Images
  • Halimah Yacob (11)
    Bakal Presiden Singapura, Halimah Yacob. (Gambar: MCI)

Ucapan penuh bakal Presiden baru S'pura Halimah Yacob

SINGAPURA: Halimah Yacob rasmi diisytihar sebagai bakal Presiden Singapura yang kelapan hari ini (13 Sep).

Selepas perisytiharan yang diadakan di Pusat Penamaan Calon di Persatuan Rakyat (PA), Cik Halimah menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu dan Inggeris di hadapan sekitar 500 penyokong.

Berikut ucapan penuh Cik Halimah:

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda sekalian yang berada di sini. Saya tahu bahawa ramai daripada anda telah berada di sana berjam-jam di bawah panas terik.

Ini tentu sekali menunjukkan betapa banyak sokongan yang anda berikan kepada saya. Saya selama dua minggu kebelakangan ini, saya telah banyak berjumpa penduduk-penduduk Singapura dari pelbagai latar belakang, dari usia muda, warga emas dari semua latar belakang.

Dan banyak juga sokongan yang telah saya terima. ramai yang memeluk saya, yang memberikan saya kata-kata perangsang yang mengatakan menyokong saya tanpa saya meminta sokongan mereka. Saya berasa amat bersyukur.

Terima kasih kepada rakyat Singapura atas sokongan anda. Saya berbesar hati sedang saya memulakan lembaran baru ini. Saya tahu sesetengah orang kurang yakin dengan pilihan raya yang dikhususkan (buat masyarakat Melayu). Saya mahu anda tahu bahawa sebagai bakal Presiden anda, saya berjanji akan berkhidmat untuk semua orang. Saya adalah Presiden untuk semua dan saya berhasrat untuk berkhidmat kepada semua rakyat yang rasa teragak-agak. Saya juga mahu anda tahu, meskipun ini adalah pilihan raya yang dikhususkan untuk masyarakat Melayu, saya bukan Presiden khusus untuk masyarakat Melayu.

Saya Presiden untuk semua, tanpa mengira kaum, bahasa, agama atau kepercayaan, saya mewakili semua orang.

Tugas saya adalah untuk Singapura dan rakyat Singapura. Khidmat saya hanya untuk anda. Meskipun tiada pilihan raya, komitmen saya untuk berkhidmat masih sama. Tidak sedikit pun berkurang keinginan, kesungguhan dan komitmen saya untuk berkhidmat.

Malah, tekad saya semakin bulat untuk berkhidmat dan bekerja lebih keras dengan setulus hati.

Ini adalah nilai-nilai yang saya pegang apabila melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat awam, dalam khidmat awam dan ini lebih bermakna lagi kepada diri saya setelah menjadi bakal Presiden anda.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua warga Singapura. Sokongan yang telah anda berikan membuatkan perjalanan saya ke pusat penamaan calon ini begitu mudah jadi terima kasih sekali lagi. Saya merupakan Presiden Melayu kedua dalam 47 tahun sejarah kita di Singapura.

Presiden pertama merupakan Presiden Yusof Ishak dan saya merupakan Presiden kedua. Saya rasa ini menunjukkan di Singapura kita memberi peluang kepada semua tidak kira bangsa atau agama dan ini adalah satu contoh yang baik bagi Singapura. Ia menunjukkan jika diberi peluang, jika ada sokongan tidak kira apa saja bangsa kita, kita dapat ke taraf yang kita kehendaki Insha Allah.

Saya juga merupakan Presiden wanita pertama di Singapura. Dan saya rasa tentu sekali ramai di kalangan wanita kita merasakan gembira pada masa yang sama ia menunjukkan wanita boleh meningkat ke mana saja taraf, ke mana saja kedudukan selagi mereka mempunyai kemahuan, selagi mereka diberi peluang. Ini juga sesuatu yang saya rasa adalah satu prinsip yang baik bagi negara kita, negara Singapura yang kita sayangi.

Biarlah saya teruskan dalam Bahasa Inggeris tetapi saya berakhir dalam ucapan bahasa Melayu, masa untuk memilih presiden telah berakhir dan sekarang adalah masa untuk kita sama-sama memusatkan fokus kita kepada bagaimana untuk membina Singapura supaya ia menjadi sebuah masyarakat yang lebih maju yang dapat memberikan lebih banyak kepada meningkatkan taraf kehidupan rakyat kita.

Dan kita harus bekerjasama dalam usaha ini tidak ada seorang pun yang boleh katakan mereka dapat lakukannya sendiri. Kita perlu kerjasama semua rakyat dan saya berharap dapat sokongan kerjasama anda sekalian dalam usaha kita meningkatkan, memajukan Singapura yang kita sayangi ini. Terima kasih.

Kepada rakyat Singapura, masih ada banyak lagi yang boleh kita lakukan bersama. Kami tahu dan ramai daripada anda di sini yang merupakan pekerja tahu kita berdepan cabaran-cabaran dalam dan luaran, yang perlu ditangani.

Saya meminta anda, rakyat Singapura, memandangkan pilihan raya sudah melabuhkan tirainya, supaya bersatu agar kita dapat menumpukan perhatian kepada teras-teras utama bagi memastikan Singapura terus menajdi tempat tinggal yang terbaik untuk setiap orang.

Rakyat Singapura yang dikasihi, tidak akan berhasil jika setakat seorang individu yang melaksanakan tanggungjawab ini. Kita memerlukan setiap rakyat Singapura untuk berdiri bersama, bahu ke bahu untuk mencapai yang terbaik. Kita belum sampai kemuncaknya. Yang terbaik belum dicapai.

Sungguhpun demikian, yang terbaik hanya boleh digenggam jika kita bekerjasama supaya kita boleh terus mempertingkat kehidupan kita dan anak-anak kita.

Saya meminta agar anda menumpukan perhatian kepada persamaan antara kita dan bukan perbezaan.

Pada tahun 1965, apabila kita merdeka, tiada siapa yang menyangka kita mampu bertahan. Tetapi, lihatlah hari ini. Kita rakyat Singapura dalam sebuah negara yang amat kita banggakan.

Kita sudah mengharungi pelbagai cabaran namun kita juga masih jauh perjalanan, berikan tumpuan, kita sendiri bertanggungjawab untuk membangunkan sebuah negara yang boleh dibanggakan dan ditinggalkan kepada anak cucu kita.

Kita mesti terus bersatu padu, dengan satu nadi dan menuju ke arah yang sama.

Saya berbesar hati diberikan peluang untuk berkhidmat kepada anda semua.

Saya menantikan peluang untuk bekerjasama dengan anda.

Saya yakin kita boleh buat baik bersama-sama dan saya mengajak anda untuk berbuat baik bersama dengan saya. Terima kasih. 

- BERITAMediacorp/NK/nk

Top