Images
  • bazar geylang
    Gambar hiasan. (Gambar: Ramadhan Bazaar Singapura/ Facebook)

Tempahan dapatkan gerai bazar Ramadan Geylang Serai berjalan rancak

SINGAPURA: Tempahan bagi gerai di bazar Ramadan Geylang Serai sudah mula dibuka kepada orang ramai.

Sekurang-kurangnya 20 peratus daripada gerai yang disediakan di sekeliling kawasan Tanjong Katong Complex (TKC), kini sudahpun mendapat penyewa.

PENGANJUR 'TUKAR ANGIN' DEMI PENUHI PERMINTAAN PENIAGA

Suasana di Geylang Serai yang meriah dan bertenaga menjadikannnya lokasi ideal bagi bazar Ramadan.

Itulah maklum balas para peniaga kepada firma pengurusan acara, Bazaar Singapura, setiap kali ia menganjurkan bazar Ramadan di dalam pusat membeli-belah.

Maka itu, tahun ini, ia menganjurkan pula bazar Ramadannya di tanah lapang bersebelahan TKC.

Strategi pemasarannya di laman media sosial disambut baik dengan sekitar 20 peratus daripada 70 gerai yang disediakan sudahpun ditempah.

Setiap gerainya ditawarkan pada harga sewa $4,800 sebulan.

"Kebanyakan yang kami ingin tarik adalah peniaga-peniaga baru, peniaga yang menjual makanan, barang-barangan Hari Raya dan juga mungkin segelintir yang mempunyai barang-barang yang unik dan juga yang dapat memenuhi keperluan pembeli-belah," ujar pengarah penjualan Bazaar Singapura, Encik Kamal Rouzie.

IKLIM EKONOMI TIDAK HAMBAT SEMANGAT NIAGA

Harga sewa gerai di bazar dalam kawasan Geylang Serai sebenarnya berbeza-beza, mengikut tempat dan khidmat yang ditawarkan pihak penganjurnya.

Bagi syarikat enNICHE EVENTS pula, kadar sewanya bermula dari $4,000 dan boleh mencecah sehingga $15,000, bergantung pada jenis produk yang dijual.

Meskipun, iklim ekonomi agak hambar sekarang, hampir 50 peratus daripada sekitar 700 gerai yang disediakannya sudahpun ditempah.

Bagi membantu mereka yang ingin berjinak-jinak berniaga, syarikat itu menawarkan harga sewa promosi serendah $90 sehari.

Selain di TKC, enNICHE EVENTS juga menganjurkan bazar di dua tempat lain iaitu, Jalan Engku Aman dan pinggir tapak Perkampungan Melayu dahulu.

Seperti bazar-bazar sebelum ini, ia menjangkakan dapat menarik lebih 700,000 pengunjung.

Sebagai daya tarikan untuk para pengunjung, kedua-dua syarikat itu merancang menjemput barisan artis tempatan dan Malaysia bagi memeriahkan lagi suasana di sekitar bazar itu nanti. 

- BERITAMediacorp/im

Top
>