Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tidak semua flat lebih lama layak untuk SERS

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong hari ini (24 Mac) berkata beliau "prihatin" sesetengah pembeli rumah di Singapura sanggup mengeluarkan jumlah wang yang tinggi untuk membeli flat-flat lebih lama.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Mar 2017 04:32PM Dikemas Kini : 24 Mar 2017 09:43PM

SINGAPURA: Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong hari ini (24 Mac) berkata beliau "prihatin" sesetengah pembeli rumah di Singapura sanggup mengeluarkan jumlah wang yang tinggi untuk membeli flat-flat lebih lama.

Mereka berbuat demikian kerana mahu meraih manfaat daripada Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS).

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada satu rencana oleh akhbar bahasa Cina, Lianhe Zaobao tentang harga-harga tinggi beberapa flat HBD dengan tempoh pajakan singkat dalam pasaran flat jualan semula.

Menteri itu dalam satu tulisan blog berkata: "SERS, seperti namanya itu, adalah berdasarkan pemilihan. Ia hanya ditawarkan kepada blok-blok HDB yang terletak di tempat-tempat dengan potensi tinggi dibangunkan semula. Ini biasanya tapak-tapak di mana tanahnya tidak digunakan dengan sebaik-baiknya. Ia juga bergantung kepada ketersediaan tapak-tapak gantian yang sesuai untuk para penduduk serta sumber-sumber kewangan Pemerintah.

"Jadi, janganlah anggap semua flat HDB lama akan secara automatik layak untuk SERS."

Encik Wong berkata hanya 4 peratus flat-flat HDB sudah dikenal pasti untuk SERS sejak skim itu dilancarkan pada 1995, dan pihak berkuasa terus mengekalkan kriteria pemilihan yang ketat bagi skim tersebut.

Beliau juga menarik perhatian bahawa apabila pajakan bagi flat-flat HDB tamat tempoh, flat-flat itu akan perlu dipulangkan semula kepada keadaan asalnya dan sedang flat-flat tersebut menghampiri akhir tempoh pajakan, harganya juga akan merosot.

"Para pembeli mesti membuat penilaian sendiri dan bersikap realistik apabila membeli flat-flat dengan tempoh pajakan singkat. Ini terutamanya penting bagi pasangan muda, yang perlu merancang untuk masa depan lebih panjang," ujarnya.

Menteri Pembangunan Negara itu menggalak para pembeli rumah kali pertama supaya memilih flat jualan semula dengan tempoh pajakan yang cukup panjang untuk memenuhi keperluan mereka.

Sebagai panduan, flat-flat dengan tempoh pajakan sehingga pemilik rumah itu berusia 95 tahun akan memberi ketenangan fikiran kepada kebanyakan individu hingga usia senja mereka.

"Saban masa, kami boleh menjangkakan pasaran flat jualan semula HDB lebih pelbagai, dengan flat-flat yang mempunyai tempoh pajakan yang berbeza-beza untuk memenuhi keperluan kitaran hidup yang juga berbeza-beza untuk warga Singapura," kata beliau.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan