Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura tamatkan operasi mencari QZ8501

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menamatkan operasi mencari mayat dan serpihan pesawat AirAsia QZ8501, yang terhempas di Laut Jawa, selepas 20 hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura tamatkan operasi mencari QZ8501

Kakitangan kapal MV Swift Rescue bertafakur selama seminit bagi para mangsa nahas AirAsia QZ8501. (Gambar: Facebook Dr Ng Eng Hen)

Diterbitkan : 16 Jan 2015 02:44PM Dikemas Kini : 20 Jan 2015 05:00PM

SINGAPURA: Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menamatkan operasi mencari mayat dan serpihan pesawat AirAsia QZ8501, yang terhempas di Laut Jawa, selepas 20 hari.

Kapal SAF terakhir yang terlibat dalam operasi itu, MV Swift Rescue, kini sedang dalam perjalanan pulang ke Singapura.

Operasi mencari pesawat malang itu kini hanya akan dijalankan oleh Indonesia.

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen berkata, ketua Badan Mencari dan Menyelamat Indonesia (BASARNAS), Encik Bambang Soelistyo, sudah memberitahu negara-negara lain bahawa Indonesia kini mempunyai sumber-sumbernya sendiri untuk meneruskan operasi seterusnya.

Ini berikutan penemuan perakam data penerbangan, perakam suara kokpit dan bahagian utama pesawat.

Dalam catatannya di Facebook hari ini, Dr Ng berkata: "Selepas misi mencari selama 20 hari, MV Swift Rescue, kapal terakhir SAF di sana, sudah meninggalkan Laut Jawa dan dalam perjalanan pulang. Ini menandakan berakhirnya secara rasmi penglibatan SAF dalam operasi mencari pesawat AirAsia dan para penumpangnya."

Kelmarin, kapal MV Swift Rescue menemui bahagian utama pesawat QZ8501 di dasar Laut Jawa menggunakan kapal selam tanpa pemandu. Satu lagi kapal yang terlibat dalam usaha pencarian ialah RSS Persistence, yang menemui sekujur mayat penumpang.

Dr Ng mengucapkan terima kasih kepada semua anggota SAF yang terlibat dalam misi tersebut, dan memuji mereka kerana menjalankan tugas mereka dengan baik.

"SAF dan rakyat Singapura mengucapkan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut. Tempat terakhir pesawat ini sudahpun ditemui.

"Semoga anggota keluarga dan orang tersayang mangsa mampu mendapatkan kekuatan dan ketenangan jiwa untuk mengatasi kehilangan yang anda alami. Doa kami kepada anda dalam masa-masa sukar ini."

Sementara itu, Malaysia pula mengakhiri misi mencari QZ8501, kelmarin. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan