Images
  • tan chuan jin (1)
    Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin.

Tan Chuan-Jin timbang mulakan blog bagi jelaskan proses perbahasan Parlimen

SINGAPURA: Lazimnya, pada hari-hari Parlimen akan bersidang, Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin selalu memulakan harinya dengan berlari-lari anak di Sungai Singapura.

Beliau kemudian akan mengadakan mesyuarat bersama setiausahanya untuk melunaskan kerja-kerja pentadbiran sebelum sesi bermula.

"Menjelang hari (sidang parlimen) berkenaan, memang terdapat banyak kerja. Anggota Parlimen akan mengirimkan banyak soalan," kata Encik Tan.

"Para setiausaha akan memprosesnya, dan kami akan bekerjasama dengan ketua parlimen dan whip tentang bagaimana untuk membahagikan soalan supaya semuanya akan dijawab - sama ada secara lisan mahupun bertulis. Tetapi anda juga ingin membahagikannya mengikut tema yang akan dibentangkan oleh pelbagai kementerian."

Sebagai Speaker, tanggungjawabnya termasuk untuk memastikan peraturan perbahasan dipatuhi. Ini bermaksud memberikan masa kepada Anggota Parlimen, supaya semua boleh menanyakan soalan dan menyuarakan keprihatinan mereka.

Tetapi hanya dalam dua bulan sejak dipilih, mantan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga itu memikirkan, apa lagi yang boleh dilakukannya selaku Speaker.

Contohnya, beliau sedang memikirkan cara-cara bagi orang ramai memahami apa yang berlaku di dalam Parlimen. Ini termasuk kata-kata khusus yang digunakan dalam perbahasan.

"Tahu mengenai perbahasan adalah satu perkara... membaca, menonton dan memikir mengenainya," kata beliau. "Tetapi memahami proses juga penting, ia betul-betul menunjukkan tatacara demokrasi."

BLOG, SALURAN YOUTUBE DALAM PERTIMBANGAN?

Bagi mengisi jurang maklumat ini, Encik Tan sedang menimbangkan untuk memulakan blog bagi menjelaskan proses di Parlimen. Ini mungkin akan digunakan dalam platform media sosial yang lain seperti Facebook, YouTube dan Instagram.

Secara visualnya, ia sesuatu yang amat menarik. Parlimen Singapura, seperti yang didedahkan Encik Tan, masih lagi mengekalkan tradisi lama dari asalnya iaitu Westminster.

"Speaker pernah memakai wig. Saya masih ada wig itu, tetapi saya tidak memakainya lagi. Tapi saya rasa beberapa tradisi mungkin masih berguna untuk dikekalkan," kata beliau.

Selain berhubung dengan orang ramai, Encik Tan berniat untuk menjalinkan hubungan Parlimen yang lebih kukuh dengan negara lain.

Speaker secara tradisinya adalah wakil Dewan, yang menerima kunjungan dari luar dan mewakili Parlimen bagi acara-acara kebangsaan dan semasa lawatan ke luar negara.

"Saya ingin meninjau apa yang kami boleh lakukan dengan Indonesia dan Malaysia khususnya, dan negara-negara jiran, sama ada lebih banyak lagi anggota parlimen boleh berjumpa dengan rakan sekerja mereka," kata beliau.

Encik Tan turut mengatakan bahawa peranannya sebagai Speaker tidak tertakluk kepada Dewan Parlimen sahaja. Kegiatan kemasyarakatan seperti sukarelawan amat dekat dalam hatinya dan ia sesuatu yang beliau ingin promosikan.

"Saya memang berminat dalam kerja-kerja kebajikan ... dan bagaimana untuk menggalakkan orang ramai melibatkan diri mereka. Bagaimana anda berikan suara terhadap keprihatinan, aspirasi dan cara untuk lakukannya.

"Dengan peka mengenai kemasyarakatan dan melibatkan diri - dan bahawa anda menggunakan gerakan SG Cares, contohnya, sebagai cara untuk warga Singapura boleh lebih aktif menyumbang, mengambil peduli antara satu sama yang lain. Mungkin dengan cara itu, perubahan dalam masyarakat akan juga bermula," kata Encik Tan.  

- CNA/FA/im

Top