Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Skandal daging Brazil: Syarikat-syarikat terjejas tidak dibenarkan eksport ke S'pura

Singapura tidak mengimport daging dari mana-mana loji pemprosesan yang terbabit dalam skandal daging tercemar di Brazil.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Mar 2017 03:42PM Dikemas Kini : 20 Mar 2017 11:44PM

SINGAPURA: Singapura tidak mengimport daging dari mana-mana loji pemprosesan yang terbabit dalam skandal daging tercemar di Brazil.

Ini kerana tiada di kalangan firma-firma Brazil yang terjejas dibenarkan mengeksport produk-produknya ke Singapura, menurut Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) hari ini (20 Mac).

AVA menyatakan ia sudah mempertingkatkan pemantauan terhadap daging dan produk daging yang diimport dari Brazil dan sedang "memantau dengan teliti situasi itu."

AVA menyatakan daging dan produk daging hanya boleh diimport ke Singapura menerusi sumber-sumber yang ditauliah oleh AVA, yang melibatkan pemeriksaan dua tahap.

"AVA akan menilai dahulu betapa utuh sistem keselamatan makanan dan kesihatan haiwan sesebuah negara yang ingin mengeksport kepada Singapura, serta setakat mana pihak berkuasa dapat menguatkuasakan syarat-syarat keselamatan makanan, seperti mengurangkan pencemaran mikrob dan saki baki kimia," menurutnya.

AVA menambah bahawa sekiranya sesebuah negara diluluskan sebagai sumber bekalan daging, setiap pertubuhan daging dalam negara itu akan dinilai untuk memastikan mereka memenuhi syarat-syarat keselamatan makanan Singapura sebelum dapat dieksport ke sini.

Sebaik sahaja tiba di Singapura, setiap pengiriman daging akan diperiksa secara fizikal untuk mengesan sebarang pencemaran. Sijil kesihatannya akan disahkan ketika diimport, menurut AVA. Sampel-sampel juga diambil untuk ujian makmal, termasuk ujian bagi sebarang bahaya terhadap keselamatan makanan - termasuk saki-baki kimia, antibiotik dan patogen mikrob - serta kesahihannya, untuk memastikan spesies dagingnya sepadan dengan spesies yang diisytiharkan dalam labelnya.

"Produk-produk yang gagal ujian kami tidak akan dibenarkan dijual. Sejauh ini, tiada pengiriman daging dari Brazil yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat ini," menurut AVA.

"AVA juga sedang bekerjasama dengan para pengimport daging kami untuk memantau situasi ini dan bersiap sedia meningkatkan sumber-sumber alternatif jika perlu," menurutnya.

Duta Brazil ke Singapura, Flavio Damico, juga memberitahu Mediacorp hari ini bahawa skandal daging tercemar itu tidak menjejas eksport daging ke Singapura. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan