Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wajib daftar semula NRIC apabila cecah usia 55 tahun mulai Januari depan

Semua warga dan Penduduk Tetap (PR) Singapura yang akan mencecah usia 55 tahun pada atau selepas 1 Januari 2017, dan belum diberikan kad pengenalan (NRIC) ganti dalam tempoh 10 tahun sebelum ulang tahun mereka yang ke-55, perlu mendaftar semula bagi mendapatkan NRIC baru mulai Januari tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Nov 2016 12:05PM Dikemas Kini : 15 Nov 2016 12:13AM

SINGAPURA: Semua warga dan Penduduk Tetap (PR) Singapura yang akan mencecah usia 55 tahun pada atau selepas 1 Januari 2017, dan belum diberikan kad pengenalan (NRIC) ganti dalam tempoh 10 tahun sebelum ulang tahun mereka yang ke-55, perlu mendaftar semula bagi mendapatkan NRIC baru mulai Januari tahun depan.

Ini diumumkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) hari ini (14 Nov).

Bayaran pendaftaran S$10 dikenakan bagi warga Singapura dan S$50 bagi PR, menurut ICA, iaitu kos yang sama untuk mendaftar bagi NRIC pada usia 15 tahun dan pendaftaran semula pada usia 30 tahun.

ICA menjelaskan bahawa proses itu perlu dijalankan kerana gambar pada NRIC sedia ada menjadi lapuk sedang usia para pemegang NRIC meningkat, dan mungkin menyebabkan mereka sukar dikenal pasti, terutama warga emas.

"Selain mungkin menyusahkan para pemegang NRIC, ini juga boleh menimbulkan risiko keselamatan kerana pihak berkuasa mungkin tidak dapat mengenal pasti seorang individu secara tepat berdasarkan gambarnya yang sudah lapuk," menurut ICA.

Timbalan pengarah Pusat Khidmat Rakyat di ICA, Chui Wai Cheng, juga berkata: "Terdapat juga risiko bahawa jika kad itu diambil orang lain, individu itu boleh mengambil identiti pemegang kad asal. Ia mungkin dari segi urus niaga kewangan, atau percubaan membeli barangan dan perkhidmatan dengan menggunakan identiti orang lain."

Mediacorp difahamkan bahawa ICA sudah menerima maklum balas tentang kes-kes sedemikian, namun tidak menjejak perangkaan itu kerana sesetengahnya adalah insiden privet dan tidak dilaporkan.

Tambahan lagi, ICA menyatakan mulai 2017, ia merancang untuk mengumpul imej mata ketika NRIC baru dikeluarkan.

Ini setelah Parlimen pada 10 November meluluskan pindaan pada Akta Pendaftaran Nasional untuk mempertingkatkan keberkesanan dan kecekapan operasi ICA.

PENDAFTARAN SEMULA ADALAH WAJIB

Mereka yang dikehendaki mendaftar semula bagi NRIC mereka akan menerima surat notis dari ICA sebulan sebelum ulang tahun ke-55 mereka. Mereka akan diberi tempoh setahun untuk membuat pendaftaran semula - selepas mereka mencapai usia 55 tahun hingga sebelum mereka mencecah usia 56 tahun.

Mereka yang tinggal di luar negara boleh mendaftar semula NRIC dalam tempoh setahun selepas pulang ke Singapura.

ICA menyarankan agar pendaftaran semula dibuat secara online menerusi laman ICA.

"Mereka juga boleh mendaftar semula menerusi kios-kios layan diri di eLobby di tingkat satu Bangunan ICA.

"Pemegang NRIC yang tidak dapat mendaftar semula online boleh mengisi borang permohonan dalam surat notis ICA dan mengirimkannya kepada Pusat Khidmat Rakyat ICA," menurut ICA.

Pendaftaran semula yang dibuat online akan mengambil masa sekitar tiga hari kerja untuk diproses, sementara tempoh untuk permohonan menerusi surat diproses akan mengambil masa sekitar dua minggu, menurut ICA.

Ketika membuat pendaftaran semula, pemegang NRIC perlu mengemaskini perincian peribadi mereka dan menyerahkan gambar terkini mereka.

Kad pengiktirafan akan dikirimkan sekiranya permohonan mereka diluluskan. Para pemegang NRIC boleh membuat temu janji online atau menerusi app mudah alih ICA untuk mengambil NRIC mereka.

ICA menambah bahawa adalah satu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Nasional sekiranya pemegang NRIC gagal mendaftarkan semula NRIC-nya dalam setahun selepas mencapai usia 55 tahun, atau dalam setahun selepas pulang ke Singapura jika beliau tinggal di luar negara.

ICA juga menyatakan ia akan mengirimkan surat-surat peringatan enam dan sembilan bulan selepas pemegang NRIC mencecah usia 55 tahun untuk meminta mereka membuat pendaftaran semula, sekiranya belum berbuat demikian.

Bagi rakyat dan PR Singapura yang mencapai usia 55 tahun sebelum 2017, pendaftaran semula NRIC secara sukarela akan diperkenalkan mulai 2018, menurut ICA. Butiran lanjut akan diberikan tahun depan. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan