Images
  • NTU grad
    Lulusan Universiti Teknologi Nanyang (NTU). (Gambar: NTU)

Tinjauan: 7 daripada 10 lulusan NTU dapat kerja sebelum tamat pengajian

SINGAPURA: Tujuh daripada 10 mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang mendapat ijazah mereka pada 2016 berjaya mendapatkan pekerjaan sebelum tamat pengajian.

Demikian menurut tinjauan awal ke atas lebih 5,000 mahasiswa yang dijalankan oleh NTU pada bulan Jun.

Jumlahnya dianggarkan setanding dengan siswazah yang tamat pengajian pada tahun lalu dan lebih tinggi berbanding kohort dari tahun sebelumnya, di mana dua daripada tiga mahasiswa mendapat pekerjaan sebelum tamat pengajian.

Salah seorang lulusan kohort 2016, Encik A Saravanan menerima lima tawaran pekerjaan dan kini bekerja sebagai penganalisis kejuruteraan sofwe di Accenture.

Beliau berkata: "NTU melengkapkan saya dengan pendidikan yang meluas, yang membolehkan saya menjalankan projek dengan pemahaman yang lebih baik dan terbuka. Satu lagi pengalaman yang tidak ternilai adalah latihan amali saya di Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), di mana saya bekerja dengan para kadet dari AS, Perancis dan Kanada berhubung tugasan program komputer'."

NTU menerusi kenyataan media hari ini (25 Jul) turut mendedahkan bahawa ramai mahasiswanya meraih manfaat daripada latihan amali.

Sekitar 11 peratus mereka yang ditinjau sudahpun mendapat pekerjaan dengan syarikat di mana mereka menjalani latihan amali dan hampir 18 peratus pula menerima tawaran pekerjaan daripada syarikat di mana mereka bekerja sambil belajar.

Lebih 9,100 lulusan NTU akan menerima ijazah dan kelulusan pos-siswazah dalam 18 majlis konvokesyen yang bermula hari ini hingga Selasa depan (2 Ogos).

Majlis yang pertama menyaksikan tiga kumpulan lulusan perintis daripada tiga jurusan - Program Kejuruteraan Pembaharuan (REP), Program Penerima Biasiswa Universiti (USP) dan Program Sejarah - menerima ijazah mereka.

Pengerusi Emeritus UOB Dr Wee Cho Yaw menyampaikan ijazah kepada para lulusan hari ini yang turut dihadiri oleh Pemangku Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) Ong Ye Kung.

Di Majlis itu, NTU turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Profesor Sir David Payne dari Universiti Southampton, sebagai mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam bidang telekomunikasi.

Pakar tembikar negara yang tersohor Iskandar Jalil juga dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan atas pencapaian beliau dalam bidang membuat tembikar serta khidmat beliau dalam bidang pendidikan.

- CNA/nk

Top