Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Dr Elly Sabrina

Dengan lebih 22 tahun pengalaman dalam bidang perubatan, kepakarannya memang tidak dapat disangkal. Sebagai seorang doktor keluarga serta pengarah Banyan Clinic yang terletak di Woodlands Avenue 6, nama Dr Elly Sabrina Ismail kian dikenali di kalangan masyarakat Melayu tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Dr Elly Sabrina

Dr Elly Sabrina. (Gambar: Elly Sabrina/ Facebook)

BERITAMediacorp: Dengan lebih 22 tahun pengalaman dalam bidang perubatan, kepakarannya memang tidak perlu disangkal lagi. Sebagai seorang doktor keluarga serta Pengarah Banyan Clinic yang terletak di Woodlands Avenue 6, nama Dr Elly Sabrina Ismail sudah begitu dikenali di kalangan masyarakat Melayu tempatan.

Beliau juga anggota jawatankuasa Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA) dan bertindak sebagai anggota lembaga Geng Sihat SG.

Berkongsi tentang kerjayanya, Dr Elly juga sebenarnya berjaya memenuhi impian ibu bapanya untuk menjadi seorang doktor. Bagaimanapun, menurutnya, cinta dan minatnya dalam jurusan biologi dan kajian tubuh manusia di peringkat sekolah menengah dahululah yang menjadi pemangkin dan dorongan utama baginya untuk terus terlibat dalam bidang perubatan.

Lebih mengagumkan, meskipun sibuk menguruskan kliniknya sendiri dan terlibat dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan, beliau tetap aktif bersenam Zumba, tenis dan ‘kick boxing’!

Dalam segmen ‘5 Soalan Bersama…’ minggu ini, wartawan Ira Musfirah mengajak Dr Elly Sabrina berkongsi pengalamannya dan menyelam pemikirannya sebagai seorang doktor.

SOALAN 1

Ira: Sebagai sebahagian daripada Geng Sihat SG, apa mesej yang ingin anda pupuk ke dalam masyarakat?

Dr Elly: Geng Sihat SG dianggotai karyawan kesihatan dan sekutu kesihatan Melayu/ Islam yang bekerjasama dengan orang ramai dari Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan terutama masyarakat Melayu, dengan berbekalkan ilmu dan kemahiran bagi membantu mencapai tahap kesihatan yang lebih baik melalui amalan gaya hidup sihat.

Mesejnya ialah bahawa kami boleh merubah landskap kesihatan masyarakat. Tetapi untuk melakukan demikian, setiap individu harus bertanggungjawab ke atas kesihatannya dan mengajak keluarganya untuk terlibat sama. Satu individu, satu keluarga, dan diharapkan kepada seluruh masyarakat sekaligus.

SOALAN 2

Ira: 3 perkara yang anda sering berpesan kepada para pesakit anda?

Dr Elly: Saya akan berpesan agar

a) Laburkan masa, tenaga dan wang anda ke dalam kesihatan anda sekarang sebelum anda harus melaburkan semuanya bagi penyakit kemudian hari.

b) Sasar untuk menjadi sihat dan kuat, bukan sahaja untuk diri anda, tetapi juga demi keluarga dan orang-orang tersayang. Paling penting, buat Pencipta kita kerana hamba yang sihat dan kuat akan dapat terus bersujud kepadaNya dan berkhidmat kepada masyarakat, menurut hadith Al-Bukhari.

c) Makanan dan senaman adalah suplemen sebenar bagi kehidupan yang lebih sihat. Malangnya, saya tidak dapat memberikan anda dalam bentuk pil, tetapi saya dapat memberi tip dan nasihat untuk terus membantu anda mencapai tahap kesihatan yang lebih baik.

SOALAN 3

Ira: Apa yang sering anda sisipkan dalam diet harian bagi mengekalkan kesihatan?

Dr Elly: Saya akan amalkan

a) Setengah pinggan sayur-sayuran dan buah-buahan bagi ketiga-tiga waktu makan. Ia membuat saya rasa kenyang tanpa banyak kalori.

b) Minum air putih sepanjang hari. Saya juga minum kopi hitam pada waktu pagi, tanpa gula. Dan saya amalkan makan buah-buahan berbanding jus buah-buahan.

c) Kurangkan gula, lebihkan serat dan tentunya kurangkan kandungan kalori.

d) Sertakan bijirin penuh. Saya masak menggunakan beras basmati atau beras perang. Saya juga bakar roti bijirin penuh sendiri, dan menggantikan mi kuning dengan spageti bijirin penuh atau vermicelli beras perang. Saya juga menggantikan beras dengan “rolled oats” bagi menghidangkan bubur ala Bubur Oat Lambok.

(Gambar-gambar: Elly Sabrina/ Facebook)

e) Hadkan segenggam nasi atau mi pada setiap waktu makan. Dan sebab itu jugalah, saya memerlukan sayur-sayuran sehingga separuh pinggan untuk berasa kenyang.

f) Sertakan protein sebesar tapak tangan pada setiap waktu makan seperti telur, ikan, dada ayam, daging, tofu dan tempe. Bahan-bahan ini dapat membuat anda berasa kenyang serta menguatkan otot.

g) Makan masakan rumah pada hari kerja supaya dapat mengawal cara hidangannya. Kurangkan minyak, gula dan garam.

h) Saya gemarkan masakan Melayu. Oleh itu, saya cuba menggantikannya dengan cara hidangan yang lebih sihat supaya kami dapat menikmatinya tanpa berasa bersalah.

SOALAN 4

Ira: Apakah cabarannya dalam menjalankan operasi bagi klinik anda sendiri?

Dr Elly: Menjadi seorang doktor bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah. Tetapi tugasan yang lebih berat ialah untuk mengetahui cara mengendalikannya sebagai seorang penolong klinik, jururawat, pembeli, pengurus klinik, pengurus HR dan sebagainya. Untuk menjalankan klinik sendiri, anda perlu tahu bagaimana untuk mengelolakannya, dan mereka tidak mengajar kemahiran ini di sekolah perubatan. Ia juga menarik, kerana semuanya harus dipelajari dalam proses membuka klinik itu sendiri.

Bagaimanapun, yang seronoknya, anda dapat menentukan berapa sering anda ingin bekerja, bagaimana anda mahu bekerja, dan berapa banyak anda mahu membayar diri sendiri. Peluang untuk bekerja sendiri dan memiliki masa yang fleksibel membolehkan saya mengimbangi masa kerja dan bersama keluarga dengan baik, selain dapat meluangkan masa dalam minat saya seperti kerja kemasyarakatan dan sukan.

SOALAN 5

Ira: Apa nasihat anda kepada mereka yang sedang menuntut dalam bidang perubatan, atau mereka yang berhasrat untuk menjadi seorang doktor?

Dr Elly: Seperti pekerjaan lain, ia bukan suatu yang mudah pada awalnya. Anda harus bekerja buat jangka panjang, dan adakalanya sehingga menjejas diri dan keluarga. Pendapatan awal juga mungkin tidak setimpal dengan kerja keras anda. Tetapi di penghujungnya, anda akan berasa puas kerana dapat memanfaatkan ilmu yang sudah ditimba untuk membantu menyembuhkan orang lain. Dan inilah keistimewaan yang anda raih setiap hari sebagai seorang doktor.

Pada masa yang sama, usah risau tentang ketiadaan masa, sumber atau tenaga untuk mendampingi masyarakat. Kami boleh mencari cara lain untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan membantu orang lain tanpa menjejas kerja serta masa bersama keluarga. Seorang doktor itu sebenarnya hanya akan menjadi sebaik masyarakat yang didampinginya.

Malah, kepuasan sebenar saya ialah, di penghujungnya, walaupun saya mungkin tidak dapat merawat seseorang itu, sekurang-kurangnya saya masih dapat menenangkan dan membantunya. Dan itu juga merupakan suatu ibadah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan