Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Alif

Bermula sebagai salah seorang anggota daripada duo Sleeq, beliau yang dahulunya lebih dikenali sebagai Alyph Sleeq, kini jelas lebih selesa dengan panggilan Alif sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Alif

(Gambar: Alif/ Instagram)

BERITAMediacorp: Bermula sebagai salah seorang anggota daripada duo Sleeq, beliau yang dahulunya lebih dikenali sebagai Alyph Sleeq, kini jelas lebih selesa dengan panggilan Alif sahaja. Meskipun beliau kini seakan-akan ‘senyap’, Alif yang cenderung dalam genre rap sebenarnya lebih giat menghasilkan lagu-lagu sendiri dan buat para penyanyi lain di Malaysia.

Sudahpun bergelar seorang bapa sekitar 11 bulan lalu, Alif, 27 tahun, kini juga menggalas tanggungjawab sebagai ayah kepada Alana dan suami kepada personaliti tempatan Azzah Fariha. Malah, Alif dan Azzah juga sedang menjalankan perniagaan makanan The BreadGang yang terletak di Aiman Café di Jurong East!

Di tengah-tengah segala usahanya untuk berulang-alik antara Singapura dan Kuala Lumpur demi mencari rezeki, anak sulung ini juga nyata tabah mengharungi dugaan selepas kehilangan ibunya yang tersayang tahun lalu. Dalam segmen 5 Soalan Bersama… minggu ini, wartawan Ira Musfirah mencungkil idea dan cara pemikiran Alif dari segi muzik dan kegiatannya bersama keluarga tercinta.

(Gambar: Alif/ Instagram)

(Gambar: Alif/ Instagram)

SOALAN 1

Ira: Sebagai seorang penerbit muzik, apa ciri-ciri muzik yang bagus bagi anda?

Alif: Pertama, kandungan lagu. Kita boleh menulis tentang satu topik tetapi terdapat berjuta cara lain untuk meluahkannya. Di situlah terujinya kreativiti. Kedua, “vibes”. Kita sudah berada dalam tahun 2017, oleh itu kita harus menghasilkan muzik seperti bagi tahun 2017 hingga 2027. Tidak salah untuk mengambil ilham daripada genre muzik tahun-tahun lalu, tetapi kita harus terus bergerak ke depan.

SOALAN 2

Ira: Jika anda dapat membawa keluarga ke mana sahaja, ke mana akan anda bawa mereka?

Alif: Makkah, semestinya. Kemudian, ke New Zealand kerana di situlah tempat terakhir saya bercuti bersama arwah Mama dan saya ingin kembali ke negara itu dan berkongsi perasaan menakjubkan itu bersama isteri dan anak perempuan saya.

(Gambar: Azzah Fariha/ Instagram)

(Gambar: Azzah Fariha/ Instagram)

SOALAN 3

Ira: Inspirasi bagi muzik anda?

Alif: Saya sedar bahawa saya tidak boleh meniru orang lain. Saya pernah cuba dan ia tidak berhasil. Saya hanya harus melakukan apa yang terbaik untuk diri saya. Dan inspirasi saya biasanya adalah pengalaman serta kisah-kisah yang sering saya dengar setiap hari.

SOALAN 4

Ira: Hobi dan makanan kegemaran anda?

Alif: Masa bermain bersama Alana, mencuri waktu untuk keluar ‘dating’ bersama Azzah, menonton wayang dan urut kaki. Makanan kegemaran saya tentulah Pulled Beef Quesadilla dari The Bread Gang @ Aiman Café!

SOALAN 5

Ira: Sebagai anak sulung dalam keluarga, apa yang dapat anda nasihatkan kepada adik-adik anda?

Alif: Saya jarang memberi nasihat kecuali mereka sendiri yang bertanya kepada saya sebenarnya. Tetapi tentunya saya ingin tahu apa yang berlaku dalam kehidupan mereka. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa saya akan sentiasa ada untuk mereka tanpa mengira hari dan waktu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan