini adalah peningkatan 2.1 hingga 4.3 peratus daripada tarif elektrik sekarang ini, berbanding harga elektrik setiap suku tahunan yang turun naik sehingga 10 peratus antara 2010 hingga 2016.

Langkah untuk mengenakan cukai terhadap pengeluaran gas rumah hijau juga akan membantu Singapura memenuhi komitmennya di bawah Perjanjian Paris secara cekap dan pada "kos paling rendah kepada ekonomi yang mungkin," kata Encik Heng.

Singapura mengesahkan Perjanjian Paris tentang perubahan iklim pada September tahun lalu, dan merasmikan ikrarnya untuk mengurangkan pengeluaran gas sebanyak 36 peratus berbanding tahap pada 2005, menjelang 2030, dan untuk menstabilkan pengeluaran gas dengan matlamat mencapai kemuncaknya sekitar 2030.

5. HARGA AIR NAIK

Dalam kenaikan harga air yang pertama dalam 17 tahun, Encik Heng berkata harga air akan meningkat sebanyak 30 peratus menjelang Julai tahun depan. Kenaikan harga itu akan dilaksanakan dalam dua fasa - yang pertama akan dijalankan mulai Julai tahun ini.

Bagi keluarga biasa yang tinggal di flat awam, ini bermakna mereka perlu membelanjakan sekitar lagi S$9 hingga S$15 sebulan, sebelum diberikan baucar-baucar U-Save tambahan oleh Pemerintah.

Setelah diberikan susbsidi-subsidi tambahan U-Save itu, keluarga yang tinggal di flat satu atau dua bilik akan mendapati bil air mereka berkurangan sebanyak S$1, sementara keluarga yang tinggal di flat eksekutif akan mendapati peningkatan pada bil air mereka adalah lebih kecil, iaitu sekitar S$11.

Sekarang ini, keluarga-keluarga yang tinggal di flat HDB membayar sekitar S$26 hingga S$49 sebulan bagi bil air.

Bagi pengguna bukan domestik seperti pemilik bangunan dan industri, harga air juga akan meningkat.

Daripada S$2.15 bagi setiap kubik meter air, harganya akan mencecah S$2.74 bagi setiap kubik meter air mulai Julai tahun depan. Mereka yang menggunakan AirBaru akan dikenakan cukai pemuliharaan air yang baru, iaitu 10 peratus daripada tarif AirBaru. Ini untuk menggalak orang ramai menjimatkan air, menurut PUB.

6. LEBIH BANYAK SOKONGAN BAGI KELUARGA BERGAJI RENDAH DAN PERTENGAHAN

Sedang kos-kos asas kehidupan iaitu air dan perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) akan dinaikkan, Encik Heng mengumumkan langkah-langkah untuk membantu keluarga bergaji lebih rendah mengharungi isu itu.

Flat-flat di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

(Gambar fail: TODAY)

Rebat Baucar GST - U-Save untuk keluarga-keluarga yang tinggal di flat HDB yang layak, akan dinaikkan sebanyak S$40 hingga S$120, bergantung kepada jenis flat. Ini bermakna rebat-rebat itu akan dinaikkan daripada S$180 hingga S$260 sekarang ini, kepada S$220 hingga S$380 mulai Julai.

Rebat-rebat U-Save yang lebih tinggi itu bermakna, tiga suku daripada semua keluarga HDB akan mendapati bil air bulanan mereka naik kurang S$12 secara purata. Sekitar 880,000 keluarga akan meraih manfaat, dan keluarga yang tinggal di flat satu bilik dan dua bilik akan mendapati bil air mereka tidak dinaikkan.

Bagi keluarga bergaji lebih rendah, bayaran wang tunai khas Baucar GST sekali sahaja sehingga S$200 akan diberikan, dan ini akan memanfaatkan lebih 1.3 juta rakyat Singapura.

Rebat S&CC juga akan dinaikkan sebanyak 0.5 bulan bagi tahun kewangan 2017. Ini bermakna rebat untuk tempoh 1.5 hingga 3.5 bulan akan diberikan kepada sekitar 880,000 keluarga HDB.

"Secara keseluruhan, kami akan sediakan sokongan tambahan lebih S$850 juta tahun ini untuk membantu para keluarga dengan kos-kos itu," kata Encik Heng.

Sumber : Today/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan