Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Pakar Perbidanan Dr Jazlan Joosoph

Dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam Singapura, Dr Jazlan Joosoph, 46 tahun, adalah antara 'jenama' dalam sektor perbidanan Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Pakar Perbidanan Dr Jazlan Joosoph

Pakar Perbidanan, Dr Jazlan Joosoph. (Gambar-gambar: Dr Jazlan Joosoph)

BERITAMediacorp: Kebanyakan wanita yang hamil dan bakal melahirkan bayi lazimnya akan mendapatkan khidmat pakar perbidanan pilihan mereka. Dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam Singapura sendiri, Dr Jazlan Joosoph, 46 tahun, adalah antara 'jenama' dalam sektor perbidanan Melayu.

Dalam ruangan '5 SOALAN BERSAMA...' minggu ini, wartawan Nurulkhasanah Agost mengajak anda mengenali Dr Jazlan Joosoph bukan saja sebagai pakar perbidanan, malah sisi lain beliau sebagai ‘orang biasa’ dan juga sebagai seorang bapa.

Malah, menerusi wawancara dengan BERITAMediacorp ini, ternyata bekas pelajar Maktab Rendah Victoria itu, juga suka berjenaka. Apa yang beliau jenakakan? Ini dia wawancara bersama Dr Jazlan yang sudah menyambut lebih daripada 5,000 kelahiran bayi sepanjang kerjayanya:

(Gambar: Dr Jazlan Joosoph)

SOALAN 1

Khasanah: Apakah salah satu pengalaman paling genting yang pernah Dr Jazlan lalui semasa bertugas sebagai pakar perbidanan?

Dr Jazlan: Saya sering membayangkan jika saya terpaksa menyambut kelahiran bayi di luar hospital. Mungkin semasa saya sedang berjalan-jalan di Orchard Road, tiba-tiba terdapat seorang wanita yang sarat hamil dan sudah tiba masa untuk melahirkan bayi.

Pasti terdapat ramai orang yang berkumpul dengan keadaan cemas dan ghairah. Saya juga membayangkan saya akan tampil dan menenangkan keadaan, sambil membuat pengumuman yang berbunyi: “Buat bertenang. Buat bertenang. Saya doktor bidan.” Dream on! Keadaan sebegini belum pernah terjadi kepada diri saya dan mungkin tidak akan terjadi. Usah berangan nak jadi hero! Ia hanya berlaku dalam filem. Tetapi...Never say never!

Memang banyak pengalaman genting dan cemas dalam bidang perbidanan. Yang paling lumrah berlaku adalah ketika terpaksa mengambil keputusan darurat untuk segera melahirkan bayi yang berada dalam keadaan bahaya.

Apabila ini berlaku, kami para doktor and jururawat terpaksa bergegas ke bilik pembedahan. Cepat tanggalkan baju dan menyalin kepada pakaian di bilik pembedahan. Cepat mencuci tangan dan cepat mengambil pisau untuk memotong perut wanita hamil itu.

SOALAN 2

Khasanah: Apakah ciri-ciri tugas anda sebagai pakar perbidanan dan sakit puan, yang anda rasa paling bermakna dan mengapa?

Dr Jazlan: Bagi diri saya, yang paling bermakna adalah apabila saya terlibat dan dapat membantu usaha pasangan suami-isteri yang mengalami pelbagai masalah untuk mendapatkan zuriat.

Tidak kira sama ada tanggungjawab merawat dan memberi panduan kesihatan kepada mereka yang mempunyai masalah ketidaksuburan, atau mereka yang ditimpa keperitan mengalami masalah keguguran secara berulang kali, atau mereka yang menderita dengan masalah kematian kandungan atau juga membantu mereka yang gigih berusaha untuk mendapatkan cahaya mata pada usia lanjut.

Nikmat kepuasan yang dapat saya raih dalam setiap usaha dan pengorbanan ini tidak ternilai.

(Gambar: Dr Jazlan Joosoph)

Khasanah: Anda dan isteri kedua-duanya doktor. Adakah anda juga mengharapkan anak anda mengikut jejak yang sama suatu hari nanti?

Dr Jazlan: Anak-anak kecil mudah terpengaruh dengan ibu-bapa mereka. Anak saya tidak terkecuali. Maka, sejak kecil lagi dia sudah bercita-cita untuk mengikuti jejak langkah ibu-bapanya dalam bidang kedoktoran.

Alhamdulillah, saya bersyukur dengan cita-cita murni anak lelaki saya ini kerana saya anggap tugas sebagai doktor adalah satu amanah yang mulia.

Ketika usianya masih kecil, dia menyatakan bahawa cita-citanya adalah untuk menjadi seorang doktor dan membuka kedai menjual mainan. Tetapi sekarang mungkin cita-citanya sudah berubah untuk tetap menjadi seorang doktor tetapi juga untuk membuka kedai menjual iPad.

Biarlah cita-cita sampingannya berubah mengikut usia dan minat. Asalkan cita-cita menjadi doktor terus berkekalan.

SOALAN 4

Khasanah: Adakah memang cita-cita Dr Jazlan sejak kecil mahu menjadi doktor dan pakar sakit puan atau Dr pernah mempunyai cita-cita lain?

Dr Jazlan: Cita-cita untuk menjadi seorang doktor hanya mula muncul selepas peperiksaan peringkat A. Sebelum itu, saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Namun, seorang guru telah meyakinkan saya untuk tidak menjadi guru. Sebaliknya, beliau menggalak saya untuk menjadi seorang doktor. Dan guru ini mempunyai suami yang merupakan seorang doktor.

Saya bertuah kerana tidak hanya berjaya mendapat tempat dalam jurusan perubatan di Universiti Nasional Singapura. Malah, saya turut mendapat biasiswa untuk menampung kos pengajian sebagai mahasiswa selama 5 tahun.

Sekarang ketika mengimbas kembali pesanan guru saya, tidak disangka bahawa saya tidak setakat patuh menerima nasihat guru saya untuk menjadi doktor. Malah, saya mengambil langkah selanjutnya untuk menjadi seperti suami kepada guru saya itu.

Guru saya yang dimaksudkan itu ialah isteri kepada Dr Abdul Aziz, seorang pakar perbidanan.

Dr Jazlan bersama isteri dan anak lelaki beliau. (Gambar: Dr Jazlan Joosoph)

Khasanah: Apakah kegiatan yang Dr Jazlan lakukan di luar waktu bekerja?

Dr Jazlan: Ini soalan cepumas. Yang menjadi persoalan adalah waktu yang terluang. Ini agak jarang berlaku. Namun, apabila terdapat waktu untuk beriadah antara hobi yang saya gemari adalah fotografi. Saya cuba meluangkan satu hari pada setiap bulan untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di Singapura.

Satu lagi kegiatan riadah yang saya minati adalah melancong dan hanya ketika saya melancong di luar negara, saya tidak perlu bimbang tentang tugas.

Dan akhir sekali, saya gemar bersukan. Antara sukan yang saya gemari adalah berenang, tenis dan berbasikal dalam gim. Saya turut ke gim untuk senaman otot dan mengikuti kelas erobik Body Combat.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan