Images
  • Messi Singapore
    Lionel Messi tiba di Lapangan Terbang Changi pada Sabtu (10 Jun) jam 4.00 petang. (Gambar: Persatuan Bola Sepak Argentine) 

Tiada bayaran balik meski Messi, Higuain tarik diri

SINGAPURA: Peminat bola sepak yang membeli tiket untuk menyaksikan Lionel Messi dan Gonzalo Higuain beraksi menentang pasukan Singapura pada malam Selasa (13 Jun) tidak boleh menuntut bayaran baik setelah kedua-dua bintang bola sepak itu menarik diri daripada perlawanan persahabatan tersebut.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, UNICESS Sports Group menyatakan bahawa tiada bayaran balik atau apa saja bentuk pampasan dan ganti rugi akan diberikan, meskipun Messi dan Higuain tidak akan turun padang.

Tiket bagi perlawanan itu dijual pada hargai S$40, S$78, S$138 dan S$188.

UNICESS juga menegaskan bahawa walaupun pemilihan kesebelasan utama pasukan Argentina adalah di luar kuasa syarikat itu, ia percaya bahawa "peminat bola sepak akan memahami" kerana pasukan yang menduduki tangga kedua di dunia itu tetap akan membariskan ramai pemain hebat.

Menurut syarikat tersebut, "Walaupun UNICESS dan Persatuan Bola Sepak Singapura sama-sama kecewa kerana kedua-dua pemain itu tidak dapat turun padang, namun tiada keperluan untuk memberi bayaran balik."

"Argentina memilih pasukan yang akan membariskan ramai pemain bertaraf antarabangsa seperti Angel Di Maria, Paulo Dybala dan Sergio Romero dan kami menjangkakan perlawanan yang hebat."

UNICESS juga menyalahkan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) kerana hanya mengesahkan pengunduran Messi, Higuain dan pemain pertahanan Manchester City Nicolas Otamendi pada petang Sabtu (10 Jun) sambil menambah bahawa AFA yang memberikan UNICESS gambar-gambar dan video-video Messi untuk digunakan sebagai bahan pemasaran.

Messi tiba di Singapura bersama pasukan Argentina pada Sabtu lalu dan menaiki bas bersama rakan-rakan pasukannya ke Hotel Fullerton.

Penyerang pasukan Barcelona itu kemudian bergegas ke Lapangan Terbang Changi untuk berlepas ke luar negara.
 

- TODAY/fa

Top