Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebilangan kondominium sudah pasang lokar sebelum diperkenalkan di perumahan awam

Sebelum ini, pemerintah membentangkan rancangan untuk memasang sistem lokar di kawasan perumahan serata Singapura. Namun, sekurang-kurangnya 30 kondominium sudahpun memasang kaedah seumpama ini di premis masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Sebilangan kondominium sudah pasang lokar sebelum diperkenalkan di perumahan awam

Sistem lokar di The Oceanfront @ Sentosa Cove. (Gambar: Dylan Loh)

Diterbitkan : 12 Dec 2017 12:02PM Dikemas Kini : 12 Dec 2017 12:05PM

SINGAPURA: Sebelum ini, pemerintah membentangkan rancangan untuk memasang sistem lokar di kawasan perumahan serata Singapura. Namun, sekurang-kurangnya 30 kondominium sudahpun memasang kaedah seumpama ini di premis masing-masing.

Sekitar 30 lagi kediaman privet sudah menandatangani perjanjian untuk mempunyai sistem lokar sedemikian.

Montebleu di Minbu Road antara kondominium yang sudah bersetuju untuk mengadakan rangkaian bagi pengumpulan kiriman barangan.

Bagi Encik Royston Tan, seorang penduduk Montebleu, kaedah ini mengatasi masalah penduduk yang kehilangan pakej-pakej kiriman mereka terutama sekali apabila khidmat pengiriman menghantarnya sewaktu mereka tiada di rumah.

"Sistem lokar seperti ini memberi kami kemudahan di mana barang-barang yang kami pesan masih boleh diterima tidak kira jika kita berada di rumah ataupun tidak. Kita boleh mengambil kiriman barang bila-bila masa sahaja," katanya.

Pebble Bay, Mi Casa, Costa Del Sol, kondominium eksekutif (EC) Pinevale dan Tampines Court antara perumahan lain yang sudah memasang sistem lokar ini.

Spring Grove, Sims Green, Amber Point, Tanglin Park dan Chestervale EC juga sudah menandatangani perjanjian bagi sistem lokar tersebut.

Langkah Ini menyusuli pengumuman oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada November bahawa rangkaian sistem lokar akan diuji di estet perumahan awam di Punggol dan Bukit Panjang tahun depan di bawah inisiatif perintis.

Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam berkata pada tahun lalu bahawa terdapat rancangan untuk memperkenalkan sistem lokar bersepadu di kawasan-kawasan perumahan bagi memudahkan lagi penghantaran kiriman bungkusan di merata negara.

Namun, tidak semua perumahan privet bersedia untuk memasang sistem itu. Demikian menurut pengendali sistem lokar, Parcel Santa.

"Kebanyakan orang suka mengambil pendekatan "tunggu dan lihat dulu" sebelum mereka sendiri melaksanakannya," kata Jim Huang, ketua eksekutif dan pengasas bersama Parcel Santa.

Parcel Santa dibayar oleh pengendali penghantaran seperti FedEx dan DHL setiap kali sistem lokar digunakan.

Jika kiriman barang tidak diambil dalam tempoh 24 jam, penduduk juga dikenakan bayaran antara S$1 hingga S$3 bagi setiap 12 jam.

Sistem lokar ini juga mempunyai aspek keselamatan bagi mencegah jenayah daripada berlaku. Para pengguna perlu mendaftarkan maklumat pengesahan ke dalam sistem lokar yang dihantar ke telefon atau e-mel mereka apabila barang kiriman mereka sudah dimasukkan ke dalam lokar. Ruang lokar tidak boleh dibuka tanpa proses pengesahan ini.

Kamera pengawasan dan sensor inframerah juga dipasang pada sistem ini.

Menurut Parcel Santa, sistem lokar dipasang di tempat letak kereta di kebanyakan perumahan privet. Hanya penghantar yang berdaftar boleh membuka lokar untuk meninggalkan kiriman barang.

MASIH DALAM TAHAP UJI

Namun, masih ada kebimbangan berkaitan keselamatan dengan adanya sistem lokar seperti ini.

"Selalu akan ada kemungkinan bahawa seseorang meletakkan bom tetapi saya fikir Parcel Santa sudah menasihati kami tentang beberapa langkah keselamatan yang boleh diambil. Ini juga satu proses pembelajaran bagi kami," kata Encik Desmond Soo, seorang pengerusi jawatankuasa pengurusan kondominium The Oceanfront @ Sentosa Cove.

"Kami menandatangani (perjanjian) dengan Parcel Santa dan kami mahu melihat sistem ini berkekalan dengan memantau dan menilai keadaan."

Penganalisis keselamatan Graham Ong-Webb berkata manfaat sistem loker melebihi risiko ancaman kepada para penduduk.

Pegawai penyelidikan di Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam mengatakan bahawa walaupun sistem ini tidak mempunyai sebarang kelemahan, masih terdapat langkah berjaga-jaga yang boleh diambil untuk mengurangkan risikonya.

"Sistem lokar ini sebaik-baiknya diletakkan di kawasan yang tidak jauh dari tempat tinggal penduduk," katanya.

Pada masa akan datang, apabila lebih banyak lokar dipasang di sekitar kawasan perumahan, sistem ini boleh dipasang berhampiran kawasan pengumpulan sampah sebagai satu langkah keselamatan, tambah beliau.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan