Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Sebagai seorang ibu, hati saya hancur…" - Luah Cik Nina, anaknya dijangkiti bakteria maut

Tidak sedikit pun terlintas di minda Cik Siti Huzainawati Md Shariff bahawa kesakitan kecil pada ibu jari anak lelakinya akan bertukar menjadi suatu keadaan penyakit yang mengancam nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
"Sebagai seorang ibu, hati saya hancur…" - Luah Cik Nina, anaknya dijangkiti bakteria maut

Syaqir Ali kini sudah terlantar di hospital selama hampir lima minggu. (Gambar: Nina Shariff)

BERITAMediacorp: Tidak sedikit pun terlintas di minda Cik Siti Huzainawati Md Shariff bahawa kesakitan kecil pada ibu jari anak lelakinya akan bertukar menjadi suatu keadaan penyakit yang mengancam nyawa.

Malah, yang lebih memilukan, remaja 14 tahun itu, Syaqir Ali, kini sudah terlantar di hospital selama hampir lima minggu dan hanya dapat makan melalui sebuah tiub kerana masih berada di bawah pemantauan doktor.

Ketika dihubungi BERITAMediacorp, ibunya, yang lebih mesra dikenali sebagai Nina Shariff, tidak dapat membendung kesedihannya.

"Dia memberitahu kami dia ingin makan buah tembikai, strawberi, mangga, minum air Bandung Kathirah dan Sprite sebelum puasa. Tetapi saya rasa tidak berdaya kerana saya tidak dapat memenuhi permintaannya sepenuhnya," luahnya.

BERMULA DARI KESAKITAN PADA IBU JARI

Syaqir Ali mengalami Sepsis, iaitu suatu komplikasi di mana tubuh memberi respons yang keterlaluan kepada sesuatu jangkitan sehinggakan ia mencederakan tisu tubuh dan organ. Keadaan ini boleh mengancam nyawa.

Menurut Cik Nina, ia hanya bermula apabila pelajar Menengah Tiga itu mengadu sakit pada ibu jari kirinya yang tidak boleh bergerak pada 8 April lalu.

"Saya tidak melihat sebarang tanda bengkak, jadi saya hanya menyapukan minyak dan urut. Saya ingatkan dia terlalu banyak bermain Playstation3.

"Tetapi keesokan harinya, pergelangan tangannya pula terasa sakit dan dia mengalami demam pada sebelah petang. Apabila pergelangan tangannya mula bengkak pada 10 April, kami terus membawanya ke A&E Hospital KK," cerita Cik Nina kepada BERITAMediacorp.

Meskipun doktor mengesyaki pelbagai kondisi termasuk denggi, atritis dan masalah kulit, doktor akhirnya mengesahkan Syaqir mengalami Sepsis setelah diletakkan dalam inkubator di Unit Jagaan Rapi (ICU) dan diberikan ubat penenang.

"Apabila saya dimaklumkan tentang kondisi bakteria itu dan kesannya pada anak saya, dunia saya seakan-akan menjadi gelap," luah Cik Nina.

PELUANG 30% UNTUK HIDUP, NINA TEKAD CARI KHIDMAT DOKTOR LAIN

Bagaimanapun, hari berganti hari, keadaan Syaqir masih tidak menunjukkan sebarang kemajuan. Malah, doktor juga tidak dapat mencari sumber bakteria yang kian tumbuh. Pada ketika itu, paru-paru dan buah pinggang Syaqir juga sudah dijangkiti bakteria.

"Doktor kata bakteria mungkin sudah menyerang tulangnya. Dan apabila ditanya jika terdapat sebarang rawatan bagi tulang, doktor kata tiada dan bahawa mereka sudah melakukan yang terbaik. Doktor kata, Syaqir hanya mempunyai peluang 30 peratus untuk hidup," jelas Nina.

Bertekad untuk memulihkan anaknya, Cik Nina dan keluarganya menghubungi pakar penyakit berjangkit, Dr Leong Hoe Nam dari Mount Elizabeth Novena. Malah, doktor tersebut turut berasa yakin dan memberi jaminan bahawa Syaqir dapat pulih 99 peratus - namun, dengan kos perubatan yang tinggi.

Today, Doctor did EEG (like an ECG for heart, but for brain) on Syaqir to track for any abnormalities in his brain electrical activity. Response was not so good but doctor said probably because he was in too much sedation meds.Tracheostomy (a temporary opening in the neck to place a tube into his windpipe) was done to Syaqir this afternoon to help with his breathing. He still has fluids in his lungs which probably will need a 2nd bigger tube inserted on his chest for drainage. You can see from this video, his breathing is not very comfortable.Other than that, his blood culture result comes out as negative, which is good news. His kidneys are also looking better, according to Dr Leong.We would like to express our heartfelt thanks to all our generous donors and volunteers who have came forward to raise more fund raising for Syaqir. Every dollar means a lot to our family and goes a long way in helping with Syaqir's treatment. We have so far put in all the donation collected into the hospital deposit. Thank you once again. May God repay your kindness in His way best and bless all of you with great health.

Posted by Shida Shariff Baker on Friday, 21 April 2017
 

"Kami terus membuat keputusan untuk membawa Syaqir pulang dari KKH meskipun kami tahu terdapat risiko akan kehilangannya dalam perjalanan ke hospital Mount Elizabeth.

"Bila Syaqir sampai di Mount Elizabeth Novena, Dr Leong terus memeriksanya, melepaskan semua wayar yang dipasang padanya dan menegaskan dia tidak memerlukan sebarang sedatif. Sumber bakteria juga dijumpai di kelengkang kaki kanannya," kata Cik Nina.

BIL PERUBATAN BOLEH CECAH $1 JUTA

Cik Nina memberitahu BERITAMediacorp bahawa Dr Leong turut berkata Syaqir memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk sembuh.

"Doktor kata bil Syaqir boleh mencecah hingga $1 juta. Insurans pula hanya dapat membayar 70 peratus dan terhad pada $500,000 setiap tahun. Saya belum menerima bil bagi rawatan di KKH tetapi ia dianggarkan $22,000. Setakat sehingga 5 Mei pula, bil hospital bagi rawatan di Hospital Mount Elizabeth sudah mencecah lebih $135,000.

"Melalui portal pendanaan ramai Give.Asia, kini kami berjaya mengumpulkan lebih $200,000. Sejauh ini, kami berhasil melunaskan bil $100,000 dari pendanaan itu," kata Cik Nina. Pemeriksaan BERITAMediacorp mendapati, setakat 11 Mei, dana tersebut berjaya mengumpul derma lebih $225,000 sumbangan 3,700 orang.

Malah, menurut Cik Nina, sekolah Syaqir, Sekolah Menengah Marsiling, turut membantu mengumpulkan dana dan masih cuba untuk mendapatkan bantuan dari ComCare.

Buat masa ini, Syaqir baru saja menjalani pembedahan bagi paru-paru kanannya dan doktor masih memantau paru-paru kirinya bagi pembedahan yang kedua. Beliau juga masih diperlukan mengambil antibiotik selama enam minggu sehingga sekitar 23 Mei ini.

(Gambar: Nina Shariff)

"Bagaimanapun, dia masih belum boleh makan secara normal kerana trakea Syaqir masih diperlukan bagi pembedahan paru-parunya dan untuk bernafas," kata Cik Nina, yang mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia 16 tahun dan seorang anak perempuan 12 tahun.

SYAQIR SUKA BERGURAU, TAPI KINI LEBIH SERING MENANGIS

Ahad ini (14 Mei) adalah Hari Ibu. Sedang ramai ibu lain diraikan dengan ceria, Cik Nina Shariff pula berada di hospital. Menemani anaknya itu. Mungkin beliau akan sekali lagi bermandikan air mata. Nyawa anaknya Syaqir masih di hujung tanduk.

"Sebelum ini, Syaqir seorang anak yang sangat ceria dan aktif. Dia suka bergurau. Malah, saya tidak pernah melihatnya menitiskan air mata.

"Tetapi kini, dia sering menangis. Dan melihatkan keadaannya, saya juga tidak dapat menahan sebak setiap malam, sehingga kadang-kadang saya sudah kekeringan air mata. Tetapi saya tahu saya tidak boleh menangis di depannya, kerana saya harus memberitahunya untuk terus cekal mengharunginya," luah Cik Nina tentang anak keduanya.

Remaja yang pernah menganggotai Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC) dan kini menyertai bola sepak, juga dijangka memerlukan bantuan dan ubat-ubatan akibat otot yang lemah jika dibenarkan pulang kelak.

"Sebagai seorang ibu, hati saya hancur setiap kali dia menghantar kiriman mesej 'saya mahu pulang ke rumah'. Saya doakan anak saya cepat sembuh dan kembali sihat seperti sediakala. Saya rindukan senyuman dan senda guraunya.

"Dia sepatutnya menduduki peperiksaan Peringkat 'N' tahun depan. Tetapi saya reda dengan ketentuan Allah. Saya percaya ini adalah satu ujian daripadaNya untuk menjadikan kami lebih kuat dan lebih rapat dengannya," luah Cik Nina kepada BERITAMediacorp.

Anda yang ingin menghulurkan bantuan kewangan kepada Syaqir Ali masih boleh berbuat demikian melalui portal Give.Asia.

Hi friends. A short video from Syaqir Ali

Posted by Nina Ali on Wednesday, 26 April 2017
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan