Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tindakan tidak terima pekerja Melayu “membimbangkan”, kata Dr Maliki

“Tiada ruang untuk Islamofobia atau sebarang bentuk fobia di Singapura kerana kita tidak mampu menjadi masyarakat yang berpecah belah."

Anggaran Waktu Membaca:
Tindakan tidak terima pekerja Melayu “membimbangkan”, kata Dr Maliki
Diterbitkan : 23 Jun 2017 12:04PM Dikemas Kini : 23 Jun 2017 12:07PM

SINGAPURA: Mengulas tentang insiden di mana seorang wanita berbangsa Cina memekik ke arah seorang lelaki Melayu di luar rumahnya yang sedang menjalankan pemeriksaan, Dr Mohamad Maliki Osman berkata perbuatan sedemikian “membimbangkan” dan mesti diperbetulkan kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat.

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar itu berkata demikian kepada para wartawan di acara pengagihan habuan Hari Raya kepada keluarga-keluarga yang memerlukan di Siglap.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Maliki berkata wanita berkenaan menghubungi sebuah syarikat yang menguruskan masalah haiwan perosak dan apabila seorang pekerja datang untuk menjalankan pemeriksaan di luar rumah beliau, wanita itu mengusirnya.

Pekerja tersebut kemudian memberitahu bahawa beliau hanya menjalankan tugas, namun wanita itu berkata beliau “sudah mendengar banyak berita tentang pengganasan dan (beliau) perlu berjaga-jaga dengan orang-orang di sekelilingnya”.

Selepas mendapat tahu tentang insiden itu daripada majikan pekerja berkenaan, yang juga rakannya, Dr Maliki berkata beliau “sedih dan terkejut” dan menambah pandangan Islamofobia sedemikian “tidak sihat”.

“Jika anda tahu tentang insiden sedemikian, maklumkan kepada kami supaya kami boleh memperbetulkan salah tanggapan itu,” kata beliau.

“Tiada ruang untuk Islamofobia atau sebarang bentuk fobia di Singapura kerana kita tidak mampu menjadi masyarakat yang berpecah belah. Perkara yang tidak kita ingini adalah perpaduan berbilang kaum yang sudah kita bina selama ini dimusnahkan oleh orang-orang yang mempunyai tanggapan salah tentang masyarakat Islam,” tegas Dr Maliki.

Sedang Dr Maliki memuji usaha-usaha masyarakat Islam untuk mewujudkan Singapura yang lebih inklusif, dengan merujuk kepada contoh masjid-masjid yang mengalu-alukan masyarakat bukan Muslim untuk berbuka puasa bersama-sama pada bulan Ramadan, beliau menambah banyak lagi yang boleh dilakukan.

“Kita mesti terus memperdalam rasa saling percaya antara satu sama lain setiap hari, supaya sekiranya berlaku sesuatu, anda tidak gentar, tidak mudah goyah dan perpaduan sosial kita tidak mudah terjejas,” kata beliau, sambil menekankan bahawa masyarakat menolak keras radikalisme dan fahaman pelampau.

“Kita mesti menjalin hubungan erat, kita mesti kekal bersatu padu.”

Sumber : Today/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan