Images
  • Ong ye kung australia
    (Gambar: MINDEF)

Singapura, Australia tegaskan lagi hubungan rapat 2 hala

SINGAPURA: Singapura dan Australia menegaskan lagi hubungan dua hala yang "akrab dan sudah lama terjalin" sewaktu lawatan Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) merangkap Menteri Kedua Pertahanan, Ong Ye Kung, ke Australia.

Encik Ong berada di Australia dari 7 hingga 12 Oktober atas undangan Menteri Ehwa Luar Australia, Julie Bishop.

Kedua-duanya bertemu di Canberra semalam (10 Okt) dan berbincang tentang "pelbagai isu geopolitik dan keselamatan", dedah Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu siaran media.

Di Canberra, Encik Ong menziarahi Tugu Perang Australia di mana beliau meletakkan jambangan bunga sebagai penghormatan kepada askar-askar Australia yang terkorban dalam perang, termasuk sewaktu mempertahankan Singapura pada Perang Dunia Kedua.

Selain itu, beliau berkunjung ke Universiti Kebangsaan Australia (ANU) dan bertemu Timbalan Naib Canselor ANU, Profesor Marnie Hughes-Warrington, untuk membincangkan huraian inovatif dalam pendidikan tinggi.

Encik Ong kemudian berangkat ke Sydney di mana beliau dijamu dalam majlis makan malam oleh Menteri Pertahanan Australia, Marise Payne, untuk membincangkan isu keselamatan serantau dan global.

Hari ini (11 Okt), Encik Ong mengadakan persidangan video bersama Menteri Pendidikan dan Latihan Australia, Simon Birmingham.

Encik Ong juga melawat kumpulan Data61 yang berada di bawah Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Commonwealth.

Beliau juga bertemu dengan Timbalan Menteri Prasarana, Pengangkutan, Bandar serta Pembangunan Wilayah dan Pelancongan, Anthony Albanese. Turut hadir adalah David Gonski yang merupakan cancelor Universiti New South Wales dan pengerusi bank ANZ.

Sebelum ini, Encik Ong menghadiri Latihan Wallaby Singapura 2017 di daerah latihan Shoalwater Bay di Queensland, Australia.  

- CNA/AQ/aq

Top