Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Zuraidah Abdullah wanita ketiga terima Anugerah Jauhari

Anugerah Jauhari Harapan 2016 pula diberikan kepada juara silat dunia, Sheik Farhan Sheik Alau'ddin.

Anggaran Waktu Membaca:
Zuraidah Abdullah wanita ketiga terima Anugerah Jauhari

Cik Zuraidah Abdullah. (Gambar: Facebook/Masmunah Abdullah)

SINGAPURA: Penolong Pesuruhjaya Kanan yang juga Pengerusi Yayasan Warisan Melayu, Cik Zuraidah Abdullah dijulang sebagai penerima Anugerah Jauhari 2016.

Anugerah Jauhari Harapan 2016 pula diberikan kepada juara silat dunia, Sheik Farhan Sheik Alau'ddin.

Kedua-duanya menerima anugerah akhbar Berita Harian itu daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu majlis penyampaian di Hotel Furama Riverfront yang sedang berlangsung malam tadi (30 Ogos).

Wanita pertama yang menyandang jawatan Penolong Pesuruhjaya Kanan - jawatan ketiga tertinggi dalam Pasukan Polis Singapura.

Lulusan universiti Melayu pertama dan wanita keenam yang menyertai pasukan polis melalui program kemasukan langsung.

Kini, Cik Zuraidah Abdullah, 54 tahun, adalah wanita ketiga selepas Speaker Parlimen, Cik Halimah Yacob dan pereka tari, Cik Som Said, menjadi penerima anugerah berprestij itu, yang mengiktiraf sumbangan dan pencapaian cemerlang individu Melayu/Islam setempat.

Atas kegigihannya selama 30 tahun dalam pasukan polis, Cik Zuraidah dinaikkan pangkat untuk memegang jawatan-jawatan kanan.

Beliau kini dipinjamkan kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) sebagai komander kawalan utama.

"Dengan memberikan yang terbaik, masyarakat akan percaya pada kita. Kepercayaan masyarakat sangat penting kerana tanpa kepercayaan mereka ia akan membuat pekerjaan kita susah dalam mencegah jenayah dan juga pengganasan," ujar beliau.

Tidak setakat cemerlang dalam kerjaya, Cik Zuraidah juga menabur bakti kepada masyarakat melalui Yayasan Mendaki dan Yayasan Warisan Melayu.

Beliau mengatakan lagi: "Saya harap kerja-kerja masyarakat saya akan memberangsang lebih ramai lagi untuk tampil ke hadapan dan menghulur tangan, membantu kepada badan-badan bantu Melayu Singapura."

Bagi penerima Anugerah Jauhari Harapan, Sheik Farhan, 18 tahun, anugerah itu menjadi pencetus semangat baginya untuk terus meniti tangga kejayaan.

Bagaikan 'di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi', Sheik Farhan yang menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia tahun lalu, menyifatkan ayahnya yang merupakan pesilat mapan, Sheik Alau'ddin sebagai sumber inspirasi.

"Saya nampak yang terbaik dalam silat ialah bapa saya dan untuk menjadi terbaik saya harus ikut yang terbaik," katanya.

Farhan berharap anugerah tersebut dapat dijadikan sandaran terutamanya kepada atlit-atlit muda supaya dapat memartabatkan lagi arena sukan Singapura.

Beliau menambah: "Untuk golongan muda, ia memberitahu bahawa mereka boleh mencapai apa yang mereka mahu tidak kira usia dan saya rasa mereka harus tidak takut untuk mencapai cita-cita."

Anugerah Jauhari disampaikan buat tahun ke-18 malam tadi (30 Ogos). 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan