Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sebelum sekolah dibuka, pastikan beg sekolah anak anda baik untuk kesihatan jangka panjang

Apakah maksud beg ergonomik dan apakah ciri-ciri beg sekolah yang sesuai untuk kanak-kanak?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemilihan beg sekolah yang baik untuk anak-anak merupakan salah satu perkara asas dalam persiapan untuk kembali ke sekolah.

Lantaran itu, ramai ibu bapa memilih beg yang terbaik untuk kesihatan dan memastikan postur tubuh anak-anak mereka terpelihara.

Para ibu bapa yang ditemui BERITAMediacorp turut melahirkan keprihatinan mengenai pemilihan beg untuk anak-anak mereka.

“Sesetengah jenama beg yang disyorkan sebagai ergonomik sangat mahal berbanding dengan jenama beg lain. Jadi saya memilih alternatif lain dengan membeli beg yang berharga berpatutan, tapi tetap mempunyai ciri-ciri ergonomik,” kata Noor Aishah Hidayah Amran, 31 tahun, ibu kepada anaknya yang akan memasuki darjah dua pada bulan depan.

“Kami risau kerana anak kami akan melangkah ke darjah satu tahun depan. Jumlah buku akan bertambah. Jadi kita beli beg yang selesa yang boleh melindungi tulang belakangnya,” kata seorang bapa, Muhammad Fadly Bin Asis, 39 tahun.

Memandangkan cuti sekolah bakal berakhir tidak lama lagi dan pasti ramai yang sudah mula sibuk membeli peralatan sekolah, termasuk beg. BERITAMediacorp mendapatkan nasihat dan tips berguna yang boleh dijadikan panduan oleh para ibu bapa.

BUKAN SETAKAT LIHAT PADA LABEL ‘ERGONOMIK’ SAJA

Cik Habibah Najihahbi Ahmad, seorang mahasiswi Sains (Pendidikan Jasmani) tahun empat di Institut Pendidikan Nasional (NIE), memberitahu BERITAMediacorp bahawa banyak kajian yang sudah dijalankan di luar negara mengenai jenis-jenis beg yang sesuai untuk digunakan oleh kanak-kanak.

Malah, Cik Habibah sendiri kini sedang mengendalikan sebuah projek kajian akhir tahunnya mengenai kesan beg berat ke atas murid-murid sekolah rendah Singapura.

Beg-beg yang dilabel dan dipasarkan sebagai ‘ergonomik’ popular di kalangan ibu bapa yang menginginkan yang terbaik buat anak-anak mereka. Namun, apakah maksud beg ergonomik dan apakah ciri-ciri beg sekolah yang sesuai untuk kanak-kanak?

Ergonomik adalah sains amali yang menumpukan perhatian kepada reka bentuk dan penyesuaian barangan supaya ia dapat digunakan dengan berkesan dan selamat.

Namun, penting juga bagi para ibu bapa untuk mengetahui ciri-ciri beg sekolah yang terbaik - supaya mereka tidak mudah terperdaya dengan beg-beg yang konon-kononnya ‘ergonomik’ yang dijual di pasaran.

CIRI-CIRI BEG YANG SESUAI

Selain daripada Cik Habibah, BERITAMediacorp juga bertemu dengan Cik Chong Hui Ngoh, Pakar Kanan Fisioterapi dari Pusat Pemulihan Hospital Universiti Nasional (NUH), yang berkongsi tentang perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan semasa memilih beg sekolah untuk anak-anak.

1. Diperbuat daripada bahan yang ringan

Contoh-contoh bahan termasuk kain vinil yang ringan ataupun kanvas. “Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), berat beg tidak seharusnya melebihi 10-15 peratus daripada berat badan kanak-kanak yang membawanya,” kata Cik Habibah.

2.Tali bahu yang mempunyai span atau 'padding'

Menurut Cik Chong, dengan adanya 'padding' sebagai perlindungan bahu apabila menggalas beg, otot kanak-kanak tidak akan tegang sehingga mengakibatkan badan berasa lenguh.

3. Ada tali dada & pinggang

Dengan menggunakan tali dada dan tali pinggang, ia memastikan beg yang dipikul berada dekat dengan badan. Ini memastikan beratnya seolah-olah seperti berat badan kanak-kanak itu sendiri dan bukan berat yang berlebihan.

4. Sama tinggi dan lebar dengan badan

Menurut Cik Chong, beg yang sepadan dengan saiz badan kanak-kanak berupaya membahagikan beratnya sebaik mungkin sekaligus baik untuk peredaran darah.

ANGKAT & GUNA BEG DENGAN BETUL

Cik Chong memberitahu BERITAMediacorp, selain memilih beg yang sesuai, ibu bapa juga harus memastikan bahawa anak-anak mereka mengangkat dan menggunakan beg dengan cara yang betul.

“Mereka selalu duduk di lantai semasa perhimpunan di sekolah. Jadi yang terbaik ialah mereka masukkan tangan ke dalam kedua-dua tali beg terlebih dahulu, sebelum berdiri,” katanya.

Barang-barang keperluan sekolah juga harus disusun dengan yang paling berat diletakkan dekat dengan tubuh, tambah beliau.

Cik Chong juga menegaskan gaya hidup yang aktif seperti bersenam dan meregangkan badan penting untuk kesihatan keseluruhan kanak-kanak.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan