Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Halimah Yacob

Sudah banyak diperkatakan tentang Halimah Yacob tentang kerjaya, pencapaian dan keinginan beliau mahu menyumbang pula sebagai Presiden.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Halimah Yacob

Mantan Speaker Parlimen Cik Halimah Yacob. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

BERITAMediacorp: Sudah banyak diperkatakan tentang Halimah Yacob tentang kerjaya, pencapaian dan keinginan beliau mahu menyumbang pula sebagai Presiden.

Tapi tahukah anda apa dia "perkara paling gila" yang pernah dilakukan Cik Halimah Yacob? Dan apakah perkara yang orang paling tidak tahu tentang beliau?

Anda pasti terkejut apabila mengetahui beberapa jawapan beliau dalam segmen '5 Soalan Bersama...' ini, di mana wartawan Nurulkhasanah Agost membawa anda melihat pula sisi Cik Halimah yang lebih santai. Ini dia...

SOALAN 1

Khasanah: Apa perkara yang boleh dikatakan paling ‘gila’ yang pernah anda lakukan dan mengapa? Apa renungan anda tentang perkara tersebut setelah melakukannya?

Halimah Yacob: Banyak perkara yang paling ‘gila’ yang pernah saya lakukan (ketawa). Tapi saya beri satu contoh. Semasa di sekolah dulu, semasa di peringkat prauniversiti di Sekolah Perempuan Tanjung Katong. Kadang-kala kalau mempunyai masa dan pelajaran agak membosankan, saya terus keluar dari pagar tepi (di sekolah), lari balik rumah! Satu masa kawan-kawan ajak pergi tengok wayang. Teruklah kalau kita fikirkan, masa (pelajaran sedang berlangsung di) sekolah (saya pergi) tengok wayang dengan berpakaian seragam. Tetapi itu perkara yang ‘gilalah’ yang saya lakukan.

Tapi itukan lumrah. Semasa kita dalam belasan tahun, sedang mencari-cari, itu sesuatu yang kita lakukan. Semasa kita lebih dewasa, lebih matang fikiran, tahulah kita bagaimana kita perlakukan keadaan tersebut.

SOALAN 2

Khasanah: Apakah perkara yang mungkin orang tidak tahu tentang diri anda?

Halimah Yacob: Itu soalan yang sukar ye. Saya ini sebenarnya suka makan kacang. Ramai yang mungkin tidak tahu, semua jenis kacang saya suka makan. Tapi yang paling saya suka adalah kacang biasa, ‘ground nuts’ (kacang tanah). Doktor selalu nasihatkan saya supaya janganlah memakan terlampau banyak kerana ia mungkin akan menyebabkan ‘sinus’ saya datang kembali. Tapi agak sukarlah untuk mengawal diri untuk tidak makan kacang. Saya akan makan segala-gala kacang. Itulah ramai yang mungkin tidak tahu.

Ramai juga mungkin tidak tahu. Saya paling takut tempat-tempat sempit. ‘Claustrophobia’. Satu kali saya ikut suami saya pergi naik kereta api malam dari Geneva ke Paris. Kemudian tempat tidurnya amat kecil, saya tak dapat tidur. Saya berjaga sepanjang malam hampir saya berdiri. Saya tak duduk. Takut kalau tembok-temboknya jatuh ke atas saya. Itulah masalah saya.

SOALAN 3

Khasanah: Senaraikan tiga perkara ‘paling Singapura’ tentang diri anda dan mengapa?

Halimah Yacob: Saya paling suka makanan Singapura. Mi Rebus, Laksa, Nasi Lemak, Beriani. Wah! Sedap makanan eh? Kalau pergi ke luar negara pun, semasa saya berkhidmat di NTUC, di Geneva sebagai anggota ILO saya terpaksa pergi dalam tiga, empat tahun sekali. Wah, makanan Singapuralah yang paling saya rasa tidak dapat di sana. Kekurangannya begitu ketara.

Kedua, saya rasa kita (hidup) dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Jadi banyak sangat warna-warni masyarakat kita yang kadang-kala kalau kita pergi ke negara lain. Negara Eropah misalnya, kita tidak dapat lihat warna-warni tersebut.

Ketiga tentu sekali keluarga. Ke mana pun kita pergi taklah sama seperti bumi yang dipijak. Kalau saya pergi ke mana-mana pun, kalau saya balik rasa lega tu berbeza sekali.

Halimah Yacob dalam satu sesi wawancara eksklusif bersama BERITAMediacorp. (Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

(Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

SOALAN 4

Khasanah: Apakah peristiwa paling sedih yang pernah anda alami dan menitiskan air mata?

Halimah Yaacob: Yang paling akhir sekali semasa ibu saya meninggal. Tahun 2015. Pada masa itu saya sedang sibuk, hari mengundi. Saya berada di pusat-pusat undi yang di Marsiling. Saya menerima panggilan daripada anak saya, walhal satu hari suntuk sebelum itu semasa Hari Bertenang, saya bersama ibu saya dan pagi itu saya terpaksa pergi ke pusat undi, saya berkata dalam hati “Selepas saya selesai saya akan pergi jumpa ibu di hospital”. Tapi niat tak tersampai.

Setelah mengebumikan ibu pada pukul 5.00 petang, kami mengadakan kenduri kemudian saya terpaksa pergi ke stadium kerana di stadium itu kami menerima keputusan (undian). Pengumuman tentang pengundian di kawasan undi saya.

SOALAN 5

Khasanah: Ini Soalan Mikrofon Terbuka untuk anda. Luahkan sebarang perkara yang mahu anda kongsi.

Halimah Yacob: Keluarga amatlah penting. Saya berharap kita akan menumpukan perhatian kepada keluarga. Saya paling bimbang (bila) saya lihat perpecahan dalam keluarga. Jika keluarga tidak membantu, menyokong satu sama lain, agak sukarlah. Ini kerana masyarakat boleh membantu (tetapi) ada had-hadnya. Jadi tumpukanlah kepada keluarga, sokong menyokong antara satu dengan yang lain.

Terus ikuti wawancara eksklusif BERITAMediacorp bersama dua lagi bakal calon Presiden - Encik Farid Khan dan Encik Salleh Marican - esok (6 Sep) dan lusa (7 Sep) dalam edisi khas 5 Soalan Bersama. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan