Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Trend penagih dadah Melayu sudah berubah, badan-badan Melayu ingin lebih dekati keluarga penagih

Langkah penguatkuasaan dadah yang ketat di Singapura menjadikan dadah seperti heroin lebih mahal dan sukar didapati lantas para penagih mencari jalan lain termasuk menyalahgunakan dadah sintetik seperti ‘ice’ atau methamphetamine.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Langkah penguatkuasaan dadah yang ketat di Singapura menjadikan dadah seperti heroin lebih mahal dan sukar didapati lantas para penagih mencari jalan lain termasuk menyalahgunakan dadah sintetik seperti ‘ice’ atau methamphetamine.

Bagaimanapun sebelum kemunculan ‘ice’, rumah-rumah peralihan pesalah dadah Melayu pernah bergelut dengan cabaran membendung penyalahgunaan ubat yang dijadikan ganti oleh penagih Melayu untuk memenuhi tabiat mereka.

Pengarah Eksekutif Rumah Peralihan Jamiyah, Darul Islah, Encik Mohd Shariff Mohd Yatim berkata, penyalahgunaan pil ubat batuk seperti Romilar dan pil tidur Epam banyak digunakan oleh penagih Melayu kerana harganya yang lebih murah. Romilar dan Epam disenarai di bawah Akta Racun.

“Mereka cuba satu bahan yang namanya Romilar – ubat batuk dalam bentuk pil dan kapsul, boleh terdapat di mana-mana, tapi biasanya di pasar gelap. Biasanya tanya rumah peralihan kaum lain, mereka tidak tahu ini apa. Romilar begitu murah. 40 biji harganya $10 dolar. Di kalangan penagih dadah Melayu - penagih dadah kaum lain tidak gunakan, namanya epam (nitrazepam).”

Menurut Encik Shariff lagi, cabaran menangani penagih Melayu yang menyalahgunakan Romilar dan Epam adalah ujian air kencing yang akan menunjukkan keputusan negatif.

Dadah Methamphetamine atau ‘Ice’. (Gambar fail: CNB)

Dadah Methamphetamine atau ‘Ice’. (Gambar fail: CNB)

TREND SEMAKIN RAMAI PENYALAHGUNA 'ICE'

Kini muncul lagi trend baru. Sejak sedekad lalu, penyalahgunaan dadah ‘ice’ semakin meningkat di Singapura. Meskipun tiada perangkaan rasmi bagi jumlah penagih ‘ice’ Melayu, rumah peralihan serta badan-badan Melayu yang ditemui mendedahkan penyalahgunaan ‘ice’ semakin ketara di kalangan penagih dadah Melayu.

AMP yang memulakan program perintisnya bagi 23 penagih dadah Melayu sejak Mac tahun ini menyatakan, sebahagian besar, iaitu 82% penagih menyalahgunakan dadah ‘ice’, selain jenis dadah lain seperti heroin dan ganja.
23 pesalah itu merupakan kumpulan pertama daripada 100 pesalah yang akan dibantu oleh AMP selama setahun.
“Kami akan mengadakan sepuluh sesi diskusi dengan mereka dan akan membantu mereka supaya mereka tidak mengambil dadah lagi”, kata Encik Anuar Yusop, Pengarah Eksekutif AMP.

Trend meningkatnya jumlah penagih ‘ice’ menimbulkan cabarannya yang tersendiri. Antaranya, kesukaran untuk mengenalpasti penagih yang mungkin kelihatan normal.
Encik Shariff berkata, “Kalau tahun 90-an, tahun 2000, kita nampak penagih dadah semua macam khayal, busuk, kotor, tidak terurus. Itu semua yang menggunakan heroin tetapi yang menggunakan dadah sintetik ini, mereka dah seumpama seperti kita. Kalau jalan sebelah-sebelah, kita tidak kenal pasti siapa penagih dadah.”

Ganja dan 'Ice' dirampas di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan juga operasi susulan. (Gambar: CNB)

Ganja dan 'Ice' dirampas di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan juga operasi susulan. (Gambar: CNB)

PENYALAHGUNAAN 'ICE' DI KALANGAN MEREKA YANG LAKUKAN 2 PEKERJAAN
Pihak AMP juga mendedahkan anggapan penagih terhadap dadah ‘ice’ yang membimbangkan.

Encik Anuar berkata: “Kami diberitahu oleh pihak Kementerian Dalam Negeri, MHA dan juga penagih-penagih, ada beranggapan bahawa dadah seperti ‘ice’ tidak akan membawa kepada ketagihan dan tidak dapat dikesan melalui air kencing mereka selepas beberapa jam. Jadi mereka selalu ingin mencuba kerana mereka fikir kemungkinan untuk ditangkap adalah rendah.”
Sedang 48 peratus pesalah menyebut pengaruh teman-teman sebaya sebagai punca terjebak dalam gejala dadah, tekanan untuk meningkatkan prestasi di tempat kerja juga menjadi salah satu sebab, iaitu 7 peratus.

Menurut Encik Anuar lagi, “dadah ‘ice’ ini digunakan untuk sesetengah pengguna supaya mereka dapat tenaga membuat dua pekerjaan misalnya, dan ini adalah satu ciri ramai orang Melayu yang berpendapatan rendah.
Mereka perlu membuat dua pekerjaan”.

61 peratus pesalah dadah di dalam kumpulan pertama program AMP datang daripada keluarga pendapatan rendah dan merupakan pekerja kolar biru. Ini berbanding 39 peratus daripada keluarga gaji pertengahan.

Ramli Abdullah, 43 tahun ialah seorang bekas penagih yang bermula dengan dadah heroin dan kemudian berjinak-jinak dengan ‘ice’. Di kalangan penagih katanya, heroin disifatkan sebagai dadah ‘panas’ manakala ‘ice’, sejuk.

“Bila kami menggunakan dadah heroin, ia memberikan nikmat hanya sementara saja untuk beberapa jam. Heroin akan buat kami rasa sakit. Untuk ‘ice’ pula kami tidak berasa sakit. Cuma kami rasa kami aktif, cergas, tidak rasa ngantuk dan penat”.

Di rumah peralihan Darul Islah di mana Ramli menjalani pemulihan, para penagih ditangani dengan berhati-hati bagi memastikan waktu kerja yang panjang tidak dijadikan alasan untuk mengambil semula dadah.

“Mereka mengambil jalan keluar dan mengambil dadah supaya kuat tenaga. Contohnya sekarang, saya ada penghuni yang keluar kerja pukul 6 pagi dan pulang jam 10 malam kerana tempat kerjanya jauh. Seterusnya dia begitu, dia rasa penat. Daripada situ kalau kami tidak berhati-hati, dia akan gunakan dadah yang akan beri perangsang”, jelas Encik Shariff.

PENINGKATAN JUMLAH PENAGIH DADAH MELAYU 

Menurut perangkaan Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Februari tahun ini, jumlah penyalahguna dadah Melayu yang ditangkap pada 2016 adalah 1,705. Menyingkap trend dadah di kalangan orang Melayu sejak sedekad yang lalu, jumlah ini adalah yang kedua tertinggi. Jumlah tertinggi penagih Melayu yang diberkas adalah pada 2012, seramai 1,773 orang.

Di sebuah seminar anjuran AMP baru-baru ini, Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam menarik perhatian terhadap perangkaan penagih dadah Melayu yang tinggi.

Pada 2016, penagih dadah Melayu membentuk 53 peratus daripada keseluruhan penagih yang ditangkap di Singapura. Ini berbanding 32 peratus sepuluh tahun lalu. Kadar penyalahguna dadah baru Melayu turut meningkat daripada 22 penagih pada 2006 kepada 54 peratus pada 2016.
Dari segi jumlah sebenar, penagih Melayu yang diberkas pada 2016 bertambah 1,300 berbanding sedekad lalu. Manakala penagih dadah baru Melayu bertambah 600 berbanding sedekad lalu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan