Images
  • noraini
    Cik Noraini Mohd Ali bersama suami beliau.

Wanita ini ceritakan pengalaman pahit setelah makan 'produk kesihatan' Herba Qaseh

SINGAPURA: Sepanjang tiga tahun lalu, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menerima lebih 30 laporan tentang reaksi buruk akibat pemakanan produk kesihatan yang mengandungi bahan terlarang.

Meskipun jumlahnya nampak tidak begitu besar berbanding lebih 230 produk yang disenaraikan HSA di lelamannya, namun sebilangan kes merupakan kesan sampingan yang serius.

Seorang mangsa produk sedemikian berkongsi pengalamannya bersama BERITAMediacorp dan bagaimana kisah beliau boleh dijadikan iktibar.

"MAKAN UBAT TERUS BUANG TONGKAT"

Tugasnya memerlukan Cik Noraini Mohd Ali, 56 tahun ligat bergerak.

Namun, sakit lututnya akibat artritis sedikit sebanyak menjejas pergerakan beliau.

"Satu hari itu saya pergi ke Johor Bahru, ada kedai ini dia syorkan saya ubat ini. Dia kata ramai yang dah solat duduk, makan itu, terus buang tongkat! Bila saya pertama kali makan itu, saya rasa macam magiklah. Terus saya rasa saya boleh kejar bas tau!" kata Cik Noraini seorang bekas pengguna PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb.


Produk "PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb'. (Gambar: HSA)

Mujur, Cik Noraini mula merasa syak apabila mendapati beberapa perubahan pada pemakanan dan tubuh badan beliau.

Beliau menambah: "Bila makan itu saya rasa selera makan saya naik. Memang naik mendadak. Rasa lapar sahaja. Kaki itu ada juga bengkak. Bengkak itu berlarutan. Sampai dua, tiga hari baru dia susut sedikit. Itu pun setelah saya berhenti makan (Herba Qaseh)."

"Sebagai pesakit, kita harus realistik dan kita tidak boleh mengharapkan penyakit seperti gaut, seperti radang sendi disebabkan umur, disebabkan kegemukan bila kita makan ubat, kita mahu baik pulih seperti muda-muda dahulu," kata Dr Masayu Zainab Masagos Mohamad, seorang doktor di Klinik Neptune.

APABILA UBAT "TERLALU BAGUS UNTUK DIPERCAYAI"

"Seperti yang telah kita lihat daripada kes terkini PHQ 1,001 (Herba Qaseh), harap berjaga-jaga apabila membeli produk-produk kesihatan daripada sumber yang tidak jelas.

"Apabila terlalu bagus untuk dipercayai, ia tidak boleh dipercayai. Ada ubat yang mendakwa mampu merawat atau memulihkan sakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi. Mereka janjikan kesan yang cepat atau paparkan janji luar biasa seperti “100% Selamat”, “Tiada Kesan Sampingan”, “Sakit Lega Serta Merta”," ujar Penolong Pengarah Kumpulan (Kelompok Pasca-Pasaran) Pengawalaturan Produk Kesihatan HSA Dr Dorothy Toh.

Lantaran itu, para pembeli perlu berhati-hati memilih ubat atau suplemen, tidak sekadar membuat keputusan mereka berdasarkan kesan sementara.

"World Journal of Pathology pernah buat liputan, laporan tahun 2004, 7% ubat-ubat sedemikian boleh menyebabkan kerosakan kepada hati. Pada 2013, 20% - meningkat - ubat-ubat ini, kerana pengguna lebih ramai makan kerana mereka tidak tahu label-label demikian tidak bermakna yang ubat itu selamat," tambah Dr Masayu.

BAGAIMANA INGIN TAHU UBAT TIADA KANDUNGAN STEROID?

Jika kita makan sahaja ubat itu, ia memberi kesan serta merta - sakit lutut itu hilang.

Jika diambil secara berterusan, ia boleh mengakibatkan berat badan meningkat, pipi menjadi tembam atau apa yang dipanggil sindrom Cushing.

Paling menakutkan, ia boleh mengakibatkan penyakit kencing manis seperti yang berlaku kepada wanita 60an tahun setelah makan Herba Qaseh.

Mujur, bagi Cik Noraini, insiden itu tidak memudaratkan beliau.

Beliau kini lebih berhati-hati dan malah akan bersikap lebih proaktif sebelum membeli produk kesihatan.

Sesiapa yang disabit kesalahan membekalkan produk kesihatan haram boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan/atau denda sehingga $100,000. 

- BERITAMediacorp/ru

Top