Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syafiq Yusoff dulu tercicir; kini dipuji PM Lee sebagai usahawan berjaya

Encik Syafiq Yusoff memutuskan untuk menceburi bidang logistik dan menubuhkan Riverwood dengan hanya dua van dan empat orang pekerja.

Anggaran Waktu Membaca:
Syafiq Yusoff dulu tercicir; kini dipuji PM Lee sebagai usahawan berjaya

Pengasas syarikat Riverwood Encik Syafiq Yusoff. (Gambar: Wee Teck Hian/ TODAY)

Diterbitkan : 20 Aug 2017 08:23PM Dikemas Kini : 21 Aug 2017 07:31AM

SINGAPURA: Bertindak "mengikut gerak hati" sekitar tujuh tahun lalu kerana yakin bahawa pendigitalan runcit akan berlaku pada bila-bila masa saja, Encik Syafiq Yusoff memutuskan untuk menceburi bidang logistik dan menubuhkan Riverwood dengan hanya dua van dan empat orang pekerja.

Kini, syarikat beliau mengendalikan lebih 60 kenderaan, seperti trak dan van dan menggajikan 160 hingga 180 pekerja, termasuk pekerja bebas dan kira-kira 50 pekerja tetap.

Riverwood juga merupakan rakan logistik khidmat Amazon, Prime Now, yang baru-baru ini dilancarkan di Singapura.

Pelanggan lain Riverwood sepanjang beberapa tahun ini termasuk Singapore Post, DHL dan cabang digital peruncit kosmetik Sephora.

Encik Syafiq yang berusia 33 tahun dan syarikatnya dipuji Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (20 Ogos) semasa ucapan bahasa Melayu beliau di Rapat Umum Hari Kebangsaan sebagai salah satu contoh ekonomi baru.

Encik Syafiq berdepan dengan pelbagai cabaran semasa zaman sekolah. Beliau gagal meraih keputusan cemerlang semasa peperiksaan Peringkat GCE O dan tidak dapat menamatkan pengajian diploma media massa di sebuah institusi privet disebabkan masalah kewangan.

Semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS), beliau menghadiri kelas-kelas malam sebagai sebahagian daripada pengajian beliau bagi diploma perniagaan di PSB Academy. Namun, beliau gagal modul terakhir iaitu statistik.

"Saya mengambilnya sebanyak dua kali dan pada kali ketiga, saya rasa saya tidak dapat buat lagi," kongsi beliau.

Jika dahulu beliau mengalami masalah kegemukan, Encik Syafiq kemudian berjaya menurunkan berat badan dengan banyak melalui pemakanan dan senaman, yang dipelajari beliau daripada kajian sendiri.

Beliau semakin yakin dan ingin melakukanperkara yang sama untuk orang lain, jadi selepas NS, beliau menjadi seorang jurulatih peribadi California Fitness.

Namun selepas enam tahun, beliau ingin cuba melakukan sesuatu yang baru bagi "peningkatan peribadi".

Orang ramai pada masa itu sudah mula membeli produk secara online, dan Encik Syafiq semakin "teruja" apabila menyedari bahawa data dan logistik kian berkembang.

"Saya fikir apa salahnya jika saya terus mencuba," katanya.

Riverwood ditubuhkan pada 2010 tanpa sebuah pejabat - Encik Syafiq bekerja dari rumah keluarganya di Tampines - bekerjasama dengan SingPost untuk menguruskan beberapa laluan pengirimannya.

Kini, ia memiliki pejabat dan sebuah gedung seluas kira-kira 4,000 kaki persegi di Kaki Bukit.

Meskipun semakin berjaya, beliau masih menyertai para pekerjanya membuat pengiriman seperti baru-baru ini untuk khidmat Amazon Prime Now.

Ini bagi memastikan beliau terus memahami cabaran-cabaran dialami para pekerjanya dan juga menunjukkan komitmen syarikatnya kepada klien-kliennya.

Teknologi menjadi keutamaan di Riverwood. Pada 2015, syarikat itu bekerjasama dengan sebuah firma IT untuk membangunkan sistem pengurusan pengiriman bagi mengumpulkan tempahan.

Pada masa yang sama, ia memasang pengesan GPS di semua kenderaan syarikat itu.

Ia juga sedang menimbangkan untuk melaksanakan sistem pengurusan menjelang awal tahun depan selepas berunding dengan Pengurusan Rangkaian Bekalan Pusat Inovasi Politeknik Republic bagi pilihan-pilihan yang ada.

"(Teknologi) adalah sesuatu yang wajib, ia adalah satu kebiasaan baru," kata Encik Syafiq.

"(Jika sekadar kertas dan pena ... dengan jumlah yang banyak dikendalikan, keyakinan (klien) mungkin tidak dapat dicapai."

Apa-apa pun, mengendalikan sebuah perniagaan bergantung kepada kerja keras anda.

"Kelemahan saya adalah pendidikan rasmi ... saya harus lebih berusaha (dengan) bekerja keras," kata beliau, seorang ayah kepada dua orang anak.

"Dalam perniagaan secara amnya, tidak kira anda mempunyai PhD atau tidak, ia adalah mengenai ketabahan dan sikap tidak berputus asa." 

Sumber : Today/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan