Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ustaz Alfian dilantik Presiden Kanan terbaru Mahkamah Syariah - termuda dalam sejarah S'pura

Mahkamah Syariah hari ini mengumumkan pelantikan Presiden Kanannya yang terbaru dan termuda, iaitu Ustaz Alfian Yasrif Kuchit, 39 tahun. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ustaz Alfian dilantik Presiden Kanan terbaru Mahkamah Syariah - termuda dalam sejarah S'pura

Ustaz Alfian Yasrif Kuchit dilantik sebagai Presiden Kanan terbaru dan termuda Mahkamah Syariah.

SINGAPURA: Mahkamah Syariah hari ini (29 Jun) mengumumkan pelantikan Presiden Kanannya yang terbaru dan termuda, iaitu Ustaz Alfian Yasrif Kuchit, 39 tahun.

Beliau akan menyandang jawatan tersebut berkuatkuasa Sabtu ini (1 Julai).

Ini bermakna, beliau akan melepaskan jawatannya sekarang selaku Timbalan Pengarah Perhubungan Masyarakat, di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.

Ustaz Alfian yang sebelum ini berkhidmat sebagai Presiden Mahkamah Syariah dari 2011 hingga 2014 - juga bakat termuda dilantik menjadi Presiden Mahkamah Syariah ketika itu pada usia 33 tahun.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan kemudiannya meraih Sarjana Undang-Undang dari Universiti Columbia di Amerika Syarikat.

USTAZ MOHAMAD RAIS & ZAINOL ABEEDIN HUSSIN BERSARA

Sementara itu, dua Presiden Mahkamah Syariah yang ada sekarang, akan bersara mulai esok, 30 Jun.

Mereka ialah Presiden Kanan Ustaz Mohamad Haji Rais dan Presiden Zainol Abeedin Hussin.

Dr Yaacob Ibrahim menghadiri majlis penghargaan yang diadakan bagi menghargai sumbangan dua Presiden Mahkamah Syariah yang akan bersara esok. (Gambar: Emilia Amin)

Bagi menghargai sumbangan mereka, satu majlis penghargaan diadakan untuk mereka.

Ustaz Mohamad, berusia 70 tahun, mula dilantik sebagai Presiden Kanan Kedua di Mahkamah Syariah pada tahun 2006.

SUMBANGAN 2 PRESIDEN SEKARANG

Di bawah kepimpinan Ustaz Mohamad, Mahkamah Syariah antara lain berjaya meningkatkan proses-proses mahkamah dan mengukuhkan program kaunseling perkahwinannya.

Seorang lagi Presiden, Encik Zainol Abeedin, berusia 71 tahun, memegang jawatan tersebut sejak tahun 2007.

Beliau menerajui penerbitan dua edisi pertama Laporan Rayuan Syariah Singapura, yang merupakan sumber utama rujukan bagi amalan undang-undang keluarga Islam di Singapura.

SEKALUNG BUDI DARI DR YAACOB IBRAHIM

Dalam ucapannya di majlis perhargaan itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim berkata, kemahiran, pengetahuan dan pengalaman mereka menjadikan mereka sumber rujukan yang tidak ternilai bagi undang-undang keluarga Islam.

Dengan pelantikan Ustaz Alfian sebagai Presiden Kanan yang baru, Dr Yaacob melahirkan keyakinan bahawa pasukan Mahkamah Syariah yang baru akan mengikut jejak pemimpin terdahulu dalam menegakkan piawai keadilan yang tertinggi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan