Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tharman: Peniaga perlu berkembang melalui cara, ruang baru

Para peniaga perlu berkembang dan berjaya melalui cara dan ruang yang baru, kata Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Oct 2016 05:02PM Dikemas Kini : 22 Oct 2016 11:00PM

SINGAPURA: Para peniaga perlu berkembang dan berjaya melalui cara dan ruang yang baru, kata Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam.

Beliau berucap di Majlis Makan Malam dan Anugerah Usahawan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), malam semalam (22 Okt).

Menurut Encik Tharman yang juga Menteri Penyelaras Ekonomi dan Dasar Sosial, sumber daya saing utama usahawan hari ini ada kaitan dengan mutu unik dalam apa yang dihasilkan atau sesuatu yang menonjol daripada persaingan.

Maka itu, para peniaga Melayu/Islam harus mengembangkan jenama Singapura ke luar negara dengan menawarkan nilai baru dan istimewa kepada pengguna, katanya.

THARMAN PUJI KOMITMEN DPPMS

Encik Tharman juga memuji komitmen DPPMS dalam mengembangkan masyarakat perniagaan Melayu/Islam hingga ke hari ini. Menurut beliau, peniaga Melayu/Islam memang berdaya usaha sejak 1956 apabila mantan Presiden Allahyarham Yusof Ishak dan pasukan perintis bergabung tenaga membentuk DPPMS.

Namun, masa sudah berubah dan para peniaga perlu berkembang dan berjaya melalui cara dan ruang yang baru, ujarnya.

“Bukan dengan mencari jalan meniru sesuatu dengan lebih murah daripada yang lain atau menggajikan lebih ramai pekerja untuk mengembangkan perniagaan. Kita menawarkan nilai baru dan istimewa kepada pengguna,” jelas Encik Tharman.

60 PENIAGA DIBERI PENGIKTIRAFAN

Sempena meraikan ulang tahun ke-60 DPPMS, 60 peniaga diberi pengiktirafan atas pencapaian dan sumbangan mereka kepada ekonomi negara.

Pemilik Aerospeed Aviation Pte Ltd, Kapten Gibbrael Isaak, menang Anugerah Usahawan Terbaik 2016.

Anugerah Usahawan Wanita Terbaik pula dirangkul pemilik Jumain Sataysfaction Pte Ltd, Cik Samsiah Suliman, manakala pengasas VersaFleet Pte Ltd, Encik Muhd Shamir Abdul Rahim, dinobat sebagai pemenang bagi Anugerah Usahawan Muda Terbaik.

"Anugerah ini satu inspirasi kepada semua usahawan dalam teknologi "start up" kerana bidang ini agak susah. Kadang kala mencari modalnya susah, meraih pendapatan susah dan dari segi teknoginya juga sangat mencabar. Jadi saya rasa ciri yang penting ialah sifat ingin tahu dan juga daya tahan, jangan mudah putus asa," jelas Encik Muhd Shamir mengenai kemenangannya.
Apabila diminta berkongsi kunci kejayaannya, Cik Samsiah berkata: "Kita harus mempunyai sikap terbuka. Walaupun kita memasarkan produk tradisional, kita harus lihat di luar sana dan kita fokus, terus tingkatkan diri".

Usahawan mapan, Encik Suhaimi Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat SSA Consulting menerima Anugerah Kepimpinan Masyarakat Perniagaan manakala satu anugerah penghormatan diberi kepada pemilik Mohamed Mustafa & Samsudin Co Pte Ltd Encik Mustaq Ahmad. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan