Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sepertiga laman sosio-politik S'pura tidak lagi aktif

Semasa beliau memulakan laman politiknya, Inconvenient Questions pada Januari 2015, tokoh industri media, Encik Viswa Sadasivan, mahukan perbincangan yang "bernas dan jujur" mengenai isu-isu semasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Sepertiga laman sosio-politik S'pura tidak lagi aktif

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 23 Sep 2017 03:51PM Dikemas Kini : 23 Sep 2017 07:54PM

SINGAPURA: Semasa beliau memulakan laman politiknya, Inconvenient Questions pada Januari 2015, tokoh industri media, Encik Viswa Sadasivan, mahukan perbincangan yang "bernas dan jujur" mengenai isu-isu semasa.

Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang berusia 58 tahun itu berpendapat bahawa wacana politik tidak sepatutnya terbatas hanya pada media arus perdana, yang dianggap sebagai "menyokong pihak yang berkuasa" atau laman popular yang tertumpu hanya kepada "haluan kiri".

Lamannya lebih fokus kepada perbincangan panel - seperti dialog mengenai kebebasan bersuara yang menampilkan Menteri Undang-Undang K Shanmugam - serta temu bual yang dilakukan secara bersemuka bersama ahli politik dan akademik.

Namun, 16 bulan selepas pelancarannya, Inconvenient Questions ditutup disebabkan kekurangan dana.

Laman berita Encik Viswa bukan satu-satunya laman sosio-politik yang berhenti beroperasi. Six-Six News, yang bermula pada Jun 2015 dan menerbitkan beberapa komentar politik turut berhenti beroperasi pada April tahun lalu.

Setakat sehingga Ogos tahun ini, kajian yang dijalankan oleh Institut Kajian Dasar (IPS) mendapati bahawa 35 peratus daripada 240 blog dan laman sosio-politik, yang kebanyakannya ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum 2015 atau selepas pilihan raya itu, didapati tidak lagi aktif. Ini bermakna laman-laman tersebut tidak dikemas kini dengan artikel-artikel yang baru pada tahun ini.

Sebab utama di sebalik kurangnya jumlah laman sedemikian adalah kekurangan dana atau masa untuk meneruskan operasi, menurut penolong penyelidik IPS, Siti Nadzirah Samsudin.

Bagi Encik Viswa sendiri yang menguruskan firma perunding media, beliau berpendapat bahawa: " Ia memerlukan banyak tenaga dan sumber, serta kerja-kerja fizikal tanpa meraih pendapatan dan sehingga menjejas perniagaannya sendiri."

Selain kekangan dana, Cik Nadzirah turut menyifatkan kemerosotan pada jumlah laman sosio-politik kepada para penulis blog yang kini memindahkan kegiatan mereka ke rangkaian sosial --- seperti Facebook, yang kini menjadi "arena perbahasan politik" yang membolehkan mereka untuk 'memasarkan' kandungan mereka dengan lebih berkesan, katanya.

Namun, ada tanda-tanda positif dalam landskap blog politik seperti Consensus SG, Observer+ dan The Flip Side yang muncul pada awal tahun ini.

Pengasas bersama Consensus SG, seorang graduan dari Universiti Oxford dalam pengajian undang-undang, Rio Hoe, memberitahu Mediacorp bahawa blognya dilancarkan bagi memberi tumpuan kepada isu-isu termasuk pendidikan, hak golongan gay dan wanita, dan ketaksamaan ekonomi.

Memandangkan dasar-dasar dan politik saling terkait antara satu sama lain, sesetengah komentar politik "tidak dapat dielakkan", tambahnya, sambil merujuk kepada jumlah rencana yang diterbitkan mengenai Pilihan Raya Presiden yang dikhaskan bagi masyarakat Melayu.

"Pada pendapat saya, wacana politik yang bermutu tinggi diperlukan untuk membina masyarakat yang progresif dan inklusif, dan banyak lagi yang harus dilakukan untuk memperbaiki keadaan," kata Encik How, yang kini berpangkalan di Britain.

Para pakar media turut berkata, sedang media arus perdana memberikan laporan bercorak faktual dan analisis tentang hal ehwal semasa, laman berita politik dan blog memainkan peranan yang berbeza dalam menyumbang kepada wacana politik tempatan.

Pengurus Besar Asia bagi Fremantlemedia International, Encik Ganesh Rajaram, berkata blog sosio-poitik juga mempunyai keupayaan untuk memikat lebih banyak perbincangan dan mendampingi golongan muda yang mungkin memilih untuk tidak melanggani media arus perdana.

Sumber : CNA/UR/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan