Images
  • artscience museum
    (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

S'pura ungguli ranking global, atasi Silicon Valley dari segi bakat

SINGAPURA: Singapura mengatasi Silicon Valley sebagai ekosistem permulaan dari segi bakat, menurut tinjauan yang dijalankan ke atas 10,000 pengasas syarikat sedemikian di lebih 100 bandar merata dunia.

Laporan dan Ranking Ekosistem Permulaan Global 2017 oleh Startup Genome menilai ekosistem permulaan di 50 buah negara berdasarkan prestasi keseluruhan, pembiayaan dana, jangkauan pasaran, bakat dan pengalaman.

Silicon Valley di Amerika Syarikat kekal sebagai ekosistem global yang paling berpengaruh, yang kemudian disusuli oleh New York dan London. Hab teknologi Bay Area mengungguli dalam semua bentuk metrik kecuali bakat dalam laporan itu, di mana Singapura berjaya mengatasi hab tersebut.


(Sumber: Startup Genome)

Laporan itu juga menarik perhatian bahawa Singapura menduduki tangga teratas bagi bakat disebabkan prestasinya yang kukuh dalam usaha mendapatkan bakat bermutu dan kos.

Tahap pengalaman bagi bakat Singapura juga didapati lebih kukuh, dengan 80 peratus pasukan kejuruteraan dan 74 peratus pasukan pertumbuhan berpengalaman sekurang-kurangnya selama dua tahun sebelum berkhidmat dalam syarikat-syarikat sedemikian berbanding purata global, dengan masing-masing mencatat 72 dan 60 peratus.

Pendapatan purata bagi seorang jurutera sofwe di Singapura adalah AS$35,000 (S$49,000), juga di bawah purata global iaitu AS$49,000 (S$69,000) - merujuk kepada kos perniagaan yang lebih rendah.

Para pengasas syarikat-syarikat seumpama itu yang berpangkalan di Singapura adalah yang termuda di dunia, dengan usia median 28 tahun.

Secara keseluruhannya, Singapura jatuh dua tangga dari kedudukan ke-10 ke tempat ke-12 di kalangan bandar-bandar yang ditinjau pada 2015, disebabkan kemasukan Beijing di tempat ke-4 dan Shanghai di tangga ke-8.

Bagaimanapun, laporan itu mendedahkan bahawa Singapura "sedang bersiap sedia mengharungi revolusi syarikat permulaan yang seterusnya" dengan lokasi geografinya menjadikan negara ini sebagai gerbang untuk menembusi pasaran teknologi baru di Asia Tenggara dan mendapatkan subsidi pemerintah yang besar.

- CNA/im

Top