Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapore Airlines lancar 'chatbot' jawab soalan pelanggan

Singapore Airlines pada Selasa (12 Dis) mengumumkan ia melancarkan 'chatbot' atau bot perbualan yang direka untuk menjawab soalan pelanggan.

Anggaran Waktu Membaca:
Singapore Airlines lancar 'chatbot' jawab soalan pelanggan

Seorang lelaki di kaunter khidmat pelanggan Singapore Airlines Lapangan Terbang Changi. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 12 Dec 2017 10:16PM Dikemas Kini : 12 Dec 2017 10:18PM

SINGAPURA: Singapore Airlines pada Selasa (12 Dis) mengumumkan ia melancarkan 'chatbot' atau bot perbualan yang direka untuk menjawab soalan pelanggan.

Bot beta itu, yang diberi nama Kris, kini beroperasi di laman Facebook SIA dan akan disediakan di laman web syarikat itu tidak lama lagi, dedah syarikat tersebut dalam kenyataan medianya.

Para pelanggan boleh membuka perbualan dengan Kris melalui Facebook Messenger di mana mereka boleh bertanya soalan berkaitan hal-hal sebelum penerbangan.

"Bot tersebut kini dilatih untuk menangani soalan dalam bahasa Inggeris mengenai bagasi, masuk pesawat, tempahan online dan melakukan perjalanan dengan bayi dan kanak-kanak," menurut SIA.

Dalam ucapan alu-aluannya, bot itu berkata: "Saya mungkin tidak dapat menjawab semua soalan anda buat masa ini - tetapi saya akan dapat berbuat demikian di masa hadapan!"

Bot tersebut, yang sentiasa dalam mod pembelajaran, dilatih dengan data sejarah berdasarkan carian soalan yang sering ditanyakan pelanggan di laman SIA.

"Dengan menggunakan soalan sebenar yang diterima dari pelanggan, respons Kris sudah diperhalusi menerusi banyak pusingan ulangan dengan menggunakan kecerdasan buatan, dengan tujuan untuk melatih bot itu bagi memberikan jawapan perbualan yang dapat memenuhi keperluan pelanggan dengan cepat dan cekap," dedah syarikat itu.

Dibangunkan oleh pasukan syarikat itu sendiri, matlamat 'chatbot' itu adalah untuk memperluaskan saluran khidmat digital bagi para pelanggan.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan