Images
  • jerusalem (1)
    Pemandangan di Baitulmakdis. (Gambar fail: AFP/Ahmad Gharabli)

S'pura perjelas status Baitulmakdis harus ditentukan melalui rundingan Israel-Palestin

SINGAPURA: Status Baitulmakdis adalah isu rumit yang harus ditetapkan menerusi rundingan Israel-Palestin, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Khamis (7 Dis).

Awal hari ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tidak mengendahkan amaran dunia dengan mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel dalam ucapannya dari Rumah Putih.

MFA menyatakan dalam kenyataannya bahawa status Baitulmakdis adalah "isu sensitif dan rumit dengan sejarah lama".

"Sebarang tindakan terburu-buru dan sehala untuk mengubah status Baitulmakdis akan menjejas kemajuan bagi huraian damai masalah Timur Tengah dan Palestin itu," dedahnya.

Status masa depan Baitulmakdis harus ditentukan melalui rundingan langsung antara Israel dan rakyat Palestin, menurut MFA.

Kenyataan kementerian tersebut juga mengesahkan lagi "sokongannya yang sejak sekian lama dan konsisten" bagi huraian dua negara, dengan "penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, yang wujud bersebelahan  Negara Israel dengan aman dan selamat".

- CNA/IM/im

Top