Images
  • lornie road
    Lornie Road. (Gambar fail: Alvin Chong) 

Tempoh Lebuh Raya Lornie siap tangguh ke awal 2019

SINGAPURA: Lebuh Raya Lornie yang akan menghubungkan Jejambat MacRitchie dengan Jejambat Adam, akan siap lebih lambat daripada yang dijadualkan. Ini disebabkan tempoh yang dilanjutkan untuk kerja-kerja menggali kubur dan untuk memberi masa bagi kontraktor binaan menyusun semula kewangannya.

Jalan raya empat lorong bagi kedua-dua arah itu, yang sepatutnya selesai akhir tahun ini akan dibuka secara bertahap-tahap dalam dua fasa mulai suku ketiga tahun depan, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (14 Nov).

Lebuh raya yang menghala ke kawasan selatan menerusi Jejambat Adam dijangka siap pada suku ketiga tahun depan manakala lebuh raya yang menghala ke kawasan utara melalui Jejambat MacRitchie akan dibuka pada suku pertama tahun 2019.

Tapak binaan lebuh raya berkenaan, merentasi Tanah Perkuburan Bukit Brown. Oleh itu, kerja-kerja menggali kubur harus dijalankan sebelum kerja-kerja binaan dapat dimulakan.

Kerja-kerja menggali kubur itu sepatutnya selesai pada akhir 2013 tetapi
oleh kerana hanya segelintir sahaja kubur yang dituntut, LTA harus melanjutkan tempoh bagi para waris membuat tuntutan.

Tempoh berkenaan dilanjutkan hingga selepas upacara Qing Ming pada
2014. Lantas, kerja-kerja menggali kubur tertangguh selama setahun.

Tambahan pula, kontraktor binaan utama projek itu, Swee Hong, menghadapi masalah kewangan pada 2014 yang menghambat kerja-kerja binaan. Selepas mendapatkan perintah mahkamah pada February 2015 untuk menyusun semula hutangnya, kerja-kerja disambung semula pada bulan November tahun itu.

LTA membuat keputusan untuk meneruskan dengan kontraktor tersebut kerana ia bertindak jujur mengenai situasi kewangannya di samping mengemukakan rancangan pemulihannya. Syarikat itu juga mengambil langkah-langkah untuk menyusun semula kewangannya.

Menurut LTA lagi, sekiranya kontrak itu ditamatkan ataupun satu lagi
tender dibuka, ia akan menyebabkan projek berkenaan mengalami penangguhan lanjut, kerugian wang awam dan juga turut menjejas syarikat-syarikat subkontraktor tempatan dan syarikat pembekal yang dilantik kontraktor itu.

Swee Hong dan syarikat-syarikat subkontraktornya sudahpun mengerahkan lebih banyak tenaga kerja sejak membayar hutangnya pada 2017 untuk mempercepatkan lagi kerja-kerja binaan bagi lebuh raya itu.

Syarikat tersebut dijangka selesai projek tersebut menjelang suku pertama 2019, menurut LTA.  

- CNA/SM/sm

Top