Images
  • sutd lab
    Syarikat teknologi Amerika, Keysight, menyumbangkan peralatan bernilai S$8 juta kepada makmal tersebut, (Gambar: Lee Li Ying)

SUTD buka makmal pengilangan maju bernilai $10 juta

SINGAPURA: Sebuah makmal bernilai S$10 juta, bagi menjalankan kajian bagi teknologi pengilangan maju dan mengoptimakan operasi pengilangan, dirasmikan pada Rabu (6 Dis).

Makmal Teknologi Ukuran (MTL) di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) adalah sebahagian daripada perjanjian yang dimeterai antara universiti itu dan Keysight Technologies.

Syarikat teknologi Amerika itu menyumbangkan peralatan bernilai S$8 juta kepada makmal tersebut, dengan lagi S$2 juta dalam bentuk geran kajian.

Presiden SUTD Thomas Magnanti berkata MTL akan membolehkan fakulti dan para pengkaji SUTD, serta pakar kajian dan pembangunan Keysight untuk meneroka dan menghasilkan prototaip ujian elektronik baru dan huraian ukuran dengan cepat.

"Teknologi ini adalah penting kepada pengendalian cekap dan optima bagi banyak industri, termasuk kejuruteraan, pengilangan dan pertahanan," kata Profesor Magnanti.

Menurut SUTD, tiga projek kajian sedang dijalankan. Satu daripadanya memberi tumpuan kepada keselamatan siber bagi peralatan dan sistem perindustrian 'Internet of Things'.


Yang kedua pula meneroka cara-cara baru untuk menguji papan litar yang dicetak apabila ia menjadi semakin kecil, manakala sekumpulan pengkaji sedang membangunkan kaedah penyenggaraan yang dapat diramal untuk mencegah kegagalan peralatan operasi yang tidak dijangkakan.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perusahaan) S Iswaran, yang berucap di pelancaran makmal itu, berkata teknologi pengilangan maju yang dibangunkan di MTL boleh digunakan bukan sahaja bagi syarikat di Singapura tetapi juga bagi pasaran global.

"Makmal baru ini adalah satu lagi langkah ke arah visi Singapura bagi menjadi hab global untuk pengilangan maju, di mana kami bukan hanya pengguna utama tetapi juga negara inovasi dan eksport bagi teknologi baru," katanya.

Tambah Encik Iswaran, sektor pengilangan adalah tunggak utama ekonomi Singapura, sekaligus membentuk sekitar 20 peratus GDP negara ini dan menyediakan 14 peratus pekerjaan pada tahun 2016. Sektor tersebut juga menikmati pertumbuhan kukuh tahun ini, dengan peningkatan 19.1 peratus berbanding tahun lalu dalam pengeluaran pengilangan dalam suku ketiga, katanya.

- CNA/IM/im

Top