Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sambutan Hari Makanan Sedunia: Sumbangan derma merosot, jumlah penerima bantuan meningkat

Jumlah penderma yang menyumbang wang tunai bagi sebuah program makanan percuma kepada golongan memerlukan, susut 16% berbanding tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah penderma yang menyumbang wang tunai bagi sebuah program makanan percuma kepada golongan memerlukan, susut 16% berbanding tahun lalu.

Ini di sebalik jumlah penerima bantuan yang disokong badan yang sama meningkat lebih 24% dalam tempoh yang sama.

Turut meningkat adalah jumlah golongan gelandangan warga emas yang perlu bantuan makanan berkhasiat, berbanding tahun 2012.

Demikian antara isu yang menimbulkan keprihatinan dua badan sukarela yang kami temui - Food from the Heart (FFTH) dan For the People and Community (FTPC).

Ikuti laporan khas sempena Hari Makanan Sedunia, hari ini (16 Okt).

BANTUAN MAKANAN KEPADA PENGHUNI FLAT SEWA, GOLONGAN GELANDANGAN 

Sejak 2012, badan sukarela "For the People and Community" (FTPC) yang dibentuk sekawan wanita, memberikan 20,000 beg makanan untuk warga kurang mampu yang tinggal di rumah-rumah sewa.

Kumpulan itu juga memberi makan kepada golongan yang tiada tempat tinggal atau gelandangan.

Untuk membiayainya, FTPC menubuhkan perusahaan sosial Our Kitchen SG (OKsg) yang menyediakan makanan berkhasiat.

"Sewaktu kami lancarkan – setiap minggu kami akan bertemu dengan sebanyak lebih-kurang 40 hingga 50 remaja, keluarga yang mempunyai anak-anak kecil dan warga emas. Tapi sekarang pada 2017, kami dapati bahawa perangkaan itu semakin berkurangan. Dalam seminggu kami mungkin bertemu antara 20 hingga 30 – kebanyakannya remaja dan warga emas," kata Cik Yasmin Osman, Pengasas dan Pengarah FTPC & OKsg.

Tambah beliau lagi, "Kami prihatin bila golongan ini hidup di luar – tidur dalam keadaan terbuka dan tidak mempunyai pemakanan yang sempurna."

DEKATI PELAJAR KONGSI PENTINGNYA ELAK PEMBAZIRAN MAKANAN 

Bagi Food from the Heart (FFTH) pula, usaha memberi makanan menerusi enam program teras membantu 33,000 golongan memerlukan, dengan kerjasama badan-badan akar umbi.

Sejak 2013, FFTH menjalankan program khas pinggan bersih bagi mendidik 55,000 pelajar dari 51 sekolah rendah akan kesan buruk pembaziran makanan kepada masyarakat dan alam sekitar.

"Kami melawat sekolah dan mendidik murid-murid untuk menghabiskan makanan di pinggan mereka. Jadi jikalau mereka tidak habiskan, kami akan menggalakkan mereka untuk memesan lebih sedikit atau membeli kurang," kata Cik Suhaini Md Ali, penolong logistik, FFTH.

Menurut kajian NEA, jumlah makanan terbazir di Singapura mencecah 791 juta kilogram pada tahun lalu.

Beliau menambah bahawa "Ia seperti satu orang membazir dua mangkuk nasi. Jadi kami berganding dengan NTUC. Kami memungut semua barang-barang yang mungkin hampir tempoh atau yang kurang elok dan makanan ini akan diagihkan kira-kira dalam 40 badan amal di Singapura yang kami akan berkongsi sama."

Sempena Hari Makanan Sedunia, kedua-dua FFTH dan FTPC berharap cabaran kurang penderma dan warga emas gelandangan dapat segera diatasi.

Sumber : BERITA Mediacorp/RL/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan