Images
  • 15 stations app
    Orang ramai boleh teroka laluan kenangan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar menerusi aplikasi '15 Stations'. (Gambar: The O.P.E.N.)

Teroka kenangan Tanjong Pagar melalui app '15 Stations'

SINGAPURA: Sempena cuti sekolah ini, anda bersama keluarga boleh bersiar-siar melalui dewan dan koridor Stesen Kereta Api Tanjong Pagar (TPRS) untuk meneroka sejarah bangunan ikonik itu.

Pengalaman anda menjadi lebih menarik lagi melalui satu aplikasi baru, dipanggil "15 Stations" di telefon bijak, di mana anda dapat meneroka laluan-laluan kenangan.

Ramai yang mempunyai kenangan manis menaiki kereta api di Stesen Kereta Api Tanjong Pagar Namun ada di kalangan generasi muda yang tidak berpeluang menikmati pengalaman itu.

Sejak ditutup pada 2011, stesen kereta api itu hanya dibuka untuk acara-acara privet.

Menjelang Pesta Seni Antarabangsa Singapura, Ogos ini, Stesen Kereta Api Tanjong Pagar dipilih menjadi pentas acara "15 Stations".

Sehingga 4 Julai ini, para pengunjung ke stesen kereta api itu boleh memuat turun aplikasi mudah alih yang akan menunjukkan keadaan stesen itu semasa zaman kegemilangannya.

App tersebut dihasilkan sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Antara mereka yang terlibat dalam menghasilkan app itu ialah mahasiswa NTU, Raymond Yeh, yang berkata: "Golongan muda tidak begitu tahu tentang TPRS (Stesen Kereta Api Tanjong Pagar). Sebenarnya, saya sendiri serta rakan-rakan tidak tahu tentang TPRS ataupun kami tidak pernah datang ke sini.

"Hanya menerusi pelibatan dalam projek ini, kami sedar pentingnya TPRS sebagai sebahagian sejarah Singapura dan ikatannya dengan Malaysia."

Aplikasi berbentuk interaktif itu mempunyai video, wawancara dan imej apabila anda mengarahkan telefon anda di tempat-tempat tertentu.

Sebanyak 30 set telefon bijak dan 20 set tablet juga disediakan untuk pinjaman.

Pencipta acara "15 Stations" dan pengarah The O.P.E.N., Cik Noorlinah Mohamed, berkata: "Stesen kereta api di Tanjong Pagar ini penting untuk kehidupan orang Singapura, dan juga dengan masyarakat Singapura dan negara kita.

"Kerana sebelum adanya Singapura, stesen kereta api ini sudah ada, kerana ia dibina pada 1932.
Kita meraikan SG50, kita perlu mengingati sejarah stesen kereta api ini juga, kerana ia penting dengan masyarakat kita untuk membangunkan negara kita."

Tiket-tiket "15 Stations" berharga $10 boleh dibeli di pintu masuk.

Anda juga boleh melungsuri laman https://sifa.sg/theopen// untuk mendapatkan butiran lanjut acara itu. 

- CNA/nd

Top