Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Satu kesalahan, guna air PUB untuk pemercik air di taman

Pemilik hartanah berlaman di Singapura yang menggunakan air PUB untuk pemercik air melanggar peraturan yang dikuatkuasakan agensi air negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Satu kesalahan, guna air PUB untuk pemercik air di taman

Pemercik air. (Gambar: Justin Sullivan/ Getty Images North America/ AFP)

Diterbitkan : 06 Dec 2017 01:57PM Dikemas Kini : 06 Dec 2017 02:02PM

SINGAPURA: Pemilik hartanah berlaman di Singapura yang menggunakan air PUB untuk pemercik air melanggar peraturan yang dikuatkuasakan agensi air negara itu.

Menurut PUB, Peraturan Perbekalan Awam (Air Awam) dikuatkuasakan sejak tahun 1970-an lagi.

Peraturan itu menetapkan supaya penggunaan pemercik harus menggunakan sumber air lain, seperti air hujan atau kolam kecuali mendapat kelulusan untuk menggunakan sumber air PUB.

Namun, dua pakar landskap memberitahu Mediacorp bahawa masih terdapat pemilik hartanah yang melanggar peraturan itu, gara-gara untuk menjimatkan kos.

90% PELANGGAN GUNA AIR PUB UNTUK SISTEM PEMERCIK

Apabila menghubungkan sistem pemercik kepada tadahan air hujan, sebuah tangki perlu dibina di premis itu. Ini bagi memastikan air yang dikumpul tidak mencemari air minuman.

Menurut pakar pengairan David Chua, pam bagi tekanan air juga perlu dipasang untuk menyalurkan dan mengagihkan air hujan melalui sistem pemercik. Ini membuat kos untuk kaedah sedemikian lebih mahal.

"Sering kali, tangki-tangki ini perlu dipasang di bawah tanah," kata Encik Chua, yang merupakan pengarah Christensen Irrigation, sebuah syarikat pengairan global yang beroperasi di Singapura.

"Ia biasanya di bawah tanah kerana ruang terbatas dan juga kerana sebab estetik. Ini membuatnya mahal. Oleh itu, saya fikir kaedah ini terbatas kepada beberapa pemilik rumah sahaja. Bagi rumah teres dan rumah sebandung, ia tidak mungkin dipasang. "

Seorang pakar landskap Sam Lee pula berkata 90 peratus daripada pelanggannya tidak mematuhi peraturan ini walaupun beliau mengingatkan mereka akan peraturan tersebut.

"Saya pastikan pelanggan saya tahu apa yang mereka lakukan. Jika anda menggunakan paip (air), anda melanggar peraturan. Tetapi sangat sukar untuk meyakinkan mereka. "

Beliau berkata rancangan untuk sistem pemercik biasanya dipasang dan disambungkan ke paip PUB selepas projek diluluskan.

Dalam satu kenyataan kepada Mediacorp, PUB menyatakan ia mempunyai pasukan yang akan memeriksa jika ada pelanggaran peraturan. Ia menambah bahawa apabila maklum balas diterima mengenai penggunaan sistem pemercik air, ia akan menyiasat sumber air bagi sistem yang dipasang.

"Jika mereka menggunakan air yang dibekalkan PUB, premis itu perlu menghapuskan sistem pemercik tersebut," kata PUB.

"Mereka yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda sehingga S$10,000 atau dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya dan, jika kesalahan terus dilakukan, denda tambahan akan dikenakan tidak melebihi S$250 bagi setiap hari."

Namun, menurut Encik Lee, penggunaan sistem pengairan seperti ini boleh membantu dalam penggunaan air yang lebih efektif.

Peraturan ini juga turut diperuntukkan bagi padang golf menggunakan air dikitar semula.

PERATURAN PERLU DISEMAK SEMULA

Menurut Encik Chua, seorang pakar landskap, sudah tiba masanya bagi peraturan yang sudah ditetapkan sejak tahun 1970-an itu untuk disemak semula. Walaupun sistem pemercik kurang berkesan pada masa lalu, teknologi kini sudah merubah keberkesanan sistem sedemikian.

"Pada masa lalu, saya fikir sistem ini tidak memberikan pengedaran air yang baik. Ini menjadi alasan mengapa ia bukan satu sistem yang cekap dan perlu diketepikan," katanya.

"Tetapi kini, banyak negara lain di dunia menggunakan pemercik - dan pengilang dari Amerika Syarikat melakukan banyak penyelidikan. Saya fikir teknologi pemercik kini sangat maju."

Sementara itu, beliau berkata lebih banyak boleh dilakukan untuk mendidik para pemilik rumah mengenai penggunaan air bagi tanaman mereka.

"Apa yang akan mereka lakukan sebaik sahaja anda melarang penggunaan pemercik adalah mereka akan menyuruh pembantu mereka menyiram tanaman secara manual. Ini akan membazirkan lebih banyak air." 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan