Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wujudkan biasiswa khas, endowmen, jalan raya atas nama Othman Wok antara saranan bagi kenang beliau

Othman Wok seorang tokoh Melayu yang layak digelar sebagai 'Bapa Politik Melayu Singapura', dan selesainya majlis persemadian Allahyarham juga bermakna berlalunya satu era bagi masyarakat Melayu Singapura khususnya, dan Singapura umumnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selesainya enam ucapan eulogi atau perpisahan di majlis memperingati ketokohan pemimpin generasi pertama, Othman Wok pada Rabu (19 Apr) di Panggung Victoria, menandakan selesainya upacara persemadian bagi tokoh Melayu itu yang layak digelar sebagai 'Bapa Politik Melayu Singapura'.

Ini juga menandakan berakhirnya upacara persemadian paling berprofil tinggi bagi orang Melayu Singapura, sejak berpulangnya Presiden Pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak, 47 tahun lalu. 

Dalam erti kata lain, ini juga bermakna berlalunya satu era bagi masyarakat Melayu Singapura khususnya, dan Singapura umumnya.

PELBAGAI CADANGAN BAGI KENANG KETOKOHAN OTHMAN WOK

Bagaimanakah jasa, pengorbanan dan perjuangan Allahyarham Othman Wok, yang juga merupakan menteri kabinet Melayu pertama bagi Singapura, harus diabadikan dan dikenang? BERITAMediacorp berpeluang meninjau pandangan orang ramai semasa majlis khas di Panggung Victoria itu, dan bertanyakan kepada mereka mengenai cara yang terbaik bagi mengenang jasa Allahyarham. Ini beberapa jawapan yang kami terima.

Pengerusi Masjid Khalid, Haji Alauddin Mohamad berkata: "Pada pandangan saya kita harus wujudkan satu biasiswa khas untuk atas nama beliau untuk membantu anak-anak Melayu kita memperjuangkan pelajaran ke luar negara, di dalam negara...mudah-mudahan akan menjadi macam beliau sebagai menteri pertama Melayu dalam kabinet Singapura yang merdeka dahulu. Jadi, kita harus wujudkan satu institusi untuk menjayakan anak-anak melayu kita lebih cemerlang."

"Kita boleh namakan bangunan awam atas nama beliau ataupun kita boleh namakan jalan raya ataupun estet atas nama beliau. Mudah-mudahan dengan cara ini, generasi akan datang tidak akan melupakan namanya dan jasanya sekali," saran guru sains Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah Mahathir Abdul Latiff.

HARIMAU MATI MENINGGALKAN BELANG, OTHMAN WOK MATI MENINGGALKAN LEBIH DARIPADA NAMA

Kata orang Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Namun bagi Othman Wok, beliau meninggalkan lebih daripada itu. Beliau meninggalkan dan mengasaskan sebuah negara berbilang bangsa dan agama.

Lantaran itu, Ketua Program Pengajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Encik Alami Musa mencadangkan agar sebuah dana endowmen ditubuhkan atas nama Allahyarham: "Kita juga boleh memikirkan menubuhkan semacam satu dana endowmen misalannya untuk membantu mereka daripada golongan yang tidak berada.

"Ini saya lihat ini suatu bidang yang kita boleh berfikir bersama bagaimana kita dapat mengenang budi Almarham Othman Wok juga termasuk misalannya kajian-kajian yang kita boleh lakukan bagaimana untuk membantu golongan-golongan yang mempunyai risiko." 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan