Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ucapan penuh PM Lee di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2017

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini (20 Ogos) mendedahkan rancangan untuk menangani isu-isu yang boleh menjejas kemakmuran dan kesejahteraan Singapura pada jangka panjang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Aug 2017 12:12AM Dikemas Kini : 21 Aug 2017 12:42AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini (20 Ogos) mendedahkan rancangan untuk menangani isu-isu yang boleh menjejas kemakmuran dan kesejahteraan Singapura pada jangka panjang.

Mempertingkat prasekolah Singapura, memerangi kencing manis dan membina Negara Bijak - Itulah isu-isu utama yang ditekankan PM Lee dalam ucapannya.

Berikut ucapan penuh PM Lee dalam bahasa Melayu:

Saudara saudari sekalian, Selamat Hari Kebangsaan!

1. Rapat umum hari ini merupakan peluang untuk saya sentuh tentang isu-isu yang melibatkan masa depan kita.

2. Tahun ini, saya akan membincangkan tiga isu nasional: meningkatkan pendidikan prasekolah, mengatasi kencing manis, dan membentuk Negara Bijak. Ini semua isu jangka panjang tetapi kita perlu buat persediaan sekarang supaya kita dapat meraih manfaatnya pada masa hadapan.

Prasekolah

3. Pertama, pendidikan prasekolah. Ini melibatkan penjagaan bayi dan juga pendidikan kanak-kanak di bawah enam tahun.

4. Pendidikan prasekolah penting bagi kanak-kanak membina kemahiran kognitif, emosi dan sosial.

5. Dengan ini, setiap anak dapat mencapai potensi sepenuhnya di sekolah, dalam kerjaya dan dalam kehidupan.

6. Dari sudut yang lebih luas, sistem prasekolah yang baik membolehkan:

a. Setiap pelajar bersaing secara adil dalam sistem meritokrasi kita;
b. Setiap warga pula boleh menikmati hasil kemajuan Singapura; dan
c. Ini akan terus menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang penuh dengan peluang dan harapan untuk semua warganya.

7. Sebab itu, saya gembira, kini lebih ramai kanak-kanak Melayu mendapat pendidikan prasekolah. Itulah sebabnya juga Pemerintah sedang meningkatkan mutu prasekolah, dan memastikan biayanya dimampui.

8. Kita akan terus menambah tempat di prasekolah, termasuk penjagaan bayi dan tadika. Ini akan membantu ibu bapa yang bekerja, dan yang tidak dapat meninggalkan anak-anak di rumah atau untuk dijaga datuk dan nenek mereka.

9. Kita juga sedang mempertingkat kemahiran guru prasekolah, supaya mereka mendapat latihan dan kerjaya yang lebih baik. Misalnya,
Nuraslinda Safaruan. Selepas meraih diploma pendidikan awal kanak-kanak, beliau menjadi guru prasekolah. Selepas beberapa tahun, Nuraslinda dilantik sebagai guru kanan. Beliau meninggalkan sektor prasekolah seketika untuk menjadi pramugari, tetapi kerana minatnya kepada sektor ini, beliau kembali semula tahun lepas. Nuraslinda sekarang bekerja di My First Skool sebagai timbalan ketua pusatnya. Dengan guru yang baik seperti Nuraslinda, anak-anak kita akan mendapat permulaan yang baik dalam hidup dan ibu bapa pula akan berasa tenang!

Kencing Manis

10. Seterusnya, biar saya sentuh tentang penyakit kencing manis.

11. Ini adalah satu masalah kesihatan yang serius. 10 peratus warga Singapura menghidap kencing manis. Tetapi lebih membimbangkan, 17 peratus orang Melayu ada kencing manis. Satu sebab ialah masalah berat badan, yang juga lebih serius di kalangan orang Melayu.

12. Apabila anda menghidap kencing manis, ia tidak boleh sembuh. Ia hanya boleh dikawal. Tetapi jika ia tidak dikawal dengan baik, banyak kesulitan boleh timbul dan membahayakan nyawa anda.

13. Mujur, badan-badan Melayu/Islam giat bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menyebarkan mesej tentang kencing manis. Misalnya, masjid-masjid menggalak gaya hidup sihat dan pemahaman tentang penyakit ini. Begitu juga dengan Persatuan Rakyat melalui pimpinan MESRA.

14. Namun sejauh manapun usaha Pemerintah, kesihatan sebenarnya terletak di tangan kita. Jika kita pantau gaya hidup dan pemakanan, kita boleh mengelakkan kencing manis atau paling tidak mengawalnya. Segeralah bertindak sebelum nasi menjadi bubur.

15. Saya cadangkan dua perkara yang boleh dilakukan.

16. Pertama, jaga makan dan minum anda. Saya tahu masakan Melayu memang sedap kerana kandungan lemaknya. Malangnya, lemaknya itu datang dari santan dan gula.

17. Saya sendiri suka dodol. Saya juga suka ondeh-ondeh. Tetapi saya tentu akan ditegur doktor jika makan berlebihan. Doktor mahu saya kurangkan makan! Nasihat ini praktikal kerana lebih mudah untuk kita kurangkan jumlah yang kita makan daripada tidak makan langsung!

18. Bila kita masak, walaupun kita kurangkan santan dan gula, masakan kita tetap enak. Contohnya, lauk kari masih sedap jika kita gunakan susu cair dan bukan santan. Bila makan di luar, carilah pilihan yang lebih sihat.

19. Baru-baru ini, saya ke pusat makanan di Hab Tampines Kita. Setiap gerai ada sekurang-kurangnya satu pilihan yang sihat. Misalnya, soto ayam di gerai Cik Salama Salim ini, yang popular. Cik Salama memberitahu saya beliau tidak menumis bahan-bahannya tetapi merebusnya. Beliau juga kurangkan garam dan tidak menggunakan bahan pengawet langsung. Harga semangkuk soto ayam rendah kalori ini, $2.80 sahaja. Murah dan berkhasiat! Jadi untuk elakkan kencing manis, kita mesti jaga pemakanan kita.

20. Selain daripada menjaga makan dan minum, kita juga harus menjaga aktiviti harian dengan banyakkan bersenam. Doktor cadangkan kita lakukan aktiviti fizikal 150 minit seminggu atau kira-kira 20 minit sehari. Sebenarnya, tidak susah. Dengan melakukan aktiviti yang kita gemari, kita tidak terasa ia satu beban. Kita boleh berjalan pantas, atau ikuti kelas aquarobics dengan kawan-kawan. Bagi yang lebih muda, anda boleh mencuba futsal ataupun floorball.

21. Terapkanlah semua ini dalam gaya hidup anda demi kesejahteraan anda sendiri. Anda akan dapat rasakan perubahan besar dalam tahap kesihatan anda. Anda juga akan lebih cergas dan ceria! Baik dalam soal menjaga kesihatan ataupun pemakanan, biarlah kita, “Berpahit-pahit dahulu, bermanis-manis kemudian.” Tetapi jangan terlalu manis ya. Biar sihat-sihat kemudian! Dengan gaya hidup dan pemakanan yang sihat, barulah kita boleh menghayati pantun: “Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati!”

Negara Bijak

22. Topik ketiga pada malam ini ialah Negara Bijak. Kita sedang merancakkan ekonomi negara.

23. Kita ingin menggunakan IT sepenuhnya untuk mencipta peluang dan pekerjaan bagi semua rakyat Singapura.

24. Masa depan generasi muda kita cerah. Ramai pelajar Melayu di universiti, politeknik dan ITE sedang mengikuti pelbagai kursus teknikal. Kursus seperti kejuruteraan sofwe, sains data dan seni digital akan menjamin peluang yang baik dalam ekonomi baru.

25. Bagi mereka yang sudah bekerja, Pemerintah akan menyokong anda untuk tingkatkan diri melalui SkillsFuture. Contohnya, Encik Kamarudin Osman, yang dulunya pengurus serantau sokongan IT di sebuah MNC. Beliau diberhentikan kerja dua tahun lalu, dan kemudian belajar sendiri tentang keselamatan siber – satu bidang baru. Kini beliau bekerja sebagai konsultan keselamatan IT di SingTel. Syabas Kamarudin!

26. Kita menarik syarikat teknologi untuk melabur di Singapura seperti Facebook, Google dan Amazon. Kita juga ada banyak syarikat pemula atau startup milik rakyat Singapura sendiri. Launchpad@Block 71 rancak dengan pelbagai aktiviti. Begitu juga ruang inkubator, Common Space, milik Angkatan Karyawan Islam, AMP.

27. Saya gembira kerana semakin ramai anak muda Melayu memanfaatkan IT dan memulakan syarikat-syarikat baru di pelbagai sektor. Contohnya, Syafiq Yusoff. Beliau tidak tamat sekolah. Selepas Perkhidmatan Negara, beliau bekerja sebagai jurulatih peribadi. Beliau kemudian mengasaskan Riverwood, sebuah syarikat logistik, dengan 2 van dan 4 pekerja sahaja. Syafiq sedar saingan dalam bidang itu hebat.

Tetapi beliau kuatkan tekad, bekerja keras dan sama-sama turun padang membuat penghantaran seperti para pekerjanya. Dengan manfaatkan teknologi, Syafiq menaik-taraf operasinya. Di bawah pimpinannya, Riverwood berkembang maju. Apabila Amazon Prime Now mulakan operasi di Singapura, Riverwood terpilih sebagai rakan logistiknya. Riverwood sekarang ada 120 pekerja berbilang kaum dan masih berkembang!

28. Riverwood dan Syafiq adalah contoh kisah kejayaan masyarakat Melayu dalam ekonomi baru kita. Saya yakin lebih ramai orang Melayu dapat merebut pelbagai peluang yang tersedia, sama ada sebagai usahawan, karyawan mahupun teknisyen.

Penutup

29. Saudara saudari, ketiga-tiga isu yang saya sentuh – pendidikan prasekolah, kencing manis dan Negara Bijak – melibatkan masa depan semua rakyat Singapura.

30. Saya gembira bahawa masyarakat Melayu terlibat sepenuhnya dalam usaha kita untuk membina Singapura yang bersedia bagi mengharungi masa hadapan.

31. Iltizam ini akan memacu kita mencatat kemajuan dan mengatasi cabaran bersama-sama sebagai satu masyarakat yang utuh. Itulah visi Presiden pertama kita, Encik Yusof Ishak, 50 tahun lalu. Jika beliau ada bersama kita hari ini, tentu beliau gembira melihat perkembangan dan kemajuan kita.

32. Saudara saudari, tidak lama lagi, jika semuanya berjalan lancar, seorang lagi warga Melayu Singapura yang berwibawa, bakal menjadi Presiden baru kita.

33. Saya harap beliau akan membawa penghormatan dan kecemerlangan kepada institusi Presiden, dan akan disayangi serta dikenang rakyat Singapura, sama seperti Encik Yusof Ishak.

34. Inilah yang akan memperkukuhkan keharmonian kaum, rasa bangga dan cinta kita menjadi rakyat Singapura. Inilah yang akan membolehkan kita bekerjasama dengan lebih erat lagi bagi menghadapi apa juga cabaran yang melanda. Dan inilah juga yang akan membantu kita berkembang maju bersama-sama sebagai satu rakyat, satu Singapura.

35. Terima kasih.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan