Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siswa S'pura di Universiti Al-Azhar ini berjaya hafal al-Quran dalam 9 bulan saja

Anda pasti kagum jika mengetahui bahawa siswazah muda dari Singapura itu berjaya menghafal seluruh 30 juzuk Al Quran dalam tempoh sembilan bulan sahaja!

Anggaran Waktu Membaca:
Siswa S'pura di Universiti Al-Azhar ini berjaya hafal al-Quran dalam 9 bulan saja

Cik Adibah bersama ibu bapanya. (Gambar: Nurul Adibah Mohd Yusoff)

BERITAMediacorp: Nama beliau Nurul Adibah Mohd Yusoff. Anda pasti kagum jika mengetahui bahawa siswazah muda dari Singapura itu berjaya menghafal seluruh 30 juzuk Al Quran dalam tempoh sembilan bulan sahaja!

Cik Nurul Adibah baru sahaja minggu lalu dinobatkan sebagai pelajar terbaik kohort Singapura yang lulus dari Universiti Al Azhar tahun ini. Ini setelah beliau meraih Ijazah Jayyid Jiddan ala martabat sharaf atau bersamaan dengan Ijazah Kepujian Kelas Kedua (Atas), dari universiti Islam berprestij itu.

Lantaran itu, beliau dipilih sebagai valediktorian dalam majlis konvokesyen untuk 26 graduan Singapura yang berlangsung di Kahirah minggu lalu.

Tapi bukan itu sahaja pencapaian beliau, Cik Nurul Adibah yang lulus jurusan Shariah Islam juga menerima sijil dalam pengajian Perbankan dan Kewangan di Universiti Amerika di Kaherah.

BERITAMediacorp menghubungi beliau untuk mencungkil rahsia dan perjalanan beliau sehingga meraih kejayaan di bumi Mesir.

Penuntut terbaik, Nurul Adibah Mohd Yusoff. (Gambar-gambar: MUIS)

(Nurul Adibah Mohd Yusoff. Gambar: MCI)

BAGAIMANA MAMPU HAFAL AL-QURAN DALAM MASA 9 BULAN?

Cik Adibah mendedahkan bahawa minggu lalu, beliau memberikan “dua kejutan” bagi keluarganya. “Kejutan pertama adalah sehari sebelum konvokesyen, saya berikan kejutan kepada mereka dengan mengadakan majlis khatam tahfiz,” kata beliau, yang kini sah bergelar seorang ‘Hafizah’ atau penghafal Quran.

Menurutnya lagi, beliau hanya memulakan hafalan al-Quran sejak semester pertama tahun akhirnya. Ini bermaksud beliau berjaya menghafal al-Quran dalam masa sembilan bulan.

Sebenarnya, sebelum melanjutkan pendidikan ke Mesir, beliau pernah menghafal sebahagian al-Quran semasa di Singapura. Tetapi beliau seakan-akan bermula dari awal apabila di Kahirah.

“Sebelum datang Mesir saya pernah menghafal hampir setengah Al-Quran, tapi saya tidak mengulang kaji. Jadi bila saya mula tahfiz pada bulan Februari tahun ini, ia seperti hafal dari juzuk pertama,” dedah bekas pelajar Madrasah Aljunied itu kepada BERITAMediacorp.

Hakikatnya, menghafal seluruh al-Quran dalam masa yang amat singkat bukan sesuatu yang mudah. Khususnya apabila menjalani pengajian di luar negara.

Jadi, apakah rahsia Cik Adibah? Ini jawapan wanita berusia 23 tahun itu:

“Mula-mula saya pun tidak tahu sama ada sempat atau tidak habis hafal. Tapi alhamdulillah. Allah sempatkan. Berkat doa ibu bapa dan sokongan keluarga dan teman-teman.”

Nurul Adibah Mohd Yusoff (kanan) bersama rakannya dari Universiti Al-Azhar. (Gambar-gambar: Nurul Adibah Mohd Yusoff)

Tentu sahaja berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dengan jadual yang amat padat, menurut beliau, banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukannya.

“Pagi-pagi sebelum ke kuliah saya akan ke tahfiz dahulu sehingga terlewat sampai muhadarah (kuliah)… selepas kuliah baru aktiviti lain seperti Perkemas, waktu untuk kawan-kawan atau mengulang kaji pelajaran,” dedah Cik Adibah. Perkemas ialah persatuan mahasiswa Singapura di Mesir.

“Biasanya saya akan membahagikan masa. Hafal sedikit dahulu baru mula belajar,” tambah beliau.

Ibarat sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit, segala usaha Cik Adibah itu akhirnya menghasilkan segunung hafalan.

HAMPIR-HAMPIR HENTIKAN PENGAJIAN DI AL-AZHAR

Mengimbas kembali pengalamannya semasa di Al-Azhar, beliau berkongsi kepada BERITAMediacorp bahawa terdapat beberapa episod yang membuatnya tercabar untuk menghentikan sahaja pengajiannya di Al-Azhar.

Ini khususnya semasa tahun pertama pengajiannya. Keadaan politik yang bergolak di Mesir menyebabkan jumlah mahasiswa Singapura jatuh dari 60 kepada sekitar 30 orang sahaja.

“Ia hampir mematahkan semangat saya untuk datang, tapi saya tetap inginkan untuk belajar di sini,” kongsi Cik Adibah.

(Gambar Cik Adibah bersama rakan-rakan sekohortnya)

Satu lagi dugaan kemudian datang menimpa. Pada tahun yang sama, semasa musim peperiksaan, pagar masuk ke universiti dihalang oleh para mahasiswa yang sedang mogok kerana tidak mahu peperiksaan diadakan.

“Jadi masa balik cuti tahun satu, saya tidak mahu sambung belajar lagi di Mesir. Tapi melihatkan ibu yang betul-betul mengharap, saya teruskan juga. Tapi waktu itulah saya tekad untuk buat yang terbaik, sebab sudah terlalu banyak lukakan hati ibu,” dedah anak kedua dari empat beradik itu.

Akhirnya, nasihat ibu bapanya dijadikan dorongan untuk mengekalkan semangat jitu demi melakukan yang terbaik.

Walaupun demikian, banyak juga kenangan manis yang turut dilalui Cik Adibah.

Antaranya adalah apabila beliau harus berpindah dan berpisah dengan rakan-rakan sebiliknya. Beliau kemudian harus berteman dengan warga Indonesia dan Malaysia, yang mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza.

“Memang mencabar pada ketika itu kerana budaya semua dan cara pembelajaran berbeza, tapi saya banyak belajar pada waktu itu. Belajar untuk berdikari, belajar budaya yang lain dan lihat sendiri kesusahan pelajar lain,” kata Cik Adibah.

MAHU JADI PENASIHAT KEWANGAN

Meskipun beliau adalah graduan daripada universiti Islam terkemuka di dunia, Cik Adibah mendedahkan bahawa beliau sebenarnya ingin menjadi seorang penasihat kewangan Islam apabila beliau pulang ke tanah air.

Beliau berminat dalam sektor kewangan setelah membaca karya Rich Dad Poor Dad oleh Robert Kiyosaki yang disarankan oleh seorang pakcik yang tidak dikenalinya.

((Gambar Cik Adibah bersama rakan-rakannya)

Minatnya terhadap kewangan dan pelaburan itulah yang mendorongnya untuk mengambil kursus kewangan di Universiti Amerika di Kaherah. Sungguhpun begitu, beliau masih belum lagi pasti bagaimana dan apakah caranya untuk menceburi dan memulakan bidang tersebut.

Cik Adibah menambah, beliau juga menimbangkan untuk mengambil kursus-kursus SkillsFuture setibanya di Singapura bagi mengasah lagi kemahiran beliau dalam industri tersebut.

‘JANGAN PANGGIL SAYA USTAZAH’

Walaupun beliau graduan terbaik kohortnya dan seorang ‘hafizah’, Cik Adibah enggan menggelar dirinya sebagai seorang ‘ustazah’.

Tidak seperti dahulu, di mana seorang graduan Al-Azhar selalunya menjadi asatizah, Cik Adibah ingin memecahkan pemikiran sebegitu.

“Saya sangat tidak suka pemikiran (bahawa menjadi graduan) Al-Azhar sahaja, (akan) menjadi Ustaz ataupun Ustazah. Saya tak rasa saya layak pun untuk bergelar seorang ustazah,” kongsi Cik Adibah kepada BERITAMediacorp penuh rendah diri.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan