Images
  • limah
    Bakal Presiden baru Halimah Yacob menyampaikan ucapan beliau pada Hari Penamaan Calon. (Gambar: Gaya Chandramohan)

"Saya bukan Presiden untuk orang Melayu saja, saya Presiden untuk seluruh rakyat," kata Halimah Yacob

SINGAPURA: Bakal Presiden baru Singapura Halimah Yacob berjanji akan menjadi Presiden untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum, bahasa atau agama.

"Saya tahu ada yang mempersoalkan mengenai pilihan raya khusus ini tetapi ... saya seorang presiden untuk semua dan saya berhasrat untuk berkhidmat kepada semua tanpa sebarang rasa teragak-agak," kata Cik Halimah selepas diisytiharkan bakal Presiden baru hari ini (13 Sep).

"Walaupun tiada pilihan raya, komitmen saya untuk berkhidmat kepada anda tetap sama. Begitu juga hasrat, minat dan komitmen saya untuk berkhidmat kepada anda."

Pilihan raya tahun ini dikhususkan bagi masyarakat Melayu. Cik Halimah akan menjadi Presiden wanita dan orang Melayu pertama menyandang jawatan itu dalam tempoh 47 tahun selepas beliau menjadi satu-satunya calon layak bertanding dalam pilihan raya berkenaan.

Cik Halimah, 62 tahun, menyifatkan pilihan raya itu sebagai kejayaan bagi Singapura yang berbilang kaum.

"Ini adalah detik yang membanggakan bagi masyarakat berbilang budaya, kaum," katanya, yang disambut dengan sorakan para penyokong, di Pusat Penamaan Calon di ibu pejabat Persatuan Rakyat.

"Ini menunjukkan sikap berbilang kaum bukan sekadar cogan kata ... ia benar-benar berlaku dalam masyarakat kita. Setiap orang mempunyai peluang menyandang jawatan tertinggi negara ini."

Mantan Speaker Parlimen itu juga memberi sanjungan kepada golongan wanita yang merupakan antara penyokong yang berkumpul di sana.

"Saya juga berdiri di hadapan anda sebagai Presiden wanita pertama Singapura," kata beliau dengan suaminya Encik Mohamed Abdullah berdiri di sisinya.

"Saya lihat ramai wanita di sana berasa gembira ... Setiap wanita boleh bercita-cita mendapat jawatan tertinggi negara jika anda mempunyai keberanian, tekad dan iltizam untuk bekerja keras."

GESA UNTUK "BUAT BAIK BERSAMA-SAMA"

Beliau menggulung ucapannnya dengan menggesa seluruh rakyat Singapura supaya bersatu untuk membuat negara ini sebagai kediaman yang lebih baik.

"Masa untuk memilih seorang presiden sudah berakhir dan kini sudah tiba masa untuk kita memberi tumpuan kepada bagaimana kita boleh membina Singapura supaya ia menjadi masyarakat yang lebih berkembang maju," katanya dalam ucapan bahasa Melayunya.

"Dan kita perlu bekerjasama dalam usaha ini. Tidak ada seorang pun yang mengatakan ia dapat dilakukan sendirian."

Beliau menekankan perkara ini dengan mengulanginya sebanyak dua kali: "Saya meminta agar kita menumpukan kesamaan yang kita ada dan bukan perbezaan kita."

"Buat baik, Buat bersama-sama," kata beliau sambil menambah "Dengan rendah diri saya berterima kasih diberikan peluang untuk berkhidmat kepada anda semua ... Kita boleh buat baik bersama-sama dan saya mempelawa anda untuk berbuat baik bersama saya."

Cik Halimah akan mengangkat sumpah sebagai Presiden kelapan Singapura di Istana esok. 

- CNA/RU/ru

Top