Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ujian akhir bagi teknologi cam wajah di Lapangan Terbang Changi dijalankan

Sepanjang beberapa minggu mendatang, sebahagian penumpang yang menaiki pesawat terpilih akan dapat mencuba teknologi pengecaman wajah di Terminal 4 (T4) Lapangan Terbang Changi, dengan memilih untuk menggunakan khidmat layan diri bagi bagasi, imigresen dan pintu menaiki pesawat.

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian akhir bagi teknologi cam wajah di Lapangan Terbang Changi dijalankan

Terminal 4 Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Lapangan Terbang Changi /Facebook)

Diterbitkan : 22 Jun 2017 02:08PM Dikemas Kini : 22 Jun 2017 02:15PM

SINGAPURA: Sepanjang beberapa minggu mendatang, sebahagian penumpang yang menaiki pesawat terpilih akan dapat mencuba teknologi pengecaman wajah di Terminal 4 (T4) Lapangan Terbang Changi, dengan memilih untuk menggunakan khidmat layan diri bagi bagasi, imigresen dan pintu menaiki pesawat.

Ini adalah sebahagian daripada fasa akhir ujian dan percubaan yang dijalankan oleh Changi Airport Group (CAG) sejak bulan Oktober lalu bagi memastikan operasi di terminal baru itu lancar, menurut CAG semalam (21 Jun).

Tarikh pembukaan rasmi T4 akan ditetapkan selepas ujian-ujian yang dijalankan menunjukkan hasil yang memuaskan, namun ia dijangka dibuka pada hujung tahun ini.

Proses-proses automatik yang sedang diuji itu dikenali sebagai pilihan Perjalanan Lancar dan Pantas (Fast).

CAG bermatlamat untuk menerima penyertaan daripada sekurang-kurangnya satu penerbangan ulang alik dari sembilan syarikat penerbangan Cathay Pacific, Cebu Pacific, Korean Air, Spring Airlines, Vietnam Airlines dan empat syarikat penerbangan di bawah AirAsia Group.

Syarikat-syarikat penerbangan itu akan beroperasi dari terminal baru itu selepas ia dibuka.

FUNGSI TEKNOLOGI PENGENALAN WAJAH

Teknologi pengecaman wajah itu akan mengesahkan identiti setiap penumpang, sesuatu yang pertama kali dilakukan di lapangan terbang itu.

Gambar penumpang akan diambil di kaunter automatik bagi bagasi dan akan dipadankan dengan gambar pada pasport sebelum bagasi diterima dan dipindahkan ke dalam sistem pengurusan bagasi.

Gambar penumpang akan diambil sekali lagi di pintu automatik imigresen, yang menggunakan sistem dwi-pengecaman - wajah dan ibu jari. Sekali lagi, ini akan dipadankan dengan gambar pada pasport.

Sebelum menaiki pesawat, penumpang akan melalui pintu masuk automatik dengan mengimbas pas perjalanan mereka dan gambar akan diambil.

Sistem pengecaman wajah itu akan memadankan gambar yang baru diambil dengan yang diambil di pintu automatik imigresen sebelum mereka dibenarkan masuk.

Dari segi keselamatan, teknologi pengecaman wajah lebih berdaya tahan kerana ia menghentikan proses berulang memadankan wajah dan kakitangan boleh memberikan tumpuan mengenal pasti individu-individu mencurigakan di lapangan terbang.

Dengan pilihan Fast, lapangan terbang dan syarikat penerbangan juga boleh mengurangkan pengerahan tenaga manusia antara 10 dengan 20 peratus.

Lebih 100 ujian sudah dijalankan sejauh ini -misalnya menerusi proses-proses khidmat layan diri penumpang, bayaran balik GST - melibatkan lebih 2,000 sukarelawan dan lebih 1,000 kakitangan lapangan terbang.

Pilihan Fast juga sudah diluaskan secara bertahap-tahap ke lagi tiga terminal sejak tahun 2015.

Cathay Pacific dan AirAsia, yang akan berpindah ke Terminal 4, juga sudah merintis kiosk daftar masuk automatik dan mesin automatik bagi bagasi di Terminal 1, di mana kedua-dua syarikat penerbangan kini beroperasi.

Kerja-kerja binaan di T4 bermula awal tahun 2014 dan siap pada bulan Disember tahun lalu. 

Sumber : Today/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan