Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura sebagai pengerusi baru ASEAN beri tumpuan kerjasama tangani ancaman baru

Sebagai pengerusi baru ASEAN, tumpuan Singapura adalah untuk mempertingkatkan kerjasama bagi membina daya bingkas terhadap ancaman-ancaman baru dan bukan tradisional serta merubah dan menyepadukan ekonomi negara-negara anggota bagi memanfaatkan kemunculan teknologi baru dan revolusi digital.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Nov 2017 04:12PM Dikemas Kini : 13 Nov 2017 11:00PM

MANILA: Sebagai pengerusi baru ASEAN, tumpuan Singapura adalah untuk mempertingkatkan kerjasama bagi membina daya bingkas terhadap ancaman-ancaman baru dan bukan tradisional serta merubah dan menyepadukan ekonomi negara-negara anggota bagi memanfaatkan kemunculan teknologi baru dan revolusi digital, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (13 Nov).

Semasa berucap di sesi pleno Sidang Puncak ASEAN ke-31, PM Lee berkata ancaman pengganas di rantau ini sudah meningkat dengan begitu ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang sebahagiannya dipengaruhi oleh kejayaan ISIS menembusi Timur Tengah.

Pada Mei tahun ini, sebuah bandar kecil di Mindanao, Marawi, yang terletak di selatan Filipina, ditakluk oleh para militan yang mengisytiharkan bandar itu sebagai khilafah ISIS di Asia Tenggara. Pemerintah Filipina dengan rasminya mengumumkan bahawa bandar itu bebas daripada cengkaman pengganas pada lewat bulan lalu.

"ISIS cuba menubuhkan sebuah khilafah bukan saja di Marawi tetapi juga di bandar-bandar lain di Asia Tenggara," tegas PM Lee.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Filipina atas kejayaan pihak berkuasa negara itu dalam menamatkan konflik di Marawi, PM Lee juga memberi amaran bahawa para pejuang asing ISIS mungkin akan pulang ke negara asal mereka selepas ISIS hilang pengaruh di Iraq dan Syria.

PM Lee turut menggesa agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang supaya terus menyelaras usaha dan mengongsi maklumat risikan antara satu sama lain. Beliau mengalu-alukan Perisytiharan Manila bagi Membanteras Kebangkitan Radikalisme dan Ekstremisme Ganas yang menggugat komitmen ASEAN untuk menangani isu tersebut.

PM Lee menggesa ASEAN supaya terus memelihara perpaduan dan kewibawaan perkumpulan serantau itu berhubung isu-isu serantau dan keprihatinan antarabangsa, sambil menambah bahawa ASEAN juga menyuarakan "keprihatinan yang mendalam" terhadap ujian peluru berpandu dan program nuklear Korea Utara.

ASEAN juga akan terus mengulangi seruannya agar Korea Utara mematuhi undang-undang dan memenuhi komitmennya terhadap perjanjian antarabangsa.

ASEAN DALAM KEDUDUKAN BAIK UNTUK REBUT PELUANG TEKNOLOGI

Dengan demografi kelas pertengahan dan golongan muda yang semakin meningkat, ASEAN berada dalam kedudukan yang baik untuk merebut dan memanfaatkan peluang teknologi dan globalisasi bagi mewujudkan pekerjaan dan menjana pertumbuhan untuk negara-negara anggotanya.

ASEAN adalah pasaran Internet yang paling berkembang pesat di dunia, kata PM Lee. "Penduduk kita semakin cekap menggunakan Internet, celik teknologi dan pantas menyesuaikan diri dengan inovasi," tambah PM Lee. "Ekonomi digital ASEAN diramal tumbuh 500 peratus kepada sekitar AS$200 bilion (S$227 bilion) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sedang ASEAN meraikan ulang tahunnya yang ke-50, para anggota mesti berusaha untuk memastikan perkumpulan serantau itu kekal relevan, berdaya saing dan maju, ujar PM Lee.

Sehubungan itu, ASEAN akan meneruskan usaha penyepaduan ekonomi di tengah-tengah iklim anti-globalisasi dan dasar perlindungan yang kian meningkat. Menurut PM Lee, kemajuan dapat dilihat dalam usaha membangunkan Masyarakat Ekonomi ASEAN, yang boleh menjadi pasaran tunggal keempat terbesar di dunia menjelang 2030.

ASEAN sudah semakin maju, kata PM Lee, sambil merujuk kepada pencapaian perkumpulan serantau itu.

"ASEAN mewujudkan persekitaran yang aman dan stabil bagi menjana pertumbuhan ekonomi, memupuk integrasi dan kerjasama berterusan dan melibatkan rakan-rakan luar di rantau ini, sambil memastikan prasarananya terus bersifat inklusif dan terbuka," kata PM Lee.

PM Lee menyambut baik usaha memuktamadkan perjanjian dagangan bebas dan perjanjian pelaburan ASEAN dengan Hong Kong pada Ahad dan beliau menggesa ASEAN supaya terus meneroka peluang untuk memeterai perjanjian dagangan yang bermutu tinggi yang berupaya "mendatangkan manfaat maksimum untuk syarikat-syarikat perusahaan dan penduduk rantau ini".

ASEAN, menurut PM Lee, juga mesti meneruskan usaha untuk memuktamadkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) yang 'bermutu tinggi'. RCEP adalah Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) yang dirundingkan sejak 2012 antara 10 negara anggota ASEAN dengan rakan-rakan yang sudah menjalin kerjasama dengan perkumpulan serantau itu. Ini termasuk China, Korea Selatan, Jepun, Australia, New Zealand dan India.

KERJASAMA LEBIH LUAS MENGENAI LAUT CHINA SELATAN

PM Lee juga menyentuh tentang isu-isu serantau yang berpotensi menimbulkan konflik di tengah-tengah tuntutan ke atas Laut China Selatan. Beliau mengalu-alukan usaha kolektif semua pihak dalam membina keyakinan dan kepercayaan antara satu sama lain.

ASEAN dan China memuktamadkan rangka kerja Kod Tatalaku Laut China Selatan dan Perisytiharan bagi Sedekad Perlindungan Sekitaran Pantai dan Marin, kata PM Lee, sambil menyifatkannya sebagai satu langkah ke hadapan yang sangat penting.

Beliau juga mengharapkan "kerjasama yang lebih kukuh dan ketara" antara ASEAN dan China berhubung Laut China Selatan, termasuk rundingan mengenai Kod Tatalaku yang akan diumumkan di Sidang Puncak ASEAN-China pada tengah hari ini.

Kod itu dijangka akan menetapkan peraturan dan panduan yang bertujuan untuk membendung sebarang konfrontasi di kalangan negara-negara yang menuntut hak ke atas Laut China Selatan. Negara-negara yang terlibat secara langsung adalah China, Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei.

"Adalah penting untuk terus mencari langkah-langkah praktikal bagi membina keyakinan di kalangan tentera negara anggota demi mengendurkan ketegangan dan risiko berlakunya insiden yang tidak diingini," tambah PM Lee.

ASEAN harus memanfaatkan kenyataan bersamanya untuk menghasilkan garis panduan mengenai bagaimana kapal dan pesawat tentera sepatutnya berinteraksi jika mereka bertembung antara satu sama lain," kata PM Lee.

Semasa menggulung ucapannya, PM Lee turut mengucapkan tahniah kepada Presiden Filipina Rodrigo Duterte atas kepimpinannya dalam mempengerusikan ASEAN.

PM Lee yang berkata bahawa Singapura akan menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan Masyarakat ASEAN yang relevan dan mengutamakan rakyat menegaskan: "Sedang Singapura bersiap sedia mengambil alih tugas sebagai pengerusi ASEAN pada 2018, kami akan memanfaatkan kerja keras Filipina dan pengerusi sebelumnya untuk terus mengukuhkan Masyarakat ASEAN."

Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan