Images
  • grain
    Syarikat pemula tempatan Grain meletakkan pautan di lamannya bagi meminta maaf atas insiden yang menyebabkan status kebersihannya diturunkan.

Status kebersihan Grain diturunkan; kari basi cetus banyak kes flu perut

SINGAPURA: Status kebersihan makanan syarikat pemula penghantaran makanan Grain diturunkan dari A ke C pada Jumaat (14 Jul).

Ini selepas 20 individu dilaporkan jatuh sakit setelah memakan makanan dari firma berkenaan, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Para pelanggan melaporkan simptom penyakit itu pada 15 Mei, dedah NEA dalam maklumannya.

"Menyusuli siasatan, NEA mengubah gred kebersihan kedai makanan itu ke C bermula 14 Julai 2017, untuk disemak dalam masa 12 bulan, dan akan mengawasi premis tersebut buat masa ini," menurut agensi itu.

Grain meminta maaf atas insiden tersebut, sambil menyatakan bahawa pihaknya sudah "melakukan kesilapan".

Pengasas Thai Express Ivan Lee dan Wee Teng Wen dari Lo & Behold Group juga adalah pelabur Grain.

Dalam catatan di laman Medium milik Grain, CEO Yi Sung Yong berkata syarikatnya "bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden itu", yang berlaku selepas pihaknya memutuskan untuk mengurangkan masa biasa mendidih bagi hidangan kari hijau Thai.

"Ini dilakukan bagi mengelakkan santan pecah dan menjadikan hidangan itu terlalu berminyak, berdasarkan maklum balas pelanggan tetap. Ini menyebabkan hidangan itu lebih mudah basi dari biasa," dedah CEO tersebut.

Beliau turut berkata: "Malangnya, apabila seorang pelanggan memaklumkan bahawa kari hijau itu rasa "pelik", sejumlah pelanggan kami sudahpun memakan hidangan itu. Kami segera menarik balik hidangan tersebut bagi mengelakkannya dari dimakan."

Grain menyatakan bahawa para pelanggan yang terjejas dibayar dengan wang ganti rugi pada minggu itu juga.

Pihaknya turut mendedahkan bahawa kelemahan kebersihan dan kawalan serangga yang dirujuk oleh pihak berkuasa di dapurnya yang terletak di Burn Road sudahpun dipertingkatkan.

"Kami berasa kesal apabila kami menghampakan para pelanggan kami dan kami meminta maaf," kata Sung.

- CNA/im

Top