Images
  • mendaki kp
    Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim (tengah) dalam Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Mendaki. (Gambar: Facebook/ Mendaki Singapore)

Yayasan MENDAKI beri lebih tumpuan persiap kanak-kanak, dewasa hadapi ekonomi digital

SINGAPURA: Lebih banyak tumpuan akan diberikan kepada usaha mempersiapkan kanak-kanak serta golongan dewasa menghadapi perubahan dalam ekonomi digital.

Ini akan dilakukan menerusi program-program yang memberi lebih penekanan terhadap kemahiran teknologi dan digital serta pemberian anugerah pembelajaran yang membolehkan golongan pekerja dewasa menimba pengalaman di syarikat-syarikat berbilang negara (MNC) seperti Google dan IBM.

Itulah rancangan Yayasan MENDAKI bagi tahun kewangan seterusnya, yang didedahkan sendiri oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, dalam satu sidang media hari ini (17 Jun).

Ia diadakan sejurus selepas Mesyuarat Agung Tahunan badan tersebut yang ke-28.

Dalam tahun kewangan 2016, MENDAKI meraih pendapatan sekitar $37.2 juta. Daripada jumlah itu, kira-kira $34.2 juta dibelanjakan bagi menyokong pembangunan masyarakat melalui pendidikan, memberi manfaat kepada lebih 71,000 penerima.

Ini bermakna lebihan kewangan sekitar $3 juta dicatatkan pada tahun lalu - seganda lebih tinggi berbanding tahun kewangan 2015.

LEBIH TUMPUAN KEPADA TUNGGAK PERTAMA DAN KETIGA MENDAKI


Dengan lebihan itu, Dr Yaacob yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah MENDAKI berkata lebih banyak sumber kini akan disalurkan kepada usaha mempersiapkan kanak-kanak serta golongan dewasa menghadapi peralihan ke ekonomi masa hadapan.

Ini akan dilakukan menerusi program-program di bawah tunggak pertama dan ketiga MENDAKI , iaitu 'Siap Sedia Ke Sekolah' bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah serta 'Siap Sedia Untuk Masa Depan' bagi golongan dewasa.

"Harapan kita adalah untuk menjalankan lebih banyak program untuk menolong lebih ramai orang dari usia kecil di pusat-pusat jagaan kanak-kanak, antara usia 0-6 tahun, apa lagi yang boleh kita lakukan untuk mempersiapkan mereka dan keluarga mereka bagi ekonomi baru.

"Bagi mereka yang lulus dari ITE, Politeknik dan sebagainya - bagaimana kita boleh menolong mereka membuka laluan-laluan pembelajaran sepanjang hayat demi mendapatkan kemahiran yang mereka perlukan dan juga pekerjaan-pekerjaan yang baik untuk mereka," ujar Dr Yaacob semasa ditemui pihak media tadi.

MENDAKI AKAN PERKENALKAN 2 ANUGERAH PEMBELAJARAN BARU

Dr Yaacob menambah, meskipun MENDAKI sudah berjaya dalam tumpuannya terhadap pendidikan sejak 35 tahun lalu, matlamatnya kini untuk terus mengembangkan lagi definisi pendidikan kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Oleh itu, MENDAKI akan memperkenalkan dua anugerah pembelajaran baru bagi golongan dewasa. Yang pertama sekali anugerah yang dikhususkan kepada golongan yang tidak mempunyai pendidikan formal dan ingin sambung belajar.

Sementara satu lagi adalah sejenis anugerah felow yang akan diberikan kepada golongan pekerja dewasa yang ingin menimba pengalaman bekerja di syarikat-syarikat besar, sama ada di dalam atau luar negara.

"Kami sedar bahawa pembelajaran sepanjang hayat ini bukan hanya melibatkan pendidikan tetapi juga pengalaman dan jika masyarakat kita diberikan peluang untuk meraih pengalaman bermakna, saya rasa ia akan menambah nilai kepada masyarakat kita," ulas Dr Yaacob.


PUSAT SATELIT KETUJUH MENDAKI AKAN DIBUKA DI KAWASAN BARAT

Di sidang yang sama, Dr Yaacob turut mengumumkan rancangan membuka pusat satelit MENDAKI yang ketujuh. Kali terakhir pusat satelit serupa dibuka ialah pada tahun 2014, di empat masjid tempatan. Sebelum itu, dua lagi dilancarkan pada 2013, di kolong blok flat HDB di kawasan Woodlands dan Pasir Ris.

Dr Yaacob bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh pembukaan pusat ketujuh itu. Namun ia dijangka dibuka di kolong blok, terletak di kawasan barat Singapura. MENDAKI berharap untuk mendapatkan lokasi yang sesuai dan lebih luas sebelum akhir tahun ini.

"Namun tumpuannya bukanlah mengenai keluasan pusat itu tetapi apakah program yang boleh kami jalankan yang akan menjadi relevan. Kita juga sedang meninjau program-program yang boleh membantu kanak-kanak supaya bersiap sedia untuk masa depan. Mungkin program-program seperti 'pengekodan' dan robotik," jelas Dr Yaacob lagi.

MENDAKI juga mendedahkan sebanyak $38 juta dari pendanaan pemerintah diagihkan tahun lalu menerusi Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS). Ia diberikan kepada lebih 21,500 pelajar - lebih 3,600 merupakan penerima kali pertama. Lagi $6 juta pula diagihkan dalam bentuk Pinjaman Pengajian kepada lebih 1,000 pelajar.

4 ANGGOTA BARU LEMBAGA PENGARAH MENDAKI DILANTIK


(Gambar-gambar: Mendaki)

Dalam pada itu, AGM Yayasan MENDAKI ke-28 menyaksikan pelantikan tujuh Pengarah Lembaga yang akan berkhidmat bagi penggal 2017-2019. Empat daripada mereka merupakan muka baru.

Mereka adalah:

1. Encik Ahmad Firdaus Daud (Majlis Pusat)
2. Encik Muhamad Nuzhan Abdul Halim (PERGAS)
3. Encik Norazlan Ibrahim (Kesatuan Guru-Guru Melayu, KGMS)
4. Cik Zarina Begam Abdul Razak (PERDAUS)

Empat pengarah yang berundur:

1. Encik Arzami Salim (Kesatuan Guru-Guru Melayu, KGMS)
2. Encik Irianto Safar (Majlis Pusat)
3. Encik Mohammad Taufiq Mohamed Ismail (PERDAUS)
4. Encik Muhammad Zahid Zin (PERGAS)

Tiga anggota lembaga pengarah yang dilantik semula:

1. Encik Farihullah a/l Abdul Wahab Safiullah (Persekutuan India Muslim, FIM)
2. Encik Abdul Akbar Abdul Kader (DPPMS)
3. Cik Rahayu Mohamad (PPIS) 

- BERITAMediacorp/ru

Top