Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama… Tauke kafe The Lab SG

The Lab juga sudah mempunyai kafe kecil bernama Sinseh: The Grocery yang bertemakan kedai menjual perubatan tradisional Cina. Sinseh: The Grocery memberikan tumpuan kepada hidangan pencuci mulut.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama… Tauke kafe The Lab SG

Pemilik kafe The Lab SG Encik Luqman (kanan) bersama isterinya Cik Ejan A Rahman. (Gambar: Luqman)

BERITAMediacorp: Nama kafe The Lab, yang terletak di Jalan Pisang kawasan Arab Street, memang tidak asing lagi di kalangan para penggemar makanan di Singapura. Ini jelas terbukti dengan kafe itu kerap disenarai pendek dalam ranking laman-laman online sebagai antara kafe halal yang ‘wajib dicuba’.

BERITAMediacorp sendiri pernah meletakkan kafe The Lab di tempat pertama dalam ranking tempat makan paling unik di Singapura!

Namun pasti tidak ramai mengenali siapa sebenarnya tauke atau pemilik kafe yang bertemakan sains ini. Mentelah lagi, kedua-dua pemilik, yang juga merupakan pasangan suami isteri, kerap sibuk bertungkus-lumus di dapur dan ada kalanya sebagai pelayan sehingga ramai tidak sangka, merekalah pemilik kafe tersebut.

Meskipun Encik Luqman dan isterinya, Cik Ejan A Rahman, adalah pemilik kafe ‘hip’ dan sudah mencuba pelbagai makanan, mereka sebenarnya lebih selesa memakan makanan tempatan seperti Nasi Goreng Kampung dan Rojak.

MAHU MENYERANTAU KE MELBOURNE

The Lab juga sudah mempunyai kafe kecil bernama Sinseh: The Grocery yang bertemakan kedai menjual perubatan tradisional Cina. Sinseh: The Grocery memberikan tumpuan kepada hidangan pencuci mulut.

Apabila ditanya siapakah bos sebenar di antara mereka berdua, kedua-dua mereka ketawa dan menuding jari ke arah satu sama lain. Luqman dan Ejan juga memberitahu BERITAMediacorp bahawa secara peribadi mereka berharap dapat membuka cawangan The Lab di Melbourne pada masa depan.

Dalam segmen ‘5 Soalan Bersama…’ minggu ini, wartawan Ruzaini Rashid mengajak anda mengenali dengan lebih intim lagi, pasangan yang ceria dan mesra ini:

SOALAN 1

Ruzaini: Mengapa anda berdua memilih sains sebagai tema utama kafe The Lab?

Luqman & Ejan: Kami mempunyai impian yang sama iaitu membuka sebuah kafe yang melewati sempadan tradisional dan mengisi kekosongan yang tidak dapat dilaksanakan kafe-kafe lain. Sebagai contoh, terdapat kurang bekalan kafe hipster pada masa itu yang memenuhi citarasa masyarakat Muslim yang muda dan pernah ke negara-negara lain. Lantaran itu, kami mengambil peluang untuk membuka kafe ini.

Sejak awal lagi, kafe ini memang berlainan. Dengan menawarkan pengalaman makanan dan minuman yang mampan, bersama minat kami terhadap memasak dan membuat kek, kami meneroka untuk mewujudkan menu yang baru dan menarik. Usaha itu yang mencetus nama syarikat kami iaitu “We Experiment”. Maka tema sains seiring dengan nama syarikat kami.

Ia juga mendapat inspirasi daripada siri televisyen Amerika Syarikat, Breaking Bad. Jadi hiasan dalaman kafe, kami membuatnya seperti sebuah makmal sains, dihias dengan tabung uji, botol perubatan dan (alat) penitis.

SOALAN 2

Ruzaini: Bolehkah anda kongsikan kepada kami seorang pelanggan yang masih anda ingat sehingga sekarang?

Luqman: Namanya Bruno. Seorang ‘mat saleh’. Mukanya garang dan beliau sedang makan malam dengan keluarganya. Jadi apabila beliau mengangkat tangan, saya sudah memikirkan pasti ada ‘complain’ (aduan). Namun, beliau sebenarnya memuji makanan dihidangkan dan beliau juga seorang cef! Jadi saya kumpulkan kakitangan dapur saya dan memperkenalkan kepada Bruno. Pelanggan seperti Bruno yang memberi motivasi dan terus membakar minat kami untuk berusaha dengan lebih baik.

Ejan: Saya dan Luke (Luqman) mendapat inspirasi daripada kafe-kafe di Melbourne. Sebelum kami membuka kafe ini, kami sentiasa melihat kafe-kafe di Melbourne melalui app seperti Instagram. Satu hari itu (ketika itu saya belum pernah ke Melbourne lagi), seorang pelanggan wanita memberitahu saya, “Wah, kafe anda membuat saya teringatkan Melbourne. Sekitarannya, makanannya. Anda mesti kerap ke Melbourne?”. Saya memberitahunya saya belum pernah pergi tetapi dapat inspirasi dari sana. Beliau terus berkata: “Anda harus buka satu cawangan di Melbourne. Ia sangat sesuai dan Melbourne perlu ada kafe Halal seperti The Lab.”

SOALAN 3

Ruzaini: Sebagai pasangan suami isteri, apakah satu kebaikan yang dapat diraih daripada bekerja bersama?

Luqman: Dapat jumpa setiap hari! Tak boleh cabut! Haha

Ejan: Saya dapat melihat suami saya yang kacak ini (hehe) membuat kerja yang diminati beliau.

SOALAN 4

Ruzaini: Hahaha. Bila sebenarnya anda dua berjumpa dan mula jatuh cinta?

Luqman: Kami rakan kerja di sebuah kafe di Kandahar Street sebelum ini. Saya sedang bekerja sambil meneruskan pelajaran di universiti. Dengan tekanan mencari rezeki dan belajar, tanpa saya menyedari, Ejan menjadi tempat mendengar semua luahan saya. Kami ada minat yang sama dari segi muzik dan juga urusan F&B. Suka (berkunjung) ke kafe-kafe, meneroka perkara baru, berbasikal pada waktu malam. Lama kelamaan mulalah jatuh cinta dan rasa senang terhadap satu sama lain.

Ejan: Pertama sekali saya lihat Luke saya rasa beliau “will never passed off as someone I'd date”. Tetapi setelah mengenali dirinya mulalah ada rasa sedikit. Apa yang paling saya suka mengenainya adalah hatinya yang jujur. Kami tidak pernah ada hubungan istimewa pun! LOL. Kami sering memperkenalkan diri sebagai “Teman Istimewa”.

SOALAN 5

Ruzaini: Memasak itu adalah …

Luqman: Sesuatu yang pasti saya “gagal melakukan”. Isteri saya yang pakar. Beliau adalah ‘Michellin 1 Star’ saya.

(Gambar-gambar: Luqman / Ejan A Rahman)

Ejan: Huh? Hanya satu bintang!!! Haha… Bagi saya memasak adalah sesuatu yang saya sangat suka. Menghidangkannya di atas meja dan melihat oang ramai menikmatinya. Buat hati saya rasa senang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan