Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tiada umrah cuti sekolah bulan Jun selama 10 hingga 12 tahun, mulai tahun 2019

Lazimnya, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan visa umrah selama 4 bulan selepas bulan Ramadan – iaitu Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika anda merancang menunaikan ibadah umrah semasa cuti sekolah bulan Jun pada tahun-tahun mendatang, anda dijangka tidak boleh berbuat demikian.

Pemeriksaan BERITAMediacorp mendapati, ini bukan untuk setahun dua sahaja, malah anda dijangka tidak boleh mengerjakan umrah bulan Jun selama sekitar 10 tahun, bermula tahun 2019.

MENGAPA ADA YANG SUKA UMRAH BULAN JUN

Jemaah umrah seperti Dr Razally Jetty, baru pulang daripada mengerjakan umrah sekitar seminggu lalu.

Doktor gigi berpengalaman itu sebenarnya merupakan di kalangan ramai anggota masyarakat Melayu/Islam tempatan, yang lebih memilih untuk mengerjakan umrah bulan Jun kerana sebab-sebab tertentu.

"Kerjaya sebagai doktor gigi, bulan November Disember adalah bulan yang agak sibuk bagi saya. Cuti sekolah bulan Jun tidak begitu sibuk bagi saya dan saya rasa itu adalah masa yang sesuai bagi saya untuk memilih bulan Jun, sebagai bulan yang saya boleh meluangkan masa dengan anak-anak, dengan ahli keluarga yang lain untuk menunaikan umrah," jelas Dr Razally kepada BERITAMediacorp.

Bagaimanapun, mereka yang cenderung untuk melakukan umrah pada bulan Jun seperti Dr Razally, tidak akan dapat berbuat demikian menjelang tiga tahun lagi.

Ini sebabnya.

4 BULAN TIADA VISA UMRAH

Pada tahun 2019, 1 Syawal dijangka jatuh pada awal bulan Jun.

Lazimnya, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan visa umrah selama 4 bulan selepas bulan Ramadan – iaitu Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram.

Ini kerana bulan-bulan tersebut merupakan musim Haji.

Jadi hanya visa haji dikeluarkan bermula bulan Syawal.

Musim umrah pula akan hanya dibuka semula kepada orang ramai, mulai bulan Safar.

UMRAH BULAN JUN KEMBALI PADA TAHUN 2030

"Jadi memandangkan kalender Islam setiap tahun akan turun 10 atau 12 hari (berbanding kalender Masihi), maka lebih kurang dalam tempoh 12 tahun lagi, barulah bulan Jun itu terlepas daripada musim haji.

"Maka barulah bermula kembali kita katakan orang-orang jemaah pergi umrah pada bulan Jun," terang Ustaz TM Fouzy yang merupakan Presiden Persatuan Agensi Pelancong Muslim Singapura (AMTAS).

Ini bermakna, untuk bulan Safar sampai semula kepada bulan Jun, BERITAMediacorp menganggarkan, ia akan hanya berlaku pada tahun 2030.

IMPLIKASINYA?

Lantaran itu, apakah implikasinya?

Pertama, memandangkan masyarakat Islam tempatan tidak boleh memanfaatkan cuti sekolah Jun untuk mengerjakan umrah, lebih ramai orang dijangka mengerjakan umrah pada cuti sekolah hujung tahun.

Ustaz TM Fouzy yang juga merupakan Pengarah Urusan TM Fouzy Travel & Tours berkata, pada November/Disember tahun lalu sekitar 8,000 rakyat tempatan menunaikan umrah.

Kini, AMTAS memberitahu BERITAMediacorp, ia meramalkan jumlah itu mungkin naik 20% pada tahun-tahun mendatang.

SIFAR PERNIAGAAN UMRAH JANGKA PANJANG

Kedua, tentunya agensi-agensi pelancongan Melayu/Islam akan mencatat sifar perniagaan umrah bagi bulan Jun buat satu tempoh yang panjang.

Lantaran itu, AMTAS menyatakan, pihak agensi-agensi pelancongan muslim perlulah memikirkan strategi untuk meningkatkan perniagaan masing-masing.

"Umpamanya, memperbanyakkan pelancongan ke destinasi-destinasi yang menarik ataupun destinasi Islami, selain daripada umrah ke Tanah Suci," kata Ustaz TM Fouzy.

Sekitar 40 agensi muslim yang berpayung di bawah AMTAS juga mungkin perlu meluaskan destinasi-destinasi sekular masing-masing.

PERNIAGAAN KESELURUHAN MEROSOT 20% BERBANDING SEKARANG

Presiden AMTAS itu menganggarkan, ekoran fenomena ketiadaan visa umrah bulan Jun selama 10 hingga 12 tahun itu, perniagaan sektor umrah tempatan secara keseluruhannya mungkin merosot 20% pada tahun-tahun mendatang, berbanding sekarang.

Bagaimanapun fenomena tersebut mungkin menjadi pendek sedikit, jika ura-ura kerajaan Saudi untuk memulakan musim umrah lebih awal, iaitu pada pertengahan bulan Muharram, dilaksanakan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan