Images
  • sgx
    Logo SGX di luar premisnya. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

SGX diarah pertingkat proses pemulihan ekoran gangguan sesi dagang

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sudah mengarahkan Bursa Saham Singapura (SGX) supaya melaksanakan langkah-langkah untuk mempertingkatkan proses-proses pemulihan dan daya tahan operasinya.

Ini menyusuli siasatan penyeliaan terhadap satu gangguan pada sesi dagang yang menjejas pasaran sekuriti pada 14 Julai 2016.

Insiden itu menyebabkan sesi dagang digantung selama lebih setengah hari dan dikesan berpunca daripada masalah perkakasan, kata CEO SGX sehari selepas gangguan itu.

MAS menyatakan ia sudah menerima saranan-saranan sebuah kumpulan kerja industri tentang langkah-langkah yang perlu dijalankan, dan mengarahkan SGX supaya melaksanakannya dalam masa 24 bulan.

Ia akan melibatkan perubahan pada sistem-sistem dan proses-proses kedua-dua SGX dan firma-firma pembrokeran, menurut MAS.

SGX akan menyumbang S$1.5 juta untuk membiayai secara bersama kos-kos yang mungkin ditanggung firma-firma pembrokeran untuk melaksanakan langkah-langkah tersebut.

Kumpulan kerja industri itu - terdiri daripada SGX dan pihak-pihak berkepentingan industri - menyarankan agar bursa itu memperbaiki bidang-bidang seperti memulihkan data yang rosak, prosedur pemulihan pasaran, garis waktu penutupan dan penyambungan pasaran, anggapan perdagangan, perhubungan tentang insiden dan senario-senario penyambungan perniagaan.

"MAS sudah memutuskan bahawa meskipun SGX sudah memenuhi tanggungjawab utamanya sebagai bursa saham untuk mengekalkan pasaran yang adil, teratur dan telus, ia tidak memulihkan fungsi betul sistem kritikalnya dalam masa empat jam seperti yang dikehendaki MAS," menurut MAS.

Ia menarik perhatian bahawa SGX sudahpun mengambil langkah-langkah untuk menghuraikan kerosakan-kerosakan kelengkapan dan sofwenya yang menyebabkan sesi dagang terganggu.

"MAS memandang serius gangguan-gangguan terhadap sesi dagang. Kami tidak akan pernah dapat mengelak 100 peratus gangguan teknologi berhubung sistem dan ini sebabnya SGX harus perkukuh proses pemulihannya," kata timbalan pengarah urusan penyeliaan kewangan di MAS, Ong Chong Tee.

"Kedua-dua SGX dan firma pembrokeran mempunyai tanggungjawab bersama untuk melaksanakan proses-proses yang jelas untuk memulihkan pasaran sekuriti kami tepat pada masa sekiranya sesuatu insiden berlaku."

- CNA/nd

Top
>