Images
  • shanmugam
    Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berucap di acara Straits Times dan WAN-IFRA.   

Shanmugam: Undang-undang baru mengenai berita palsu diperkenalkan tahun depan

SINGAPURA: Undang-undang baru bagi mengawal ruang online Singapura dan membanteras penyebaran berita palsu dijangka akan diperkenalkan pada tahun depan, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam hari ini (19 Jun).

Berucap di forum selama dua hari mengenai kesahihan berita yang dianjurkan oleh Straits Times dan Persatuan Akhbar dan Penerbit Berita Sedunia (WAN-IFRA), Encik Shanmugam berkata rundingan dengan pihak-pihak yang berkepentingan seperti karyawan media mengenai rangka kerja undang-undang akan diadakan pada separuh kedua tahun ini.

Pemerintah juga akan mengkaji pengalaman negara-negara lain dalam menggubal undang-undang mengenai berita palsu, tambah Encik Shanmugam.

Satu contoh yang disebut beliau ialah Britain, di mana sebuah jawatankuasa parlimen sedang menimbangkan penguatkuasaan undang-undang seperti sama ada rangkaian sosial harus dipertanggungjawabkan atas kandungan yang tidak sesuai termasuk berita palsu.

Beliau turut mengongsi dapatan tinjauan pemerintah baru-baru ini yang menunjukkan bahawa lebih 90 peratus rakyat Singapura menyokong undang-undang yang lebih ketat untuk memadamkan atau memperbetulkan berita palsu.

Dalam tinjauan yang sama, ia mendapati tiga suku responden menerima berita palsu sekurang-kurangnya sekali-sekala, termasuk di Facebook dan Whatsapp.

Satu suku responden berkongsi maklumat itu sebelum mendapat tahu bahawa ia adalah berita palsu, sementara hanya hampir separuh yang menyatakan bahawa mereka boleh mengenal pasti berita palsu.

Ini menunjukkan bahawa selain daripada penggubalan udang-undang, Pemerintah juga perlu meneroka cara-cara untuk mempertingkatkan tahap celik media dan mengajar pemikiran kritikal, tambah Encik Shanmugam. 

- CNA/ru

Top