Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Tanya Saya Apa-Apa Tentang Islam" anjuran cabang belia AMP tangkis salah tanggap tentang Islam

Kenali Islam serta ajarannya yang sebenar dan bukan setakat bergantung kepada pengaruh media sosial semata-mata.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kenali Islam serta ajarannya yang sebenar dan bukan setakat bergantung kepada pengaruh media sosial semata-mata.

Persidangan bertajuk "Tanya Saya Apa-Apa Tentang Islam" hari ini (18 Nov) mengajak 100 peserta daripada pelbagai latar belakang menyelami cabaran luaran dan dalaman yang dihadapi kaum Muslim.

Anjuran cabang belia Angkatan Karyawan Islam Singapura (AMP), sesi tersebut bertujuan memupuk persefahaman berterusan antara pelbagai agama.

Saban hari, informasi tidak tepat dan ajaran songsang yang sama sekali tidak menggambarkan Islam yang sebenar mudah tersebar secara online.

Lantas, mengancam keselamatan dan menggugat keharmonian sosial di Singapura.

Menyedari pentingnya usaha memelihara perpaduan kaum dan agama setempat, cabang belia AMP buat julung-julung kalinya menganjurkan persidangan yang mengajak peserta bukan Islam mendekati agama itu.

Dengan duduk berbincang bersama para peserta Muslim, ia diharapkan mereka akan dapat mengerti ajaran dan juga amalan yang dipraktikkan dalam Islam sekaligus menangkis sebarang salah tanggap.

"Pastinya terdapat percanggahan dan pemahaman tetapi bagi kebanyakan umat Islam, ia lebih kepada membentuk pemahaman peribadi dan mendapatkan bimbingan daripada tokoh agama yang diiktiraf serta juga ajaran agama itu sendiri," kata seorang mahasiswa, Amanda Seet.

"Pandangan umum masyarakat bukan Islam terhadap Islam agak terbuka. Mereka menyampaikan soalan dan pandangan tidak dengan perasaan benci atau dendam tetapi dengan perasaan ingin tahu dan ingin faham tentang Islam dengan lebih lanjut," ujar Andi Bastan, seorang pegawai keselamatan.

Kesemua peserta juga berpeluang mengajukan soalan dan kemusykilan mengenai Islam kepada Ustazah Nazeerah Shaik Alwie dan Ustaz Irwan Hadi Mohd Suhaimy selaku anggota panel sesi dialog.

Soalan-soalan yang diajukan para peserta Muslim lebih cenderung kepada hukum, permasalahan dalam kehidupan seharian serta dasar-dasar tertentu berkaitan agama di Singapura.

Sementara soalan-soalan daripada peserta bukan Muslim pula menyentuh topik-topik yang agak sensitif.

Ustaz Irwan Hadi Mohd Suhaimy berkata: "Mereka bertanyakan soalan-soalan yang kelihatan kontroversial, sensitif, tetapi saya rasa penting contohnya hak wanita dalam Islam, pernikahan dan sebagainya.

"Mungkin dikira sebagai mencabar tetapi ia adalah persoalan yang akan membentuk bagaimana perspektif masyarakat bukan Islam melihat orang Islam. Jadi ini satu perbincangan yang amat bermanfaat dan bahkan, ia juga merupakan suatu sesi yang mana saya rasa jawapan-jawapan kepada persoalan ini baik kalau dapat dikumpulkan dan juga disebarluaskan bagi memperbaiki pemahaman," tambahnya.

Persidangan yang berlangsung di Muzium Tamadun Asia itu dihadiri 100 peserta berusia antara 18 hingga 40 tahun, yang kebanyakannya belia.  

Sumber : BERITA Mediacorp
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan