Images
  • Saf Khan
    Allahyarham Safhras Khan adalah seorang wartawan di Yahoo. (Gambar-gambar: Saf Khan/Facebook)

Wartawan tempatan Safhras Khan meninggal dunia akibat serangan jantung

SINGAPURA: Seorang wartawan tempatan, Safhras Khan Abd Rahman, meninggal dunia hari ini (10 Sep), akibat serangan jantung. Beliau berusia 39 tahun.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh saudara perempuannya, Shaffinaz Khan, di laman Facebook sekitar pukul 9.00 pagi tadi.

Menerusi catatan itu Cik Shaffinaz menyatakan bahawa hari ini adalah hari paling sedih bagi beliau dan keluarga kerana abangnya meninggal dunia pagi tadi disebabkan serangan jantung.

Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Cik Shaffinaz berkata abangnya mengadu sukar bernafas dan sakit dada pada pagi tadi.

Menurut catatan kedua Cik Shaffinaz di laman Facebook beliau, jenazah sedang dibawa pulang ke rumah mereka di Choa Chu Kang St 51 dan akan dikebumikan selepas Zuhur.


Allahyarham Safhras Khan merupakan wartawan Yahoo News. Allahyarham pernah bertugas sebagai wartawan di Singapore Press Holdings, sebelum berpindah ke Mediacorp dan bertugas sebagai penerbit sukan di Channel NewsAsia.

Selepas meninggalkan Mediacorp, beliau juga pernah bertugas sebagai Pengurus Perhubungan Korporat dan Pembangunan Sumber di Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).   

- BERITAMediacorp/nk

Top